Sabah dan Kuala Lumpur City (KL City) terpaksa berpuas hati untuk masing-masing mengutip satu mata setelah kedua pasukan ini saling terikat 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, sebentar tadi.
Tuan rumah terpaksa mencipta dua kali aksi kebangkitan pada perlawanan tersebut setelah sebelum itu mereka ketinggalan di tangan pelawat dalam aksi yang sangat sengit.
KEPUTUSAN MASA PENUH – PERLAWANAN TERTUNDA LS16
Sabah FC bangkit dua kali untuk mengikat KL City FC di Stadium Likas.#LigaSuper2022 pic.twitter.com/2pWqL9yMuE
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 1, 2022
Jaringan penyamaan daripada Saddil Ramdani berjaya menyelamatkan Sabah daripada pulang dengan tangan kosong, apabila pemain kebangsaan Indonesia itu berjaya meledak satu gol berkualiti pada penghujung separuh masa kedua menafikan tiga mata penuh buat pelawat.
Seawal perlawanan berlangsung, kedua pasukan dilihat seimbang menyusun gerakan dengan intensiti permainan agak perlahan dipamerkan.
KL City terlebih dahulu membuka jaringan mereka pada minit ke-5 menerusi pertahanan mereka iaitu Giancarlo Gallifuoco yang mudah menanduk masuk bola ke dalam gawang gol, setelah menerima satu hantaran daripada Paulo Josue menerusi sepakan percuma.
Tersentak dengan jaringan tersebut, tuan rumah dilihat menaikkan intensiti permainan menerusi beberapa siri serangan pantas dilancarkan mereka untuk mendapatkan jaringan penyamaan.
Namun, KL City dilihat cukup berdisiplin untuk menyerap asakan tuan rumah, sambil sesekali mereka turut melancarkan serangan balas pantas untuk memerangkap lawan.
Kevin Ray juga jelas cemerlang aksi beliau di hadapan gawang gol untuk menghalang beberapa percubaan berbahaya dilancarkan oleh Sabah yang mahu akan jaringan penyamaan.
4’ GOL | Tandukan Giancarlo Gallifuoco meletakkan KL City di hadapan!@SabahFCofficial 0-1 @KLCityFootball #LigaSuper2022 pic.twitter.com/MsACSrUOZ5
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 1, 2022
Menuju ke wisel penamat separuh masa pertama, pasukan pelawat pula dilihat mendominasi perlawanan menerusi beberapa gerakan berbahaya yang hampir memberi masalah buat Sabah.
Seawal separuh masa kedua, Sabah tidak menunggu masa yang lama untuk kembali menyamakan kedudukan, setelah Dominic Tan berjaya meledak gol hasil kelekaan barisan pertahanan KL City untuk mengeluarkan bola dengan lebih baik.
KL City kembali mendahului perlawanan dengan Akram Mahinan berjaya menghasilkan gol kedua perlawanan, setelah sekali lagi menerima umpanan cantik daripada Paulo Josue juga menerusi situasi sepakan percuma pada minit ke-62.
Pasukan pelawat terus bersemangat untuk mendapatkan jaringan ketiga mereka setelah motivasi para pemain dilihat semakin meningkat setelah mendahului lawan dengan dua gol.
Paulo Josue antara pemain yang sangat efektif pada perlawanan ini dengan banyak permulaan serangan KL City bermula daripada tonggak utama pasukan pelawat tersebut.
15 minit menuju ke wisel penamat, Sabah dilihat sedikit tumpul di bahagian serangan mereka selain isu kreativiti mereka mencipta sesuatu juga sering dihalang dengan baik oleh pertahanan pelawat.
Saddil Ramdani berjaya menghidupkan peluang untuk Sabah mencipta sesuatu pada perlawanan ini apabila beliau berjaya meledak gol penyamaan menerusi sepakan percuma pada minit ke-85.
85' GOL | Tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan sekali lagi, menerusi sepakan percuma Saddil Ramdani!@SabahFCofficial 2-2 @KLCityFootball #LigaSuper2022 pic.twitter.com/YtIXCVsLBn
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 1, 2022
Keputusan perlawanan kekal dengan kedua pasukan sekadar terikat seri 2-2 dalam aksi yang sangat mendebarkan sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.
Kesebelasan utama
Sabah: Khairul Fahmi, Jackson de Souza, Dominic Tan, Rawilson Batuil, Alto Linus, Gary Steven Robbat, Park Tae-su, Saddil Ramdani, Baddrol Bakhtiar (Kapten), Taiki Kagayama, Stuart Wilkin
Kuala Lumpur City (KL City): Kevin Ray Mendoza (Penjaga gol), Giancarlo Gallifuoco, Irfan Zakaria, Kamal Azizi, Anwar Ibrahim, Akram Mahinan, Ryan Lambert, Arif Shaqirin, Paulo Josue (Kapten), Hadin Azman, Haqimi Rosli