Situasi Penang FC ketika ini seperti telur di hujung tanduk apabila berada di dasar Liga Super 2022 dan menurut perkongsian penyokong tegar, Kenneth Chew, sudah ada tindakan drastik secara dalaman sedang digerakkan.
Ini adalah hasil perkongsian salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Penang FC, Datuk Norazmi Mohd Narawi kepadanya ketika bertemu di pejabat pengurusan di Komtar ketika beliau hadir mengambil pas bermusimnya.
Sebelum ini tersebar khabar angin yang mengatakan pengendali, Tomas Trucha sudah tidak mengendalikan sesi latihan, malah menurut perkongsian laman penyokong di Facebook, Penang Brotherhood, mendakwa pengendali itu meminta sejumlah RM300,000 sebagai wang pampasan jika kontraknya ditamatkan awal.
Penang dalam prestasi terburuk mereka sejak kembali ke Liga Super pada musim lalu. Selepas enam aksi, mereka hanya meraih tiga mata dan berada di dasar liga. Menurut portal Sukanz, 75 peratus hampir pasti Penang akan tersingkir semula ke Liga Premier. Ini kerana, berdasarkan rekod sebelum ini, jelas itu akibatnya.
Harimau Kumbang tewas dua perlawanan berturut-turut kepada Kedah Darul Aman dengan keputusan 1-2 dan pasukan bergelut Sri Pahang (1-3) selain tewas 0-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan terikat 1-1 dalam tiga perlawanan berturut-turut, ketika berdepan Melaka United, Sarawak United serta Negeri Sembilan FC.
Jika mereka gagal memperbaiki prestasi tersebut, peratusan untuk teringkir ke Liga Premier semakin menjadi besar. Penyokong sudah mula bersuara di media sosial mengenai situasi tersebut, malah ada yang meminta agar Tomas Trucha disingkirkan. Tetapi, adakah ini mampu untuk kembalikan ‘roh’ perjuangan mereka?
Kenneth Chew yang berpeluang bertemu muka bersama Ahli Lembaga Pengarah Penang FC turut tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan perkara ini kepada Norazmi dan nampaknya seperti sudah ada tindakan drastik sedang digerakkan walaupun tidak didedahkan apa yang sedang berlaku saat ini.
Adakah benar, Manzoor Azwira dan Chong Yee Fatt sudah mengambil teraju mengendalikan pasukan secara sementara? Mengikut perancangan awal pihak pengurusan, Manzoor Azwira sudah dijanjikan akan diangkat sebagai pengendali pasukan pada musim hadapan – selepas beliau menamatkan kursus Lesen Pro AFC.
“Semalam saya terbaca ada penyokong memberitahu bahawa beliau tidak nampak kelibat ‘Coach’ Trucha dalam latihan. Apa yang saya faham macam sudah ada pergerakan dalaman yang cuba memperbetulkan apa yang patut diperbetulkan. In the process, kata orang putih. Apapun, saya tidak dapat kepastian akan perkara tersebut kerana masih belum dimuktamadkan.”
Kenneth Chew
Terdapat juga isi perbincangan lain, hasil perkongsian Kenneth Chew yang boleh dibaca oleh para penyokong Harimau Kumbang. Apa yang pasti, sudah ada gambaran tindakan drastik sedang dibuat pihak pengurusan untuk memperbaiki ‘kerosakan’ kepada pasukan yang pernah meraih kedudukan ketiga liga musim lalu itu.
Apa yang diharapkan penyokong terus melontarkan semangat buat pasukan dalam bentuk sokongan padu.