Pelbagai khabar angin tentang masa depan pemain tengah Sri Pahang, Azam Azih sejak kebelakangan ini, namun masih belum ada pengesahan daripada mana-mana pihak mengenai beliau bakal berhijrah ketika ini.
Menurut ciapan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, tampak seperti memberi bayangan Azam bakal meninggalkan Tok Gajah dalam masa terdekat waima ia hanyalah ciapan yang meninggalkan seribu persoalan.
Sebagai pemain tengah yang kembali mendapat prestasi terbaiknya, Azam tentunya menarik perhatian ramai untuk meminangnya. Tetapi pasukan mana yang memiliki kemampuan untuk membawanya keluar saat ini?
Welcome Kobe, all the best Azam 🔁🏆
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) June 4, 2022
Menurut perkongsian pemerhati Liga Malaysia, Zuraimi Zukri, Azam sedang berada di kemuncak prestasinya di usia yang terbaik.
Berusia 27 tahun dengan prestasinya di saingan Liga Super musim ini, beliau berada di tahap terbaik sepanjang kariernya. Malah, beliau berada bersama skuad kebangsaan untuk kelayakan Piala Asia 2023.
“‘In stats’, sebelum Azam turun membantu pasukannya mengikat JDT 2-2 di Stadium Sultan Ibrahim, dia berada dalam prestasi terbaik. 5 perlawanan sebelumnya, Azam merekod 4 gol dalam 4 perlawanan berturut-turut termasuk 2 percubaan jarak jauh yang mencuri tumpuan. Dalam tempoh itu, dia juga menyumbang 2 bantuan gol. Ia merupakan catatan peribadi terbaik dalam kariernya. Statistik itu sebenarnya sangat bergaya dari seorang pemain tengah yang boleh bertahan dan menyerang.”
Zuraimi Zukri
Zuraimi turut menimbulkan satu persoalan, siapa atau pasukan manakah yang mahukan Azam ketika ini?
Baginya tiada masalah untuk mana-mana pasukan meminang Azam. Tetapi, satu perkara yang penting adalah pasukan yang mahu membawanya masuk harus pastikan beliau bermain dan berprestasi seperti sekarang.
Azam adalah pemain yang mahukan aksi antarabangsa apabila beliau sentiasa mahu namanya tersenarai.
“Maksud aku mana-mana pasukan berminat dengannya pastikan dia boleh main seperti sekarang dan pastikan dia kekal berprestasi. Umur Azam (27) dah tak boleh di ‘downgrade’ kepada peranan lebih rendah, tak sempat dia nak kejar balik. Jangan ‘pencenkan’ dia ketika dia tengah bagus. Benda macam ni dah jadi pembunuh dalam diam untuk skuad kebangsaan – telah dirosakkan dengan duit.”
“Sepatutnya duit itu boleh membangunkan bola sepak di Malaysia.”
Zuraimi Zukri
Adakah ini kali terakhir peminat Pahang menyaksikan Azam Azih dalam jersi Tok Gajah? pic.twitter.com/49W7zUvQC7
— KOPPA (@koppatv) June 4, 2022
Prestasi baik di liga telah beliau bawa ke skuad kebangsaan. Kita tidak mahu kehilangan aspek sebegini.
Sebelum ini, kita kerap kali kehilangan pemain yang berada di tahap terbaik disebabkan gagal mendapat minit permainan.
Ya, akan dapat sebilangannya yang mampu bermain baik walaupun tidak beraksi tetapi ia adalah kes terpencil. Itupun ia bukanlah prestasi yang sangat baik tetapi boleh kita anggap cukup membantu pasukan.
Diharapkan Azam dapat berfikir sedalamnya sebelum membuka langkah berhijrah. Tiada masalah untuk kejar cita-cita yang lebih tinggi tetapi adakah berhijrah membantunya berada di tahap seperti mana sekarang?
Kita boleh lihat sahaja bagaimana impak memiliki minit permainan kompetitif membantu pemain memberikan yang terbaik bersama skuad kebangsaan. Contohnya dalam perlawanan Piala Asia B-23 lewat malam tadi.
Peledak dua gol Thailand, Suphanat Mueanta meraih minit permainan konsisten di Thai League 1 sejak lima tahun kebelakangan ini dan di usia 19 tahun, beliau tampak lebih matang dan berprestasi berbanding ‘rakan’ seusianya dalam skuad Malaysia, Luqman Hakim Shamsudin yang kurang minit permainan kompetitif.