“Saya Berharap Untuk Diturunkan” – Brendan Gan Fokus Kembali Dalam Saingan Liga Malaysia

Nampaknya tidak lama kerinduan para penyokong bola sepak tempatan pada aksi Brendan Gan di atas padang bakal terubat apabila pemain tersebut kini bakal membuat penampilan dalam beberapa siri persahabatan bersama Selangor.

Gan ketika ini sudah turun menjalani latihan bersama skuad dan siri perlawanan persahabatan yang bakal berlangsung tidak lama lagi bakal digunakan pemain tengah berpengalaman tersebut untuk meraih kembali tahap keyakinan terbaik sebelum dibawa turun beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Sebelum itu, Gan ditimpa malang apabila menghidapi penyakit kanser yang memerlukan beliau untuk berehat panjang dari sebarang aksi bola sepak ketika berada di prestasi kemuncak.

Kini, beliau tampak semakin baik dan perkembangan positif berjaya dipamerkan Gan sepanjang sesi latihan bersama rakan sepasukan untuk mendapatkan tahap kecergasan terbaik sebelum dibawa turun beraksi dalam perlawanan kompetitif musim ini.

Ditambah dengan keadaan liga sedang bercuti selama hampir lima minggu ini, Gan jelas mahu menggunakan peluang tersebut sebaiknya dalam beberapa siri perlawanan persahabatan yang bakal dihadapi Selangor pada tarikh akan datang.

“Kami akan ada beberapa perlawanan persahabatan selepas ini, jadi sudah tentu saya berharap dapat turun beraksi bagi mendapatkan semula tahap kecergasan dan memang tidak mudah untuk terus bermain macam itu sahaja.

“Ia memerlukan strategi dan jika semuanya berada dalam keadaan yang baik, saya memang berharap untuk diturunkan, penting untuk saya dapat balik corak permainan dalam padang, dan selepas itu mungkin berpeluang untuk berikan sesuatu dalam aksi menentang Sarawak United nanti.

“Apa pun, saya hargai sokongan yang sentiasa di belakang saya di mana bola sepak sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya, tetapi selepas apa yang berlaku, saya sedar ada lagi sesuatu di luar daripada bola sepak yang lagi penting.

“Cuma sekarang, inilah (bola sepak) semangat saya yang saya nak bagi balik dekat penyokong dan untuk membantu kelab ini”, jelasnya kepada MFL.

Selain itu, Gan juga mahu pemain yang sudah pun mempamerkan aksi positif sebelum itu terus diberi peluang kerana memberi manfaat terbaik pada pasukan sambil memberi bantuan dari tepi padang.

Gan percaya apabila tiba masanya nanti, beliau akan diberi peluang untuk kembali menabur bakti buat pasukan apabila keadaannya sudah pulih seperti sedia kala selain keyakinannya kembali pada tahap optimum.

“Lima minggu ini saya mahu cuba untuk kembali berada dalam keadaan terbaik 100 peratus sebab tiada guna jika saya hanya mampu berikan 50 peratus sahaja di atas padang sedangkan kita ada pemain berkualiti lain yang dapat beri sehingga 100 peratus.

“Jadi, sebab itu saya kena terus bekerja keras dan percaya dengan proses tidak kira macam mana proses itu berjalan, saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk diri sendiri dan pasukan”, tambahnya.

Selangor bakal kembali beraksi dalam saingan liga pada 19 Jun depan apabila bakal berhadapan Sarawak United untuk misi mencatat keputusan lebih positif musim ini.

Sumber:
MFL

Leave a Reply