Gol dramatik pada saat-saat akhir telah memberikan Malaysia kemenangan pertama selepas menewaskan Thailand 2-1 dalam aksi pertama peringkat kumpulan temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi.
Sudah menjadi perkara biasa untuk melihat stadium dipenuhi dengan penyokong yang hadir memberi sokongan padu kepada pasukan tuan rumah.
Atas faktor kekangan jarak dan perbelanjaan, tidak banyak penyokong setia skuad Harimau Malaya yang hadir menyaksikan perlawanan di antara Malaysia dan Thailand, Stadium Thien Troung di Nam Dinh.
Tetapi apa yang mengejutkan, stadium berkenaan dipenuhi dengan ribuan penyokong tempatan Vietnam yang memberi sokongan dan sorakan kepada skuad kendalian Brad Maloney, terutamanya ketika keraian jaringan Azfar Fikri Azhar pada masa kecederaan.
Golllllll!!!!!! Azfar Fikri Supersub 🔥🔥@ASTROARENA pic.twitter.com/qwPGg6bjtn
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) May 7, 2022
Bagi menjawab persoalan ini, Semuanya BOLA menghubungi seorang wartawan Vietnam, Hoang Duy Anh bagi mendapatkan penjelasan.
“Jawapannya mudah, penyokong Vietnam sentiasa menganggap Thailand sebagai seteru utama. Sebelum ini dalam kejohanan Piala AFF Suzuki kami tewas kepada Thailand. Dari dulu sehingga sekarang, itulah kebiasaannya,” ujarnya.
Duy Anh turut menjelaskan bahawa penyokong dibenarkan masuk ke dalam stadium secara percuma melibatkan semua perlawanan Kumpulan B.
“Kecuali Kumpulan B, tiket perlawanan dijual seperti biasa. Penganjur percaya ia bagus untuk mewujudkan suasana meriah di Stadium Thien Truong. Penyokong Nam Dinh juga cukup terkenal dengan sikap fantatik mereka dan yang terbaik di V.League,” tambahnya lagi.
Seperti yang diketahui, dalam beberapa tahun kebelakangan ini Vietnam dan Thailand merupakan dua musuh tradisi yang mahu memasakkan kedudukan mereka selaku jaguh di rantau Asia Tenggara.
Maka tidak hairan mengapa Vietnam menggunakan kesempatan ini untuk memberikan tekanan psikologi kepada skuad kendalian Mano Polking dalam aksi menentang Malaysia dengan menghantar penyokongnya sebagai ‘senjata’.