Kemangkatan Queen Elizabeth II: Adakah Wajib Aksi EPL Ditangguhkan?

Queen Elizabeth II

Kemangkatan monarki Britain, Queen Elizabeth II baru-baru ini telah mencetuskan gempar di seluruh dunia apabila figura terkenal itu akhirnya meninggalkan kita semua pada usia 96 tahun.

Paling terkesan, semestinya warga Britain sendiri yang kehilangan pemerintah ikon yang telah bersama-sama mereka untuk pelbagai generasi.

United Kingdom berkabung

Rentetan pemergian baginda ratu, United Kingdom (UK) mengambil keputusan untuk berkabung berkenaan perkara ini.

Bendera Union Jack dikibarkan separuh tiang, dan penghormatan terakhir akan dilakukan selama 10 hari demi mengenang monarki yang mengetuai UK selama lebih 70 tahun.

Malah, bola sepak juga tidak terkecuali dengan perkara ini. Menurut laporan, aksi bola sepak di seluruh UK akan ditangguhkan bagi menghormati pemergian baginda ratu.

“Selepas mesyuarat pagi ini, kelab-kelab Premier League memberikan penghormatan kepada Queen Elizabeth II. Untuk menghormati kehidupan dan sumbangan luar biasa baginda kepada negara, dan sebagai tanda hormat, perlawanan Premier League hujung minggu ini akan ditangguhkan berserta aksi pada malam Isnin.

“Perkembangan lanjut mengenai perlawanan Premier League semasa tempoh berkabung akan disediakan dalam masa terdekat,” tulis Premier League dalam kenyataan mereka.

Ianya digunapakai untuk aksi Premier League dan EFL Championship di England. Malah saingan Scottish Professional Football League (SPFL) Premiership dan SPFL Championship turut ditangguhkan.

Sebagai antara dua saingan bola sepak utama di UK, aksi SPFL turut ditangguhkan dengan aksi tumpuan antara Aberdeen dan The Rangers terpaksa dibawa ke tarikh baharu.

“Berdasarkan mesyuarat pada pagi ini, Scottish FA, Scottish Professional Football League, Scottish Women’s Premier League dan Scottish Highland & Lowland Football League telah bersetuju yang perlawanan bola sepak profesional akan ditangguhkan pada hujung minggu ini bagi menghormati pemergian Queen Elizabeth II,” tulis SPFL dalam kenyataan mereka.

Walaupun keputusan telah pun dibuat, masih ada yang tidak boleh menerima kedua-dua aksi ini terpaksa ditangguhkan bagi menghormati khabar sedih yang melanda UK.

Ada sebahagian daripada penyokong bola sepak yang mengecam tindakan Premier League dan SPFL ini kerana pada mereka, sukan tiada kaitan dengan kemangkatan seorang monarki.

Jadi, adakah sebenarnya Premier League dan SPFL terpaksa menangguhkan aksi bola sepak demi menjaga reputasi dalam kalangan rakyat?

Berkabung itu pilihan

Sebenarnya, mengikut panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan UK terhadap urusan berkabung ini mengatakan yang segala aktiviti sosial adalah dibenarkan untuk dilangsungkan seperti biasa.

Menurut panduan yang dikeluarkan, segala aktiviti sosial seperti kebudayaan dan sukan boleh dijalankan seperti biasa dan tertakluk kepada pilihan penganjur itu sendiri.

“Tidak ada kewajiban untuk membatalkan atau menangguhkan acara-acara dan perlawanan sukan, atau hiburan tertutup ketika tempoh berkabung. Ia terletak pada budi bicara individu penganjur itu sendiri.

“Sebagai tanda hormat, penganjur mungkin boleh menimbangkan untuk membatalkan atau menangguhkan program atau acara tertutup pada hari pengebumian. Tiada kewajiban untuk melakukan perkara tersebut sememangnya adalah tertakluk pada budi bicara individu penganjur,” kata kerajaan UK.

Kerajaan UK berkata yang sekiranya acara sukan berlangsung serentak dengan hari pengebumian, maka penganjur disarankan untuk mengubah masa supaya tidak serentak dengan proses terakhir kemangkatan baginda ratu itu.

Mereka juga disarankan untuk mengadakan sesi bertafakur selama seminit, atau memainkan lagu kebangsaan UK serta pemain menyarung lilitan lengan berwarna hitam.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN