Lembah Klang kini milik Selangor FC apabila mereka berjaya mengatasi Kuala Lumpur City FC (KL City) 1-0 dalam aksi Piala FA 2022 untuk mara ke suku akhir dan ia dilakukan tanpa kelibat Khairulazhan Khalid.
Penjaga gawang skuad kebangsaan itu sudah tersisih untuk tiga perlawanan sejak aksi longlainya berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menyaksikan beliau melepaskan lima gol untuk lawan berkenduri gol di Iskandar Puteri dalam kempen Liga Super 2022. JDT menang besar 5-1 dan Khairulazhan terduduk lesu di gawangnya.
Penggantinya, Sam Somerville telah diturunkan dalam tiga aksi berturut-turut. Selangor menang, seri dan kalah sekali. Namun, kemenangan ke atas KL City dilihat platform terbaiknya untuk menjadi pilihan utama pasukan.
Piala FA: Kecemerlangan Sam Somerville Ranapkan Impian KL City Ke Suku Akhir
Sam adalah penjaga gol yang konsisten
Somerville seorang yang konsisten jika diberikan peluang berterusan. Ini dibuktikannya ketika bersama Penang FC musim lalu – enam ‘cleansheet’ dalam 16 penampilannya di Liga Super. Penang menamatkan musim di kedudukan ketiga liga dalam musim pertama mereka kembali ke saingan utama Liga Malaysia itu musim lalu.
Ia kejutan buat penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan dan ia telah mengangkat kembali namanya ke persada bola sepak negara. Harus diakui Penang yang kembali mengangkat namanya sebagai penjaga gol yang berkaliber. Malah, beliau turut dipanggil ke skuad kebangsaan dalam baki saingan kelayakan Piala Dunia lalu.
Berhijrah ke Selangor pada awalnya dilihat sebagai langkah yang silap di saat Penang masih memerlukan khidmatnya. Namun, siapa yang mampu menolak tawaran daripada Selangor, jika ia tiba. Namun, berdepan Khairulazhan untuk posisi nombor satu The Red Giants adalah sesuatu yang sukar disebabkan reputasinya.
📸 AKSI PERLAWANAN PERLAWANAN TERTUNDA LS5
JOHOR DARUL TA’ZIM 5-1 SELANGOR FC#LigaSuper2022 pic.twitter.com/uFXsozArRt
— Malaysian Football League (@MFL_MY) June 24, 2022
Khairulazhan beraksi dalam sembilan daripada 11 perlawanan musim 2020 dan 21 daripada 22 perlawanan musim lalu. Jadi, sesiapa sahaja pasti berasa sukar untuk membuat Khairulazhan serahkan jersi utama.
Jika mahukan sesuatu yang lebih baik daripada Somerville, pengendali Selangor, Michael Feichtenbeiner perlu memberi ruang kepadanya untuk beraksi lagi. Beliau sudah tampil tiga perlawanan berturut-turut setakat ini.
‘Cleansheet’ dengan KL City dirai penyokong
Beliau sudah biasa bermain dalam tekanan di Penang. Jadi, tekanan di Selangor yang dilalui saat ini pasti merangsang prestasinya. Selepas tekanan demi tekanan dan aksi longlai Khairulazhan di Stadium Sultan Ibrahim, penyokong mungkin sudah mendapat penjaga gol yang mereka mahukan – yang boleh dibanggakan.
Aksi tangkasnya menafikan beberapa peluang KL City dan penyerang baharu mereka, Jordan Mintah yang dipinjam dari Terengganu FC memastikan namanya diangkat para penyokong sebagai wira pasukan.
73' SAVE | Percubaan Jordan Mintah berjaya ditepis oleh Sam Somerville!@selangorfc 1-0 @KLCityFootball #PialaFA2022 pic.twitter.com/92PMj4tqCm
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 8, 2022
Kemenangan dalam perlawanan derbi malah melakar ‘cleansheet’ tentunya akan membantu Somerville. Ini ‘cleansheet’ pertamanya bersama The Red Giants selepas tiga penampilannya selaku pilihan nombor satu.
Penyokong tentu mahukan Somerville sebagai pelindung terakhir mereka di gawang selepas Khairulazhan gagal menampilkan aksi meyakinkan dalam beberapa perlawanan. Mungkin inilah masa terbaiknya. Selangor perlukan tonik sebegini untuk kembali bangkit, seseorang untuk mereka letak kepercayaan terutamanya di gawang.
Kembalinya kapten, Brendan Gan yang beransur pulih daripada kanser dihadapinya sedikit sebanyak telah mengembalikan aura mereka. Kebangkitan Selangor mungkin sudah boleh dirasai sebilangan penyokong jika pasukan mereka terus memberikan kepercayaan penuh kepada Sam Somerville. Ia harus bermula sekarang.
Jika Feichtenbeiner mahu mengembalikan kepercayaan semua pihak terhadapnya, aksi selepas ini, bermula dengan Penang adalah masa terbaiknya untuk melupakan sementara Khairulazhan dan percayakan Somerville. Dua figura dan dua pemain warisan – Brendan Gan, Sam Someville boleh membantu Selangor untuk kembali.