Ini 3 Pemain Terbaik Pada Aksi Pertemuan Melaka United Dan Sri Pahang

Sri Pahang dilihat masih lagi ampuh untuk mengekalkan rekod mereka tanpa kalah dalam empat perlawanan Liga Super 2022 ketika ini, apabila mereka berjaya mengikat Melaka United dengan keputusan 2-2 di Stadium Hang Jebat.

Siri kebangkitan yang dicipta pada lewat permainan itu menyaksikan Dato’ Dollah Salleh jelas boleh menarik nafas lega setelah ketinggalan dua gol sebelum itu pada awal permainan.

Buat Melaka United pula, mereka jelas perlu menyalahkan diri sendiri kerana kelekaan yang dibuat pada penghujung perlawanan untuk membenarkan pelawat mencipta kebangkitan.

Walaupun beraksi dengan sangat baik sebelum itu, Melaka United juga menghadapi masalah sebenarnya untuk terus menjarakkan keputusan semasa kerana masalah ketumpulan di bahagian serangan.

Pada perlawanan semalam, ada tiga pemain yang dilihat berjaya memberi impak dengan baik buat pasukan masing-masing menerusi aksi yang dipamerkan sepanjang permainan.

Syazwan Andik

Pertahanan Melaka United ini dilihat antara paling konsisten semalam ketika menyerap asakan pemain lawan semalam menerusi bacaan pergerakan yang sangat tepat.

Kredit: Melaka United FC

Setiap pergerakan cuba dijana oleh Manuel Hidalgo berjaya dihalang dengan baik oleh Syazwan yang tidak membuka sebarang ruang buat pemain import pelawat itu cuba mencipta sesuatu.

Syazwan juga memiliki kerajinan yang sangat baik untuk membantu serangan Melaka United dan hantaran silang beliau berjaya memberi gol pembukaan buat tuan rumah yang disudahkan dengan baik menerusi Ifedayo Olusegun.

Mamadou Samassa

Jika tidak kerana pemain ini, rasanya Sri Pahang mungkin bolos dengan lebih banyak gol pada perlawanan semalam menerusi beberapa siri percubaan berbahaya dilancarkan tuan rumah.

Samassa yang mempunyai pengalaman luas di Eropah sebelum itu langsung tidak pernah bolos dalam tiga perlawanan terakhir dan semalam, tindakan beliau banyak menyelamatkan keadaan.

Kredit: Sri Pahang FC

Samassa juga memiliki ciri pemimpin yang baik di atas padang apabila beliau kerap bersuara dari belakang untuk menyusun para pemain pertahanan supaya tidak memberi ruang buat tuan rumah menyusup masuk.

David Rowley

Pemain gantian ini yang menggantikan khidmat Azam Azih berjaya memberi nafas baharu untuk posisi tengah Sri Pahang supaya lebih tersusun menjana gerakan.

Rowley dilihat berjaya memberi impak dengan kadar segera buat pasukan apabila jaringan gol pertama beliau buat Sri Pahang telah menaikkan motivasi rakan sepasukan untuk melakar kebangkitan.

Kredit: Sri Pahang FC

Beliau juga dilihat sangat rajin bergerak di segenap arah padang untuk menerima hantaran bola serta membuka ruang buat pemain serangan bergerak ke atas bagi mencari gol buat pasukan.

Leave a Reply