Kemenangan berganda JDT ke atas Ulsan Hyundai pada petang semalam melonjakkan mata AFC MA Ranking Malaysia sekali gus kini menduduki tangga ke-10.
Berdasarkan perkongsian Footy Ranking, Malaysia telah mengutip 35.020 mata keseluruhan. Dan kedudukan ini memberikan negara lebih banyak slot untuk pertandingan AFC Champions League (ACL) musim 2024/25.
Ini juga bermakna JDT telah membuka lebih banyak laluan untuk kelab-kelab dari Liga Super Malaysia bertanding di pentas kelab-kelab elit Asia itu pada 2024.
Kiraan MA ranking terkini.
Daripada 4 slot yang diperolehi, dua slot akan membenarkan pasukan layak ke pusingan peringkat kumpulan secara automatik. Manakala dua lagi pasukan harus melalui peringkat play-off.
Sebelum perlawanan pada petang semalam, Malaysia hanya berada di kedudukan ke-16 dan memiliki slot 1+1 untuk pertandingan ACL.
Piala AFC
Malaysia masih boleh menempah lebih banyak slot ke Asia untuk pertandingan Piala AFC, sekiranya Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC mampu menampilkan prestasi memberangsangkan dalam pertandingan tersebut yang akan bermula pada Jun nanti.
Slot untuk Piala AFC juga berkemungkinan akan dikhaskan untuk pasukan yang menjuarai piala domestik seperti Piala FA dan Piala Malaysia.
Perkara itu akan diputuskan dan dimuktamadkan oleh Malaysian Football League (MFL) sebagai pengelola pertandingan domestik di negara ini.
Ramalan pasukan akan ke AFC 2024?
Berdasarkan konsistensi sejak musim 2019, sukar untuk melihat mana-mana pasukan menggugat kekuatan JDT dalam mendominasi saingan Liga Super Malaysia (MSL) pada musim ini.
Oleh itu JDT akan terus menjadi pasukan pilihan untuk muncul juara MSL pada musim ini sekali gus memperolehi slot automatik ke pusingan peringkat kumpulan ACL pada 2024.
Pasukan pilihan kedua yang menjadi pilihan untuk terus beraksi di peringkat kumpulan pula boleh diberikan kepada Kedah. Pasukan dari utara tanah air itu konsisten menduduki tangga kedua pada 2019.
Walaupun pada musim 2021 mereka mengakhiri saingan di kedudukan ke-4, Kedah sekali lagi menamatkan MSL 2021 sebagai pasukan kedua terbaik di belakang JDT.
Salah satu slot play-off pula diramalkan akan menjadi milik Terengganu FC. Kelab dari pantai timur itu menamatkan saingan MSL di kedudukan ke-3 pada 2019 dan kemudiannya ke-4 pada musim lalu.
Sukar untuk meramalkan sebuah lagi pasukan kerana konsistensi sering menjadi isu di saingan MSL. Berdasarkan saingan sejak MSL 2019, Selangor FC, Penang FC atau pun Sri Pahang FC – semuanya boleh mengejutkan berada di kedudukan empat teratas.
Namun sekiranya saingan musim ini – yang baru berlangsung lima perlawanan – diambil kira, JDT dan Sabah FC akan memperolehi slot automatik. Manakala Kedah dan Negeri Sembilan akan beraksi di play off.
Saingan MSL musim 2023 pasti akan menjadi lebih menarik untuk melihat kelab-kelab ini bersaing merebut slot ke Asia.