Pemilik baharu Kedah Darul Aman FC, Tan Sri Dr Daud Bakar nampaknya mungkin sudah memulakan langkah dalam era baharu pasukan dengan mengikat 13 graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD), baru-baru ini.
Menurut satu perkongsian One Football di laman Twitter, Kedah berjaya membawa masuk 13 pemain muda untuk saingan Liga Malaysia musim 2023 yang dijangka akan menjadi lebih sengit dan mencabar buat semua.
Ini kerana, Liga Super 2023 akan melibatkan penyertaan 18 pasukan dengan 34 perlawanan akan diharungi oleh setiap pasukan bertanding.
Sebagaimana yang kita sudah sedia maklum, Kedah kini dimiliki oleh seorang tokoh usahawan di dunia korporat, Tan Sri Dr Daud Bakar.
Sebelum ini, Kedah telah dipegang sementara oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sementara menanti bidaan pemilikan pasukan.
Presiden KFA ketika ini, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sudah melepaskan sepenuhnya Kedah untuk digerakkan oleh Dr Daud bersama jenteranya. Mungkin ini antara gerak kerja pertama pemilik baharu pasukan tersebut dengan membawa masuk sejumlah besar graduan dari AMD.
Kedah Darul Aman FC dikhabarkan telah mengikat 13 muka baharu graduan Akademi Mokhtar Dahari di musim 2023 untuk memperkuatkan skuad Piala Presiden mereka. New management , New ideology ? Satu perkembangan yang bagus untuk mengambil pemain muda yang berkualiti ! #kedah pic.twitter.com/hPB7lxDAp2
— Onefootball.my (@OnefootballM) September 8, 2022
Sebelum ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor merupakan antara pasukan yang telah mendominasi carta pengambilan graduan AMD.
Menurut One Football, Kedah seperti memiliki ideologi baharu dibawah pentadbiran baharu apabila memborong produk-produk terbaik yang dimiliki Malaysia pada ketika ini untuk masa depan dan kejayaan pasukan.
Dengan Liga Simpanan bakal diwujudkan musim depan, setiap pasukan akan perlu menambah sejumlah lagi pemain untuk melengkapkan pemain untuk bersaing di liga tersebut yang memberi fokus kepada pemain B-23.
Dr Daud juga sebelum ini telah menunjukkan beliau memiliki cita-cita tinggi untuk membina sebuah pusat latihan bertaraf dunia dan diiktiraf oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas diumumkan sebagai pemilik baharu Kedah. Beliau merupakan penaung pasukan sebelum ini.
Dominasi JDT, Selangor Terhadap Graduan AMD Berterusan https://t.co/gSvKPNG2TM pic.twitter.com/NkPtEc6ysH
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) November 30, 2020
Sebelum ini, telah diumumkan yang Kedah bakal membina sebuah stadium baharu bersama pusat latihan di Sungai Petani dan dengan kehadiran pemilik baharu, mungkin perkara ini bakal ditambah baik lagi selepas ini.
“Saya akan cuba membuat tanda aras untuk menjadikan ‘training center’ Kedah ini bukan sekadar ‘training center’ tetapi sebagai pusat tarikan ‘tourist’ (pelancong) dari luar negara.”
“Kita ada dua, tiga tapak tetapi kita bekerjasama dengan kerajaan negeri, insyaAllah apabila dapat tanah yang sesuai nanti kita akan lantik konsultan untuk buat rekaan 3D berdasarkan piawaian FIFA, kalau boleh, biarlah alang-alang buat, dapat FIFA punya ‘endorsement’.”
Tan Sri Dr Daud Bakar, pemilik Kedah Darul Aman
Pada masa yang sama, Kedah dilihat merakamkan ucapan penghargaan kepada Sanusi atas segala jasanya dalam membantu serta sumbangan besarnya ketika menerajui pasukan bola sepak negeri Kedah selama ini.