“Cuti sudah habis bro” adalah ungkapan watak Malek lakonan Aaron Aziz dalam filem KL Gangster dan ia tepat untuk menggambarkan kembalinya watak Endrick dos Santos dalam skuad Penang FC berdepan Sri Pahang.
Penang bertemu Sri Pahang dalam pusingan suku akhir Piala FA 2022 dan mereka berjaya melangkah ke separuh akhir selepas membenam cabaran Sri Pahang di Stadium Darul Makmur dengan keputusan 5-2.
Apa yang mengejutkan adalah pengurusan Penang telah memberikan Endrick cuti sehingga 31 Julai 2022.
Namun, pemain tengah menyerang itu akhirnya membuat penampilan semula selepas berehat satu aksi.
Diberikan ‘cuti’ sebelum aksi berdepan JDT
Timbul pelbagai spekulasi saat Endrick dikhabarkan akan diketepikan untuk aksi Liga Super berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT). Beliau yang pernah dikaitkan dengan skuad Harimau Selatan secara tiba-tiba direhatkan.
Spekulasi tersebut timbul disebabkan sebelum ini, Melaka United juga terpalit dengan isu yang sama iaitu kehilangan Ifedayo Olusegun yang tiba-tiba dikatakan telah mengalami kecederaan hamstring sebelum berdepan pasukan yang sama. Tidak sampai tiga hari kemudian, beliau telah ‘pulih’ untuk kembali beraksi.
Apabila senarai pemain Penang dikeluarkan untuk aksi berdepan Sri Pahang, mata semua tertumpu kepada nama Endrick yang berada di bangku simpanan. Bagaimana beliau boleh kembali lebih awal daripada jadual?
Namun, beliau menjadi watak penting buat Penang untuk mara ke separuh akhir selepas dimasukkan pada minit ke-59 dan membantu Penang bangkit mengikat kedudukan di masa penuh untuk membawa perlawanan berlanjutan 30 minit lagi. Dua sentuhannya memberikan Penang jaringan penyamaan dan juga pendahuluan.
Kedua-dua pasukan terikat dalam masa sebenar
Kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam masa sebenar yang telah memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan. Penang bangkit meledak dua gol selepas ketinggalan dua gol dalam 20 minit pertama permainan.
Tok Gajah memperolehi gol menerusi tandukkan Steven Rodriguez di minit ke-12 selepas menerima hantaran lambung Baqiuddin Shamsudin dari sebelah kanan gawang. Ia bermula daripada tepisan sepakan percuma oleh Hafizul Hakim yang diambil oleh Manuel Hidalgo. Minit ke-20, giliran Azwan Aripin pula meledak gol sensasi.
Penang kembali mendekatkan jurang gol menerusi sentuhan pemain sayap, T. Saravanan yang memanfaatkan bola terlepas daripada kawalan penjaga gol tuan rumah, Mamadou Samassa di penghujung babak pertama.
📹 HIGHLIGHTS: @OfficialPahang 2-5 @Penang_FC
Penang FC bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk mara ke separuh akhir hasil jaringan T. Saravanan, Hilal El-Helwe (2 gol), Lucas Silva dan K. Thivandaran.#PialaFA2022 pic.twitter.com/73zW8MUOEX
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 23, 2022
Kemasukkan Endrick menggantikan Azzizan Nordin dilihat memberikan nafas baharu buat Penang yang cuba menyamakan kedudukan tetapi buntu. Hasilnya, sepakan percuma yang diambilnya ditanduk Rafael Vitor ke depan gawang untuk ditanduk Hilal El-Helwe menggegar jaring, empat minit sebelum babak kedua berakhir.
Minit ke-96, hasil gerakan yang dimulakan Lucas Silva disudahnya sendiri selepas menerima hantaran lolos oleh Endrick yang membolehkan Harimau Kumbang mendahului perlawanan buat kali pertama dalam perlawanan. Tiga minit kemudian, gandingan Lucas dan Hilal menghadirkan gol ke-4 walaupun cuba diselamatkan Samassa.
Melengkapkan malam gemilang Penang adalah gol kelima menerusi jaringan pemain tengah, K. Thivandaran yang berjaya merebut bola yang cuba dihantar kepada penjaga gol import Sri Pahang itu di minit ke-118.
Waima berdepan kritikan atas prestasi yang merundum musim ini, kehadiran semula Endrick selepas diberikan rehat berdepan JDT membuahkan hasil. Beliau membantu kebangkitan Penang sejurus dimasukkan di babak kedua untuk mara ke separuh akhir Piala FA 2022 dan mereka dijadualkan akan berdepan JDT bulan hadapan.