Siapa sangka pemain yang bertubuh kecil seperti Faiz Nasir berjaya menghasilkan satu gol menerusi bola tandukan yang dihantar agak tinggi ke dalam gawang gol dan menjulang Terengganu di laman sendiri mengatasi Kedah Darul Aman (KDA).
Walaupun jelas ramai yang menyangkakan Kpah Sherman atau Petrus Shitembi yang memiliki fizikal lebih baik atau pilihan utama untuk meledak gol, rezeki pada perlawanan baru-baru ini nyata menjadi milik Faiz.
Dalam aksi pusingan kedua Piala FA baru-baru ini, Terengganu muncul sebagai pasukan terbaharu yang melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala FA setelah cemerlang mengatasi KDA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak dengan keputusan 1-0.
Faiz muncul sebagai wira pasukan apabila tampil selaku penjaring tunggal perlawanan tersebut biarpun selepas itu Terengganu terpaksa beraksi seramai 10 orang sahaja setelah pertahanan mereka, Pape Diakite dilayangkan kad merah kerana mengasari penyerang KDA iaitu Ronald Ngah Wanja.
Pada perlawanan tersebut juga Faiz berjaya mempamerkan aksi berkualiti di bahagian sayap untuk mengkucar kacirkan pertahanan pelawat serta bijak mencipta lorongan buat pemain lain membuat percubaan ke kubu lawan.
Faiz nyata begitu berpuas hati dengan persembahan beliau dan rakan sepasukan lain setelah berjaya mengetepikan wakil negara yang beraksi dalam saingan Piala AFC itu dan jelas tidak menyangka beliau menjadi wira pasukan pada malam tersebut.
6' GOL | Terengganu FC kini berada di depan hasil tandukan Faiz Nasir!@FCTerengganu 1-0 @kda_fc#PialaFA2022 pic.twitter.com/k2rPHpsjDg
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 6, 2022
Menurut Faiz, layangan kad merah yang diberikan kepada Diakite pada minit ke-50 itu menyebabkan pasukannya terpaksa beraksi seramai 10 orang pemain sahaja tatkala masa permainan masih terlalu panjang.
“Saya begitu gembira kerana jaringan itu membantu pasukan mara ke suku akhir Piala FA.
“Ini jaringan pertama saya melalui tandukan dan ia gol pertama saya musim ini bersama TFC.
“Sejujurnya sukar saya percaya kerana saya tidak begitu tinggi, tapi ketika rakan sepasukan, Faisal Halim membawa bola ke sebelah kiri pintu gol lawan, saya bagaikan sudah dapat membaca ‘Mickey’ akan melakukan hantaran silang.
“Jadi kebetulan saya berada dalam kedudukan tepat, sekali gus memudahkan saya menanduk bola ke dalam gawang gol, terima kasih kepada semua rakan sepasukan yang banyak membantu, lagipun ini penampilan pertama saya dalam saingan Piala FA musim ini dan kali ketiga di Liga Super,” katanya menerusi Arena Metro.
Sebelum itu Faiz pernah melalui detik sukar pada bulan April, apabila pemain lincah tersebut terpaksa dikejarkan ke hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana mengalami masalah keracunan makanan serta jantung.
📸 AKSI PERLAWANAN FA2
TERENGGANU FC 1-0 KEDAH DARUL AMAN FC#PialaFA2022 pic.twitter.com/GgtyxRsR0q
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 6, 2022
Hasil laporan tersebut ketika itu menjelaskan Faiz mengalami masa itu kerana berpunca daripada keletihan, sakit kepala, dan sukar bernafas menyebabkan beliau terlepas dalam beberapa perlawanan.
Jaringan Faiz semalam umpama kembali membuka sinar buat dirinya untuk tampil lebih positif pada perlawanan akan datang dan memberi kelebihan buat Nafuzi Zain untuk mencorakkan lagi taktikal berkesan dalam pasukan.
Kredit Foto: Arena Hijaukuning