‘Kolam Pancing’ Sudah Terbuka, Pemain Liga M Bebas ‘Buru’ Kontrak Baharu?

Liga M pemain kontrak

Adakah para pemain Liga Malaysia (Liga M) sudah bebas untuk berbincang hal kontrak dengan pasukan lain menuju tiga bulan terakhir musim 2022?

Normalnya di Malaysia, kontrak pemain akan berakhir pada 31 November tahun semasa dan kita sedang menuju ke ambang baki tiga bulan terakhir.

Liga M akan berehat pada Disember untuk memberi ruang kepada saingan Piala AFF Mitsubishi Electric, jadi November adalah tarikh akhir kontrak.

Itulah punca beberapa pemain ketika ini sedang hangat dikaitkan dengan isu perpindahan – mungkin disebabkan penawaran yang telah diterima.

https://twitter.com/harimaumalaya7/status/1555727843438383105

Siapa yang sedang dikaitkan ketika ini?

Isu kontrak pemain sayap menyerang Terengganu FC, Faisal Halim mula dibangkitkan sejak Jun lalu ketika Malaysia terlibat dalam pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023. Pemain yang menjadi ‘barang panas’ Liga M itu dikhabarkan sedang mempertimbangkan soal kontrak baharunya.

Terengganu dikatakan sedang cuba mempertahankan ‘anak emas’ mereka saat itu, namun berbaki lima bulan terakhir kontraknya, beliau berhak untuk meminta dibenarkan untuk berbincang dengan pasukan lain juga. Dengan berbaki tiga bulan terakhir kini, tiada lagi kebenaran perlu dimintanya.

Ini berdasarkan perkongsian bekas pemain Malaysia yang kini merupakan jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari, Amirizdwan Taj kepada Zuraimi Zukri sekitar Jun lalu. Menurutnya, pemain bebas berbincang dengan pasukan lain apabila kontrak berbaki 90 hari tanpa melalui majikan semasa.

“Dalam 90 hari sebelum tamat kontrak, pasukan perlu keluarkan ‘offer letter’ baharu kepada pemain. Pemain juga berhak untuk berurusan dengan pasukan lain secara terus tanpa melalui majikan sendiri.”

Adakah Faisal telah membuat keputusannya? Tiada siapa yang tahu. Ini kerana beliau sentiasa mengunci mulutnya setiap kali persoalan tentang masa depannya bersama Terengganu ditanya pihak media. Apa yang pasti, beliau seperti memberi signal masanya di Terengganu semakin pendek.

“Sekarang ini saya masih ada baki kontrak lebih kurang empat bulan lagi, jadi saya belum fikir lagi mengenai perkara itu buat masa ini kerana mahu habiskan kontrak bersama Terengganu terlebih dahulu.”

Faisal Halim, HarimauMalaya.com

Bek tengah yang menjadi bualan ramai apabila tampil cemerlang ketika menyarung jersi skuad kebangsaan, Khuzaimi Piee juga tidak terlepas dikaitkan bakal berhijrah ke destinasi baharu apabila kontraknya bersama Negeri Sembilan FC dijangka bakal berakhir pada 30 November depan.

Pasukan Liga M perlu proaktif soal kontrak

Jika mana-mana pemain adalah tunjang pasukan dan kudratnya masih diperlukan untuk jangka panjang, soal kontrak tidak boleh dipandang remeh.

Seperti isu kontrak Faisal, adakah Terengganu ‘terlambat’ menawarkan kontrak baharu kepadanya sehingga isu kontraknya menjadi bualan pada Jun lalu? Saat itu, boleh dikatakan sudah terlewat kerana pemain sudah boleh minta kebenaran majikan untuk berbincang bersama pasukan lain.

Isu yang sama pernah berlaku kepada bek kanan Kedah, Rizal Ghazali pada musim 2016 di mana beliau mendapat tawaran daripada FELDA United. Pengurusan Kedah dikatakan lewat untuk menawarkan kontrak baharu kepadanya walaupun sudah menghampiri ke penghujung tahun 2016.

berita harian rizal ghazali kontrak pemain
Isu Rizal Ghazali. Foto: Berita Harian

Penang FC pernah melaluinya penghujung musim lalu apabila terlewat menawarkan kontrak baharu kepada pemain-pemain mereka yang telah membuat kejutan di saingan Liga Super 2021 dengan meraih kedudukan ketiga dalam musim pertama kembali ke saingan tertinggi Liga M.

Natijahnya, Harimau Kumbang terlepas pemain-pemain penting mereka.

Dan mereka melalui musim buruk apabila berada di dasar Liga Super 2022.

4 Pemain Penang FC ‘Lari’ Ke Alor Setar Untuk ‘Terbang’ Ke Asia Bersama Kedah

KL City pula pernah mendedahkan mereka telah menyelesaikan urusan kontrak baharu musim ini pada Ogos tahun lalu. Dan tentunya langkah yang sama telah dibuat untuk musim hadapan, berdasarkan gerak kerja yang tersusun di bawah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Stanley Bernard.

“Pemain yang mahu kita kekalkan, Ogos lagi kita sudah selesaikan [kontrak baharu]. Kita kekalkan 95 peratus skuad [musim ini], apa anda lihat musim ini, itu yang anda akan lihat musim depan dengan sedikit penambahan di setiap posisi.”

Stanley Bernard, Astro Arena

Jadi, jika ada mana-mana pasukan yang mahu memancing pemain KL City pada ketika itu, mereka perlu membayar klausa pelepasan disebabkan kebanyakkan pemain mereka telah dilanjutkan kontrak untuk tempoh dua tahun. Ini yang didedahkan Stanley kepada Astro Arena, tahun lalu.

“Jika ada pemain-pemain KL yang dikaitkan dengan pasukan lain, atau ada pasukan berminat dengan mereka tiada masalah, boleh ambil tapi bayar klausa [pelepasan]. Kita berbisnes, tak ada isu.”

Stanley Bernard Kepada Pasukan Berminat: “Kalau Nak Pemain KL City, Sila Bayar”

Kontrak pemain di Liga M hanya semusim?

Satu perkara yang menarik tentang cara KL City mengendalikan kontrak adalah mereka melanjutkannya selama dua tahun. Ia sesuatu yang sedikit berbeza dengan cara pasukan-pasukan lain di Liga M yang rata-ratanya hanya untuk tempoh setahun. Tentunya sukar untuk menguruskannya.

Ini kerana, sebaik sahaja bulan Mei menjengah, tiap pasukan harus menawarkan kontrak baharu supaya pemain tidak meminta kebenaran untuk berbincang dengan pasukan lain yang mungkin ‘berminat’.

Disebabkan itu, kita boleh lihat saban tahun, akan berlaku rombakan besar dalam senarai pemain setiap pasukan. Untuk mengelakkannya, tawaran kontrak dua tahun dilihat agak baik untuk mengelak pemain ‘dicantas’.

Pemain memiliki kuasa penuh untuk memilih apabila bulan Mei menjelma.

Pengurusan Kontrak Pemain Dalam Liga Kita Yang Masih Di Takuk Lama

Kenapa kontrak ditawarkan hanya semusim?

Mengapa pengurusan memilih menawarkan kontrak hanya semusim di Malaysia? Sebabnya mereka takut pemain tidak mampu beraksi cemerlang dalam dua atau tiga musim akan datang sedangkan gaji sudah besar.

Apabila perkara ini berlaku, anda tahu yang ada beberapa pengurusan menandatangani pemain atas sebab prestasi pemain dalam satu masa tertentu tanpa ada satu graf yang memerhatikan perkembangan pemain.

Mereka tidak ada forecast sama ada pemain itu akan meningkat dalam tempoh masa dua atau tiga tahun lagi atau pun jangkaan akan menurun.

Kata kuncinya, gaji besar dan takut tidak capai KPI. Kenapa berikan gaji terlalu besar? Sebab panik dan takut tidak dapat memancing pemain tersebut. Sedangkan tidak semua pemain-pemain bintang sesuai dengan permainan pasukan. Itu realitinya, lepas gagal menyerlah, cari pasukan lain.

Berbeza dengan situasi di Eropah, perbincangan kontrak baharu sudah boleh berlangsung lebih awal – mungkin seawal dua tahun sebelum ia tamat. Kita boleh lihat situasi terdekat bagaimana pengendali Arsenal, Mikel Arteta menjawab kepada persoalan kontrak baharu buat Bukayo Saka.

Untuk pemain penting buat pasukan seperti Saka, Arteta mengambil langkah awal menguruskan isu kontraknya yang dijangka akan berakhir pada Jun 2024 – dua tahun lagi. Berbanding kontrak Hector Bellerin yang akan berakhir Jun 2023, Arteta menolak berbicara lanjut mengenainya.

Itu perbezaan urusan antara pemain yang berada dalam perancangan jangka panjang pasukan dan yang dalam perancangan untuk mungkin dilepaskan. Mungkin ia boleh dilakukan dalam ekosistem bola sepak Malaysia di mana kontrak yang lebih releven ditawarkan buat pemain.

Sepatutnya penilaian ke atas kontrak pemain adalah berdasarkan kaedah lebih sistematik termasuk graf prestasi, squad depth, kemuncak prestasi pemain dan sudah pastinya bajet pasukan serta aspek-aspek lain.

Namun, jika dibuat sekalipun dan ada pemain yang memanipulasikan situasi ini untuk meninggalkan pasukan dengan kaedah ‘lain’ pula, ia melibatkan integriti dan kredibiliti pemain itu yang boleh dipersoalkan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN