‘Harap Musim Berakhir Pada Hari Esok’ – Penang Perlu Belajar Daripada Kesilapan Tedesco

Penang FC ambil iktibar kesilapan Tedesco

Pengurusan Penang FC terutamanya perlu mengambil pengajaran daripada satu kesilapan oleh bekas pengendali FC Schalke 04, Domenico Tedesco.

Tedesco mengakui yang kesilapannya menjadi punca kemerosotan prestasi pasukannya selepas telah mengejutkan banyak pihak musim sebelumnya.

Apa kesilapannya sehingga Schalke mengalami kemerosotan prestasi? Ia dikatakan berpunca daripada mereka kehilangan beberapa pemain utama.

Situasi ini seakan-akan sedang dilalui Penang musim ini selepas hilang sebahagian besar pemain utama mereka selepas berakhir musim 2021.

Merundum selepas berada di kemuncak

Salah seorang penyokong Penang FC, Kenneth Chew berharap yang musim ini akan berakhir pada hari esok dek kerana sudah tidak mampu melihat pasukannya ditewaskan saban minggu – enam perlawanan berturut-turut.

“Rombakan ‘team’ Penang FC musim ini pula lebih besar daripada Liverpool, maka tidak hairan kita terhumban di dasar liga.”

Beliau mengaitkannya dengan komen bekas pertahanan Liverpool dan Scotland, Steve Nicol yang mengatakan jika rombakan besar-besaran berlaku ke atas pasukan – melibatkan lima atau enam pemain utama Liverpool pada awal 90-an, ia akan membawa kesan negatif yang amat besar. Dan Liverpool ketika itu jelas sangat terkesan selama dua musim.

Penang melalui musim terburuk selepas musim terbaik pada tahun lalu. Mereka mengejutkan banyak pihak apabila menutup tirai musim pertama kembali ke Liga Super di kedudukan ketiga – di belakang JDT dan Kedah.

Namun, bagi musim 2022 setakat ini, Penang merundum teruk prestasinya apabila selepas 15 perlawanan, mereka masih berada di dasar liga dengan hanya mengumpul tujuh mata, enam mata di belakang PJ City FC. Dengan sudah disahkan tiada penyingkiran ke Liga Premier pada hujung musim ini, ia masih sesuatu yang amat memeritkan untuk dihadam para penyokong.

Sebagaimana situasi Schalke, mereka menamatkan musim di kedudukan ke-2 pada musim 2017/18 walaupun diramal tidak akan berada di kalangan empat pasukan terbaik Bundesliga. Ia tentunya mengejutkan pemerhati.

Musim 2018/19, mereka menamatkan musim di kedudukan ke-14 – hanya berada dua tangga di atas kedudukan penyingkiran ke 2.Bundesliga. Dan mereka akhirnya sah tersingkir ke divisyen dua, dua musim selepas itu.

Dan pengendalinya, Domenico Tedesco mengambil tanggungjawab beliau menjadi punca kepada kemerosotan prestasi pasukannya ketika itu.

Tedesco: “Saya tidak mahu buat kesilapan sama”

Menurut pengendali berusia 36 tahun itu, kesilapannya di Schalke adalah melepaskan para pemain utamanya ke kelab lain dan beranggapan mereka mudah untuk digantikan oleh pemain-pemain baharu. Namun, ia tidaklah semudah untuk menyebut ABC apabila ia memberi kesan yang amat mendalam terhadap keampuhan pasukannya pada musim berikutnya.

Mereka menamatkan musim di belakang gergasi Bundesliga, Bayern Munich pada ketika itu. Mereka mengetepikan beberapa pasukan pilihan seperti Borussia Dortmund dan RB Leipzig untuk kedudukan kedua liga.

Selepas muncul naib juara Bundesliga, mereka telah melepaskan beberapa tonggak utama pasukan. Dan Tedesco mengakui, ia adalah kesilapan dalam pertimbangannya. Beliau dipecat pada musim keduanya bersama pasukan ketika mereka berada di kedudukan ke-14 pada Mac musim 2018/19.

Ungkapnya kepada The Athelic dalam satu temu bual baru-baru ini;

“Saya mengambil sedikit pengajaran selepas dipecat kerana ia amat menyakitkan dan saya tidak mahu lakukan kesilapan yang sama lagi. Saya tidak sepatutnya melepaskan pemain-pemain dan sesuatu yang sedang menjadi buat saya.”

“Kami lepaskan Leon Goretzka, Max Meyer dan Thilo Kehrer selepas musim pertama saya. Ia kerana perasaan – ‘kita boleh gantikan sesiapa sahaja’. Tetapi, sebenarnya kamu tidak boleh lakukannya, sekurang-kurangnya secara drastik.”

Apa yang berlaku kepada Penang selepas berada di tangga ketiga liga?

Apakah kesilapan Penang yang menyerupai kesilapan oleh Tedesco?

Apa yang berlaku kepada Schalke, berlaku di Penang

Mereka hilang beberapa tonggak pasukan yang menjadi tunjang kekuatan mengejutkan banyak pihak antaranya penjaga gol, Sam Somerville, Azwan Aripin, Azmeer Aris, Khairu Azrin Khazali, Amer Azahar dan Al-Hafiz Harun.

Mereka juga terpaksa melepaskan dua pemain pinjaman yang cemerlang seperti Ryuji Utomo (Persija Jakarta) dan Quentin Cheng (Selangor FC).

4 Pemain Penang FC ‘Lari’ Ke Alor Setar Untuk ‘Terbang’ Ke Asia Bersama Kedah

Dalam satu sesi ‘Meet & Greet’ yang dianjurkan oleh pengurusan Penang FC sebelum bermulanya musim ini, ada dijelaskan antara pemain-pemain ini telah menolak tawaran lanjutan kontrak walaupun ditawarkan kenaikkan gaji. Begitupun, tawaran dibuat adalah lewat – diakui pengurusan, iaitu ketika Piala Malaysia berlangsung dan pemain di penghujung kontrak.

Mungkin sudah berlaku tawar-menawar daripada pasukan lain ketika itu. Akibatnya Harimau Kumbang kehilangan tonggak-tonggak utama pasukan.

Mungkin gaji yang ditawarkan masih gagal untuk memikat semula pemain yang sedang berada di antara dua jalan – tawaran lumayan pasukan lain.

Penang hilang pemain-pemain yang sebenarnya boleh membantu pasukan untuk dua ke tiga musim ke depan disebabkan usia mereka yang muda. Azmeer Aris sebagai contoh, baru berusia 23 tahun dan pemain paling berpotensi dimiliki Penang. Yang lain rata-rata berusia bawah usia 30 tahun kecuali Khairu Azrin – sang jeneral padang buat Harimau Kumbang.

Jadi, apa pengajaran yang boleh diambil Penang?

Jangan lepaskan pemain-pemain berpotensi dan berprestasi pada musim ini. Ini yang ditekankan oleh penyokong, Kenneth Chew. Belajar daripada kesilapan musim lalu dan ikatlah pemain-pemain yang boleh dijadikan tonggak penting musim hadapan. Menurutnya, Hilal El-Helwe dan Lucas Silva adalah contoh pemain yang wajar mendapat kontrak baharu.

“Tolong kekalkan mereka. Mereka adalah pemain yang bagus. Belajar daripada kesilapan lalu dan kesilapan yang sama dilakukan yang lain.”

Walaupun secara dasarnya, Penang berprestasi buruk, tetapi beberapa nama boleh dipertimbangkan untuk dikekalkan. Rombakan tetap perlu dibuat kerana kualiti pemain yang dimiliki Penang ketika ini tidak sesuai dengan kehendak Liga Super. Namun, beberapa pemain boleh dikekalkan.

Buat masa ini, beberapa pemain Piala Presiden berpotensi sudah boleh mula diketengahkan agar mereka tidak kekok pada musim hadapan. Untuk pemain sedia ada, nilailah dengan sebaiknya kerana di mata penyokong, musim ini mungkin telah berakhir dan untungnya, tiada penyingkiran.

Bak kata Kenneth Chew, Penang, belajarlah daripada kesilapan Tedesco.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN