Menjelang aksi pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung tidak lama lagi, para pemain skuad kebangsaan dilihat giat menjalani latihan agar terpilih oleh barisan kejurulatihan dalam senarai akhir pemain nanti.
Antara pemain yang mempamerkan latihan dengan serius adalah tonggak pertahanan tinggi lampai, Junior Eldstal setelah beliau kembali pulih daripada kecederaan.
Sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya, petang tadi
4️⃣ hari lagi menjelang Perlawanan Antarabangsa menentang Brunei di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jumaat ini (27 Mei), jam 9.00 malam.
Dapatkan tiket di https://t.co/yPVcBB3eyw sekarang! #FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/5DJZHc2Shi
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) May 23, 2022
Menurut pertahanan kacukan tersebut, beliau sudah pun mendapatkan khidmat jurulatih dari Australia pada bulan lalu dalam usaha untuk memastikan dirinya kembali sembuh serta mencapai tahap kecergasan sepatutnya.
Hal ini bertujuan beliau mampu memberi sesuatu yang positif buat skuad kebangsaan sekali gus melayakkan diri sebagai salah seorang pemain pilihan Kim Pan-gon.
“Sudah semestinya saya boleh berada dalam pasukan negara ketika ini kerana sudah mendapatkan khidmat penolong jurulatih daripada Australia di Bangkok sebagai persediaan sebulan lepas untuk fisioterapi bagi memulihkan kecederaan.
“Saya berharap dapat membantu Pan-Gon (dalam kelayakan Piala Asia) dan paling penting macam dikatakan beliau telah memanggil 30 pemain jadi jurulatih berhak memilih yang terbaik.
”Tugas kami (pemain) adalah hormat dan memberi 100 peratus semasa sesi latihan,” katanya kepada BERNAMA.
Untuk rekod, Eldstal telah mengalami kecederaan pada tahun lalu di bahagian perut ketika saingan Piala AFF 2020 di Singapura dan terpaksa melupakan baki saingan bersama skuad negara.
Dalam masa yang sama, pemain yang mewakili kelab Choburi FC di Thailand itu juga memandang tinggi akan keupayaan Pan-Gon dilihat mampu untuk membuktikan sesuatu pada aksi akan datang dalam membentuk skuad terbaik kebangsaan.
Confirmed! JUNIOR ELDSTAL's contract has been extended for another year 🦈🇲🇾🇸🇪 #BelieveInFuture#BelieveInBlues#เชื่อที่จะชล#ChonburiFC2021 pic.twitter.com/itQ4BsPLXw
— Chonburi FC Official (@ChonFCOfficial) April 21, 2021
“Sebelum saya datang, jurulatih (Pan-Gon) mengadakan Zoom dengan saya selama dua jam bagi memberitahu perancangan untuk saya dan pasukan, jadi ia bagus sebab (saya) boleh tahu bagaimana perancangan beliau,” katanya.
Malaysia bakal beraksi dalam perlawanan persahabatan Tier 1 untuk menentang Brunei pada 27 Mei ini dan Hong Kong seterusnya bagi menguji kemampuan para pemain sebelum aksi Kelayakan Piala Asia 2023 selepas itu.
Dalam aksi yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu, Harimau Malaya telah diundi bersama dalam Kumpulan E akan berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.