Kempen skuad bola sepak Laos di temasya Sukan SEA 2021 mungkin tidak begitu memberangsangkan, namun jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney masih melihat pasukan tersebut mampu memberi ancaman berdasarkan pengalaman beberapa bulan lalu.
Dalam kumpulan B, Laos terikat 2-2 menentang Singapura dalam aksi pertama dan kemudian tewas 4-1 kepada Kemboja.
Menurut laporan The Star, Maloney yang bercakap dalam sidang media mahu anak-anak buahnya memberikan perhatian kepada kualiti yang dimiliki oleh kapten Laos – Bounpachan Bounkong.
Pemain berusia 21 tahun itu merupakan nadi utama skuad yang digelar Sejuta Gajah berkenaan ketika Malaysia diaibkan dengan dua kekalahan kepada lawan yang sama di kejohanan Piala AFF B-23 pada bulan Februari lepas.
https://www.instagram.com/p/CaPd_oXP4lg/?utm_source=ig_web_copy_link
Meskipun skuad negara membuat kejutan menumpaskan pasukan pilihan Thailand 2-1 tempoh hari, ia bukanlah ‘lesen’ untuk memandang rendah terhadap keupayaan Laos.
“Kita tahu betapa berpengaruhnya dia berdasarkan dua perlawanan yang kita beraksi berdepan mereka pada Februari. Jadi kita perlu berikan perhatian lebih kepadanya walaupun pemain lain juga sama bahayanya,” ujar Maloney.
“Michael Weiss (Jurulatih Laos) telah membentuk pemain muda ini dengan sebaiknya sejak dia mengambil alih. Walaupun keputusan dua perlawanan awal tidak begitu memihak kepada mereka, saya percaya mereka masih mempunyai kualiti yang perlu kita berwaspada.
“Kita bersedia sepenuhnya untuk berdepan dengan mereka dan turun dengan misi mendapatkan kemenangan kedua.”
Mengenai keadaan pertahanan kanan Azam Azmi Murad yang mengalami kecederaan kepala, Maloney menjelaskan pemain tersebut tidak akan diturunkan untuk aksi menentang Laos.
Azam Azmi Murad Sudah Keluar Hospital, Tapi Mungkin Bakal Direhatkan Beberapa Aksi?https://t.co/lmdtTy2km2
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) May 8, 2022
Azam Azmi perlu melengkapkan protokol rehat selama tujuh hari sebelum dibenarkan kembali beraksi dan empatnya akan diganti oleh pemain Selangor, Quentin Cheng.