Ia malam yang pastinya mahu segera dilupakan pertahanan Perak FC, Aiman Yusni apabila telah menjaringkan gol sendiri yang boleh diiktiraf tercantik pada musim ini dalam pusingan kedua Piala FA 2022, malam tadi.
Perak tumbang 1-4 kepada Penang FC dan sah tersingkir daripada saingan Piala FA edisi kali ini dan gagal mengulangi pencapaian pada edisi terakhir ia dilangsungkan pada 2019 yang mana mereka mara ke final.
Selain jaringan sendiri Aiman Yusni, perlawanan turut diserikan dengan dua gol oleh penyerang, Hilal El-Helwe pada minit ke-2 dan ke-89 selain jaringan bekas pemain Perak musim lalu, Adib Raop di minit kecederaan separuh masa kedua serta satu-satunya jaringan oleh penyerang tuan rumah, Aqil Hilman pada minit ke-69.
Ia juga merupakan kemenangan pertama pengendali sementara Penang, Manzoor Azwira selepas mengambil alih kerusi panas yang diduduki Tomas Trucha sebelum ini. Selain itu, Manzoor juga berhasil menewaskan rakan baiknya ketika sama-sama beraksi di era kegemilangan Perlis pada musim 2006 yang lalu, Yusri Che Lah.
Penang terlebih dahulu membuka jaringan di minit ke-2 selepas Hilal El-Helwe menyempurnakan sepakan percuma di luar kotak penalti menewaskan Syazwan Syazani di sudut kanan gawang yang dikawalnya.
Manzoor dilihat menurunkan formasi 4-5-1 dengan Casagrande diletak sebagai penyerang tunggal di atas dan dibantu Endrick dos Santos dan Hilal di belakangnya. Menariknya kali ini, Danial Ashraf diletakkan di sebelah sayap kanan, sementara T. Saravanan diberikan lesen bergerak di sebelah koridor kiri Harimau Kumbang.
Saravanan tampak menjadi fokal serangan buat Penang dalam perlawanan ini apabila majoriti hantaran untuk menyerang ke kubu tuan rumah lebih menjurus ke arahnya untuk membuat larian pantas memecah pertahanan.
Antaranya pada minit ke-9 dan ke-11 yang hampir memberikan kelebihan besar buat pelawat apabila bek kanan tuan rumah, Aiman Yusni gagal membendung pergerakan Saravanan. Namun, Saravanan sedikit lemah dalam membuat keputusan. Aiman Yusni dilihat terpaksa menggunakan kekerasan untuk mengatasi pemain itu.
29' GOL | Aiman Khairul Yusni menjaringkan gol sendiri.@perakfcofficial 0-2 @Penang_FC #PialaFA2022 pic.twitter.com/zgpLinvOYK
— Malaysian Football League (@MFL_MY) May 14, 2022
Namun, kesukaran demi kesukaran menyaksikan Aiman Yusni melalui malam yang lebih buruk. Pintasannya hasil hantaran lintang Hilal El-Helwe ke depan kotak penalti dilihat ‘cantik’ menewaskan Syazwan untuk gol kedua pelawat di minit ke-29. Ia adalah gol yang tidak dijangka oleh sesiapa termasuklah penjaga golnya.
Selepas acapkali dibayangi larian deras Saravanan di sebelah kanan dan kesilapan jaringan sendiri, Aiman Yusni akhirnya dikeluarkan Yusri dengan Idris Ahmad dibawa masuk untuk mengukuhkan semula benteng mereka.
Minit ke-69, Aqil Hilman akhirnya berjaya meledak jaringan pertama The Bos Gaurus apabila memanfaatkan rembatan Khairul Syafiq dengan membuat sentuhan mudah di depan penjaga gol Penang, Hafizul Hakim.
Penang berjaya mendapatkan sepakan penalti di minit ke-89 selepas penjaga gol gantian lawan, G. Yuganes menjatuhkan Endrick di dalam kotak penalti dan ia disempurnakan oleh Hilal El-Helwe untuk gol ketiga mereka.
Di minit kecederaan, pemain gantian, Adib Raop yang juga merupakan bekas pemain Perak musim lalu berjaya merampas bola hasil kesilapan Idris seterusnya menewaskan Yuganes untuk Penang mendahului perlawanan 4-1. Ia terus menamatkan sisa kebangkitan dan menyingkirkan Perak daripada saingan Piala FA edisi kali ini.