Adakah Kroni Punca Futsal Wanita Malaysia Jahanam?

Kroni dikatakan punca utama mengapa skuad futsal wanita negara tidak pergi jauh di temasya Sukan SEA pada tahun ini, selepas mereka hanya memenangi pingat gangsa sahaja.

Sejauh mana kebenaran kenyataan tersebut? Adakah ia berlaku secara terang-terangan atau sekadar khabar angin? Mari kita bincangkan.

Tidak dinafikan memenangi pingat merupakan satu hal yang sangat membanggakan, tidak kira pingat emas, perak mahupun gangsa.

Namun dengan rekod dua kalah dan satu seri, adakah wajar untuk kita meraikan kejayaan skuad futsal wanita negara memenangi pingat gangsa?

Untuk mereka yang tidak mengikuti perkembangan skuad futsal wanita negara, pencapaian kali ini sudah cukup membanggakan kerana setidak-tidaknya skuad negara pulang membawa pingat.

Namun untuk mereka yang benar-benar mengikuti perkembangan mereka, skuad futsal wanita negara sebenarnya berpotensi untuk bawa pulang setidak-tidaknya pingat perak.

Skuad futsal negara pada ketika ini merupakan antara generasi emas negara dengan kita memiliki bakat-bakat yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Kejohanan Malaysian Premier Futsal League (MPFL) sebelum ini sudah membuktikan yang negara kita memiliki bakat-bakat hebat yang boleh membantu negara untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Namun di mana silapnya hingga mereka sekadar menjadi lauk kenduri di kejohanan Sukan SEA kali ini?

1) Pemilihan Jurulatih yang tak masuk akal

Agak mengejutkan ketika mendengar FAM mengumumkan nama Jamhuri Zainuddin sebagai jurulatih skuad futsal wanita negara.

Jamhuri sebenarnya merupakan ketua jurulatih skuad futsal wanita Melaka dan memang tak masuk akal untuk melantik beliau mengurus skuad kebangsaan pada masa sama.

Pemilihan pemain untuk skuad Sukan SEA kali ini diadakan ketika aksi MPFL sebelum ini dan memandangkan Jamhuri sibuk menguruskan skuad Melaka, dari mana beliau menilai pemain lain?

Sudah tentu akan timbul isu kroni ketika beliau membariskan pemain-pemain dari skuad Melaka untuk mewakili negara di pentas Sukan SEA kali ini.

2) Pemilihan pemain

Seperti yang dinyatakan di atas, sudah tentu akan timbul isu kroni jika melihat kepada senarai pemain yang beliau pilih untuk wakili skuad negara di pentas Sukan SEA kali ini.

Ramai pemain berpotensi lain yang tidak disenaraikan dan hal itu sebenarnya satu kerugian besar untuk skuad futsal negara.

Antara kehilangan yang paling dirasai adalah ketiadaan Nur Afrina Azhar dan Steffi Sarge Kaur yang tidak disenaraikan dalam skuad ini.

Afrina merupakan antara penjaring gol terbaik yang kita miliki dan beliau turut dianggap calon pengganti Fatin Shahidah sebagai penyerang utama negara.

Kualiti penyudah yang beliau miliki jelas sekali sangat berguna untuk skuad negara yang sepertinya terlalu sukar mencari gol di pentas Sukan SEA kali ini.

Paling mengejutkan ketika nama Steffi turut tidak disenaraikan dalam skuad negara kali ini kerana jelas sekali pengalaman dan kepimpinan beliau sangat ditagih.

3) Mengharap pada pemain sama

Dari ketiga-tiga perlawanan skuad negara di pentas Sukan SEA kali ini, Jamhuri seperti hanya berharap pada gandingan Siti Norazizah, Nur Syafiqah, Siti Asnidah, Intan Sarah, Hanani Adriana.

Ya gandingan pemain Melaka dan tak hairanlah mengapa isu kroni disebut-sebut sebagai punca kejatuhan skuad futsal negara kali ini.

Pemain seperti Nur Ainsyah Murad sangat berprestasi di kejohanan kali ini namun minit permainan yang beliau dapat sangat terhad.

Setiap kali dimasukkan untuk beraksi, pemain dari skuad KL Prefer-Cyberlynx itu tidak pernah mengecewakan dengan beliau hebat dalam memberi ancaman ke kubu lawan.

Namun beliau tetap tidak menjadi pilihan utama dan hal sama turut berlaku pada Norhawa yang sangat-sangat cemerlang berfungsi sebagai pertahanan tapi kurang minit permainan.

Dari lima pemain yang diharapkan itu, hanya Intan Sarah seorang sahaja yang betul-betul berfungsi dan beraksi dengan sangat cemerlang dalam kesemua perlawanan.

Agak merugikan jika kita memiliki barisan pemain berkualiti tapi tidak digunakan dengan baik oleh jurulatih.

Tidak keterlaluan untuk menganggap yang skuad negara dengan mudah boleh membawa pulang pingat perak andai jurulatih bijak menggunakan bakat-bakat yang beliau miliki.

4) FAM tak boleh anak tirikan skuad futsal wanita

Lihat dari pemilihan jurulatih sudah cukup untuk membuktikan yang FAM sebenarnya langsung tak peduli dengan skuad futsal wanita negara.

Mengapa tidak keluarkan dana untuk lantik seorang pengurus yang hanya akan beri tumpuan kepada skuad kebangsaan dan boleh menilai pemain dengan lebih sempurna ketika adanya saingan domestik seperti MPFL.

Kebajikan pemain juga sepertinya sangat terabai kerana kebanyakan dari mereka terpaksa bermain futsal dan bola sepak pada masa yang sama demi untuk kelangsungan hidup.

Macam mana pemain bola sepak nak main futsal pada masa sama? Kerana hal itulah dalam perlawanan futsal pun kadang kala banyak long ball.

Andai kebajikan pemain lebih dijaga, maka tentunya mereka tidak perlu bermain kedua-dua sukan berbeza itu pada masa yang sama.

Untuk apa laksanakan program bola sepak wanita dari akar umbi, andai masa depan mereka dalam dunia sukan ini tidak terbela?

Dengan pengurusan yang betul, jangan terkejut skuad wanita negara boleh sampai ke Piala Dunia terlebih dahulu berbanding lelaki.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN