Tewas 3-0 kepada Arsenal, perlawanan ini adalah derby yang mahu dilupakan oleh Conte dan penyokong Chelsea.
Arsenal memulakan perlawanan dengan formasi kebiasaan iaitu 4-2-3-1.
Seperti biasa, Arsene Wenger terus meletakkan kepercayaan kepada pasangan pivot Santi Cazorla-Francis Coquelin dan Alexis Sanchez sebagai penggempur utama. Granit Xhaka dan Olivier Giroud bermula dari bangku simpanan.
Pengurus Chelsea, Antonio Conte pula menggunakan formasi 4-1-4-1 dalam perlawanan ini.
Tanpa kehadiran Oscar, Conte meletakkan Cesc Fabregas dalam kesebelasan utama selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam League Cup.
Arsenal bermula dengan intensiti tinggi
Satu perkara yang paling jelas adalah Arsenal memulakan perlawanan dengan intensiti tinggi.
Mereka menekan Chelsea dengan kelajuan counter attack, kelajuan hantaran, kelajuan membuat keputusan dan kelajuan menutup ruang Diego Costa.
Inilah karakter pasukan yang mengamalkan free flowing football. Sikap pro-aktif pemain Arsenal dalam perlawanan ini membuatkan Chelsea tertekan.
Gerakan Arsenal sangat lincir terutama ketika transisi dari bertahan kepada serangan.
Situasi menjadi lebih buruk buat Chelsea apabila Gary Cahill bermain dengan buruk. Seolah-olah beliau tak mampu melupakan kesilapan mirip beliau ketika Chelsea seri 2-2 menetang Swansea.
Kesilapan inilah yang memberikan Arsenal gol pertama.
Arsenal bermain dengan bijak
Zon 14 dan half space sekali lagi menjadi keutamaan Arsenal ketika merancang serangan. Dalam perlawanan ini pertahanan dan defensive midfielder Chelsea terlalu banyak memberi ruang kepada pemain-pemain kreatif Arsenal di sekitar zon 14.
Di bawah ini anda boleh lihat contoh bagaimana Alex Iwobi memanipulasi zon 14 sehingga menghasilkan gol ke-2 mereka.
Theo Walcott pula masuk ke zon half space. 2 lagi full backs Arsenal memberikan width kepada pasukan mereka.
Meskipun baru berumur 19 tahun, Iwobi bermain dengan cemerlang dalam perlawanan ini. Maka tak hairanlah beliau menjadi pemain pilihan utama berbanding pemain senior lain.
Gambar di bawah menunjukkan satu lagi contoh serangan bijak. Gerakan ini menghasilkan gol ke-3 Arsenal.
Kali ini ia melibatkan Mesut Ozil dan Alexis Sanchez. Gandingan 2 pemain ini merupakan gandingan ‘impian’ bagi mana-mana pengurus yang mahukan pemain no.10 dan no.9.
Arsenal bertahan dengan cemerlang
Diego Costa adalah penyerang yang berada dalam prestasi terbaik.
Namun di dalam perlawanan ini beliau gagal berfungsi. Bukan kerana beliau tidak beraksi dengan bagus, sebaliknya kerana gandingan Laurent Koscielny dan Skhodran Mustafi terlalu cemerlang dalam perlawanan ini.
Untuk memperbaiki situasi ini, Chelsea beberapa kali menukar sistem dan corak serangan mereka. Namun tidak satu pun sistem itu berjaya menghukum Arsenal.
Mustafi dan Koscielny sentiasa mengecilkan dan menutup ruang untuk Costa setiap kali pemain tersebut berada di zon serangan. Struktur pertahanan mereka sangat stabil.
Gambar di bawah pula menunjukkan sentuhan-sentuhan bola yang dilakukan Costa dalam perlawanan ini.
Bayangkan hanya 2 sahaja sentuhan bola yang diperolehi Costa dalam kotak penalti Arsenal. Jelas sekali Costa agak keseorangan dan terpisah dengan jentera tengahnya.
Mustafi dan Koscielny sahaja sudah melakukan 10 pintasan hantaran (interceptions) dan 12 pembuangan bola (clearances) dalam perlawanan ini secara keseluruhannya.
Taktikal Conte
Conte pada awalnya kelihatan bermula dengan 4-2-3-1 namun di dalam perlawanan ini, mereka banyak bergerak dalam sistem 4-1-4-1.
Kelemahan 4-1-4-1 Conte adalah Chelsea tidak memiliki pemain tengah box-to-box yang efisien seperti mana yang dimiliki oleh Borussia Dortmund (Gonzalo Castro, Sebastien Rode) dan Bayern Munich (Thomas Mueller, Arturo Vidal).
Chelsea memerlukan lebih banyak mobiliti dari 2 titik utama gambar bawah ini. Dan biasanya mobiliti ini dibekalkan oleh pemain tengah box-to-box.
Dalam perlawanan tersebut, Conte meletakkan Cesc Fabregas dan Nemanja Matic – dua pemain yang kurang mobiliti – sebagai pemain tengah di atas N’Golo Kante. Akibatnya, 4-1-4-1 Conte tidak dinamik.
Saya boleh faham jika Fabregas tidak dapat menawarkan mobiliti. Tetapi apa yang sudah terjadi kepada Matic? Beliau sebenarnya boleh bermain secara box-to-box.
Selain itu sistem 4-1-4-1 Conte juga kelihatan pasif. Langsung tak agresif.
Dalam gambar di bawah, anda boleh lihat tiada tekanan diberikan oleh Fabregas dan Matic apabila pemain Arsenal memegang bola.
Akibatnya Kante tidak tahu pemain mana yang perlu dikawalnya!
Ketika menyerang, Fabregas dan Matic boleh dianggap ‘hilang’. Hazard dan Willian pula gagal untuk berinteraksi dengan Costa.
Di belakang pula, aksi lemah 4 pertahanan mereka umpama bom jangka yang akan meletuskan pada bila-bila masa.
Kegagalan ini juga pernah berlaku ketika menentang West Ham pada 16 Ogos 2016 lepas (Chelsea menang 2-1). Conte terpaksa menukar sistem 4-1-4-1 kepad 4-4-2 untuk membolehkan mereka bertransisi kepada 4-2-4.
Perubahan separuh masa kedua
Pada awal separuh masa kedua, Conte beralih kepada sistem double pivot 4-2-3-1 pula. Namun ia masih belum cukup untuk memberikan ancaman kepada Chelsea.
Kemudian dengan kemasukan Marcos Alonso, Conte mencuba sistem back three. Branislav Ivanovic, Gary Cahill dan David Luiz menjadi back three.
Sistem ini membolehkan mereka bermain dengan sistem attacking three. Ketika ini, Alonso dan Azpilicueta sudah menjadi wing back.
Sistem 3-4-3 mereka masih gagal memberikan impak kerana kualiti mereka pada perlawanan tersebut memang di bawah tahap memuaskan.
Tetapi ia tetap ada hasilnya. Perubahan taktikal ini berjaya mewujudkan situasi 1v1 antara Pedro dengan Petr Cech. Tetapi peluang itu hilang apabila Hector Bellerin melakukan bentesan fantastik terhadap Pedro.
Kesimpulan
Perlawanan ini merupakan gabungan persembahan bermutu Arsenal dan prestasi yang lemah Chelsea. Chelsea tewas segala-galanya: dari segi jaringan, taktikal, teknikal, kelajuan, kreativiti, struktur dan mentaliti.
Sistem false nine Arsenal pula semakin menjadi.
Selepas kerap kali dihampakan oleh input Olivier Giroud dalam perlawanan besar sebegini, Alexis sebagai false nine adalah penyelesaian yang diharap-harapkan oleh ramai penyokong Arsenal.
Conte pula cuba mengubah nasib pasukan dengan pertukaran formasi. Namun kerosakan daripada separuh masa pertama terlalu teruk dan sukar untuk dirawat pada separuh masa kedua.
Conte harus mempertimbangkan formasi 4-1-4-1 dalam pasukan yang beliau ada. Ini kerana sistem ini memerlukan pemain tengah yang dinamik; sesuatu yang tiada dalam barisan pemainnya.
Pemain terbaik perlawanan
Alexis Sanchez (Arsenal)
Sukar untuk memilih kerana ramai pemain Arsenal yang beraksi cemerlang. Dari Koscielny, Mustafi, Bellerin, Ozil hinggalah ke Iwobi, semuanya saya rasa layak.
Namun selepas mempertimbangkan penyudah berkualiti dan assist kepada Ozil, maka saya secara peribadi memilih Alexis.
Statistik
Baca juga: Bagaimana Arsenal Guna Sistem False 9 & Deep Lying Playmaker Dengan Alexis & Xhaka