Bola sepak akar umbi semamangnya salah satu tiang utama dalam Pelan Strategik Peta Hala Tuju Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau lebih dikenali sebagai F:30.
“Football has to be fun for kid or it doesn’t make sense.”
Itu adalah kata-kata legenda bola sepak dunia, Johan Cruyff untuk memastikan kanak-kanak dan remaja dapat melihat bahawa bola sepak adalah sukan atau hobi yang menyeronokkan.
Tanpa mengira umur, jantina, agama, etnik dan latar belakang sosial, ia seharuskan terbuka untuk sesiapa sahaja di mana-mana sahaja.
Bermula dengan semangat cintakan bola sepak, Pegawai Waran II Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Karim Abd Wahab bertekad untuk membantu pembangunan sukan paling popular ini di peringkat akar umbi.
Ketika negara masih belum reda dengan pandemik Covid-19, pada November 2020 jurulatih muda ini telah menubuhkan akademi bola sepak yang berpusat di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Beliau dibantu oleh jurulatih-jurulatih lain yang terdiri daripada Koperal Mohd Hanafi Azizan, Koperal Fauzi Mustafa, Koperal Afifza Harun, Koperal Erween Hasfanyzam Kamis, Koperal Nor Azha Abd Latif, Koperal Romaizani Muzaini Mat Isa dan En. Shazaffendy Yaziz.
Dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak (FA) ATM, akademi ini diletakkan di bawah program The Gladiators Soccer Kids (TGSK) bagi mencungkil bakat dalam kalangan anak-anak pegawai ATM di seluruh negara. TGSK Sungai Besi telah memilih nama Tiger Junior FC sebagai imej pasukan.
Pada Sabtu lalu bertempat di Padang Bola Sepak MINDEF, Kuala Lumpur, telah berlangsung pertandingan bola sepak 9 sebelah 3 penjuru anjuran ATM FA dengan disertai TGSK Kuala Lumpur, TGSK Sungai Besi dan TGSK Ipoh.
Terdapat empat peringkat umur yang dipertandingan iaitu kategori bawah 16 tahun (B-16), B-12, B-10 dan B-8.
TGSK Sungai Besi muncul juara bagi kategori B-12 dan B-10, manakala bagi kategori B-16 dan B-8 pula diungguli oleh TGSK Kuala Lumpur dan TGSK Ipoh.
Maka TGSK Sungai Besi telah dinobatkan sebagai johan keseluruhan bagi edisi 2022 dan sekaligus menjulang trofi kejohanan yang disampaikan oleh Leftenan Kolonel Zakhir Asni Zabidi, Setiausaha Agung ATM FA.
Semoga program-program seperti ini dapat diteruskan bagi memastikan negara ini tidak ketandusan bakat-bakat muda yang bakal membawa nama Malaysia di persada antarabangsa.