Di sebalik kerancakan kembali dalam kem Perak setelah dibenarkan menandatangani pemain baharu, pasukan tersebut terpaksa menggugurkan beberapa pemain demi memberi laluan buat tonggak import baharu.
Sebelum ini dinyatakan tiga pemain Perak bakal digugurkan, namun semalam laman MFL telah mengeluarkan kenyataan empat orang sebenarnya telah digugurkan kelab tersebut pada pertengahan musim ini.
Pemain-pemain tersebut ialah Nazmi Ahmad, Nasrullah Abdul Aziz, Akmal Hazim Ismail, dan Ahmad Syazwan Syazani Ahmad Shafei.
📝 TEMPOH PENDAFTARAN KEDUA LIGA MALAYSIA 2022
Perak FC mendaftarkan dan membatalkan pemain-pemain berikut dalam tempoh pendaftaran kedua.#LigaPremier2022 pic.twitter.com/9ekjcQDIJk
— Malaysian Football League (@MFL_MY) June 26, 2022
Ketiga-tiga pemain import yang menyertai kelab itu pula pada jendela perpindahan kedua musim ini ialah Stipe Plazibat dari Croatia; Luciano Guaycochea (Argentina); dan Sunday Kolawole Afolabi (Nigeria).
Sebelum itu, Perak berdepan saat getir dalam saingan Liga Premier 2022 apabila terpaksa beraksi seramai 14 pemain sahaja bawah kendalian, Yusri Che Lah.
Pada 16 Jun lalu, sekatan yang diletakkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah pun ditarik balik dan memberi nafas baharu buat kelab tersebut untuk menandatangani pemain.
Pada tarikh jendela perpindahan lalu juga, Bobie Farid Shamsuddin telah memperkenalkan barisan import yang bakal bersama-sama Perak untuk mengharungi baki saingan liga menerusi sidang media, namun beliau ketika itu enggan memaklumkan pemain-pemain yang bakal digugurkan.
Walaupun begitu, beliau menjelaskan kontrak pemain digugurkan tersebut masih lagi berjalan sehingga ke penghujung musim ini.
Maka, gaji pemain-pemain tersebut juga masih lagi dibayar oleh Perak sehingga kontrak tamat dan peluang untuk mereka menembusi kembali dalam kelab tersebut masih ada sekiranya ada mempamerkan peningkatan dalam sesi latihan untuk musim hadapan.
“Walaupun digugurkan, kami setuju untuk tidak mengeluarkan mereka daripada kontrak sampai habis tahun ini yang bermakna gaji mereka masih akan kami bayar.
“Namun jika mereka menunjukkan prestasi bagus dalam latihan mendatang kelak, mereka mungkin akan diserapkan semula ke skuad Perak FC bagi musim hadapan.
“Sebab saya dengar cerita, untuk tahun depan format pemain akan berbeza dengan sekarang apabila pasukan boleh mendaftarkan sehingga 40 pemain.
“Jadi pemain muda yang ada di Perak, memang sangat kita hargai kerana mereka mempunyai potensi amat tinggi dan kita akan teruskan latihan untuk memperkasakan mereka,” katanya ketika majlis pengenalan pemain import baharu serta menandatangani kontrak mereka di Menara SSI, Jalan Sultan Idris Shah, di sini, baru-baru ini menerusi Arena Metro.
Selain tiga tonggak import tersebut, Perak turut diperkuatkan dengan beberapa lagi bintang dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) seperti Zamir Selamat, Indra Putra Mahayuddin, Syamim Yahya, Wan Zack Haikal, serta beberapa lagi.