Rumus ‘3 tolak 8 darab 12’, berbunyi agak aneh, namun inilah formula yang digunakan Penang FC yang sedang dalam misi kekal bersaing di Liga Super musim depan. Pada ketika ini, mereka sedang bergelut di dasar liga.
Hanya berbekalkan tujuh mata daripada 10 perlawanan, Penang dalam misi sukar untuk melonjak keluar dari zon penyingkiran sejak terhumban ke sana di minggu ke-6. Mereka perlu kekalkan rentak baik ketika ini untuk secara perlahan-lahan keluar dari zon penyingkiran. Perubahan pengendali pasukan diharap membuahkan hasil.
Zainal Abidin Hassan hadir dengan harapan besar pihak pengurusan dan para penyokong Harimau Kumbang. Beliau hadir buat kali kedua dalam karier kejurulatihannya untuk bersama Penang selepas tinggalkan mereka pada penghujung musim 2018 ketika mereka jatuh dan berada di dalam saingan Liga Premier musim itu.
Tak Mustahil Kontrak Zainal Abidin Bersama Penang Seperti Ralf Rangnick Di Man United
Perubahan permainan di bawah Zainal
Kira-kira sebulan lalu, Zainal disahkan sebagai pengendali baharu menggantikan Tomas Trucha yang gagal menghadirkan keputusan positif dalam tujuh aksi. Trucha menghadirkan magis pada musim pertama mereka kembali ke Liga Super – berada tangga ke-3 liga, di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman.
Selepas era Trucha, mereka melalui dua aksi di bawah kendalian penolong jurulatih yang merupakan pengendali yang membawa mereka ke saingan Liga Super 2021, Manzoor Azwira – menang ke atas Perak di Piala FA dan tewas kepada Sabah FC di liga. Perubahan mula dilihat saat pasukan mengalami perubahan kejurulatihan.
Di bawah Zainal, mereka seri 1-1 menentang PJ City FC dan menang 2-1 ke atas Terengganu FC. Perubahan permainan mula dilihat dan pengurusan pasukan melihat perubahan pemain perlu dilakukan untuk berjaya.
Mungkin ada yang mengatakan taktikal Zainal tidak relevan dengan arena bola sepak Malaysia kini. Namun, harus diingat, beliau telah memimpin Melaka United ke separuh akhir Piala Malaysia 2021 sebelum ditewaskan juara yang diangkat selepas itu, KL City. Harus diingat juga, skuad Hang Tuah berdepan masalah tunggakan gaji.
Salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Penang FC, Dato’ Norazmi Mohd Narawi menerusi Facebooknya ada menyatakan yang Zainal mengikut kemampuan dan kelebihan yang pasukan ada dalam membentuk mereka.
Rumus ‘3 tolak 8 darab 12’ digunakan
Kebetulan Liga Malaysia berada di jendela pendaftaran pemain yang kedua. Keputusan drastik dibuat dengan melepaskan lapan pemain antaranya yang menjadi tonggak utama seperti Latiff Suhaimi dan Azmi Muslim.
Selain itu, penjaring terbanyak mereka musim lalu, Casagrande turut dilepaskan. Dengan prestasi yang tidak menentu ditambah pula mengalami kecederaan yang memerlukan pembedahan dan rehat yang panjang menyebabkan pengurusan mengambil peluang membawa pengganti buatnya iaitu Lucas Silva dari Brazil.
Dalam kejohanan tiga penjuru antarabangsa dengan kelab dari Indonesia, Karo United FC dan New Road Team FC (Nepal), Lucas berjaya meledak empat gol ketika membantu mereka membenam New Road Team FC 5-0 dalam aksi terakhir untuk mereka menjuarai kejohanan jemputan yang dikenali sebagai Piala TYT itu.
Mereka juga membawa masuk dua pemain tempatan iaitu Faizal Talib dan Gopi Rizqi untuk menambah sengat di jentera sayap. Tidak pasti apa perancangan pengurusan dan pengendali berpengalaman itu, namun katanya ia bersandarkan rumus ‘3 tolak 8 darab 12’ yang kedengaran seperti rumus matematik.
Tiga melambangkan tiga pemain yang baru dibawa masuk, lapan pula pemain yang telah meninggalkan pasukan, sementara 12 pula adalah baki perlawanan yang akan dilalui dalam saingan Liga Super 2022.
Menurut Norazmi, hanya yang memahami akan faham rumus yang disebut-sebut ketika rombakan dibuat.
“Selesai satu bab ‘on’ satu proses yang panjang bersifirkan 3 – 8 x 12 melalui kempen Piala TYT nih. Alhamdulillah percaturan dan rombakan yang berbaloi tampaknya.”
“Yang dapat menyelami falsafah dan menjadi sebahagian daripada segala kisah suka duka dan pahit manis di sebalik sifir 3 – 8 x 12 tu, sudah tentu amat mengerti kemaknaannya yang paling dalam.”
“Next on Selangor, moga segera serasinya untuk ‘most historical moment of great come back for’ Penang.
Facebook Dato’ Norazmi Mohd Narawi
Disebalik masalah lahir sandaran baharu
Begitupun disebalik prestasi buruk mereka di awal musim, muncul pemain yang boleh disandarkan harapan oleh barisan kejurulatihan. Pemain seperti T. Saravanan lahir di saat Penang berada dalam prestasi buruk.
Ini diakui oleh penolong jurulatih, Manzoor Azwira ketika dihubungi Semuanya BOLA sebelum pelantikan Zainal disahkan. Ketika itu beliau sedang memangku jawatan sebagai pengendali sementara pasukan untuk dua aksi.
“Tetapi hikmahnya [di sebalik deretan masalah] kita dapat lahirkan Saravanan yang kita nampak boleh bagi impak pada pasukan. Ini menambah pilihan pemain yang ada pada kita.”
Selain Saravanan, Adib Raop yang dibawa dari Perak FC juga nampaknya dilihat mempunyai kualiti bermain di bahagian bek kiri selain kualiti yang dibawa Hilal El-Helwe yang memacu Penang dalam beberapa aksi di saat Endrick dos Santos tenggelam punca pada musim ini. Tambahan pemain baru diharap akan beri impak positif.
Ini wajah Harimau Kumbang pada musim ini selepas musim yang gemilang pada tahun lalu. Rumus matematik yang disandarkan pada jendela pendaftaran pemain diharapkan akan membantu mereka untuk kembali bangkit.