Penang FC gagal untuk meraih tiga mata walaupun berjaya mendahului aksi terlebih dahulu menerusi gol pertama Casagrande apabila diikat Sarawak United dengan keputusan 1-1 di Stadium Negeri, Kuching.
Penang turun dengan barisan terbaik mereka dengan dapat menyenaraikan semua pemain import apabila Endrick dos Santos dan Casagrande sudah bebas daripada penggantungan yang telah dilalui sebelum ini.
Minit awal permainan, kombinasi menarik sudah dapat dilihat di antara Hilal El-Helwe, Endrick dan Casagrande, namun gerakan yang dimulakan oleh Endrick gagal membuahkan hasil untuk Penang membuka jaringan. Minit ke-12, Sharbinee Allawee berjaya menafikan tandukkan Casagrande, hasil hantaran lintang oleh Adib Raop.
Satu perlawanan yang agak fizikal melibatkan kedua-dua pasukan dan hasilnya dalam 30 minit awal, empat kad kuning sudah dihadiahkan pengadil, Zamzaidi Katimin kepada Christian Rontini, Francis Kone, Rafiuddin Roddin dan Norman Angkun. Mungkin kedua-dua pasukan terlalu dahagakan tiga mata pertama dalam saingan liga.
Sarawak United juga tampil dengan semua pemain import mereka, namun masalah tampak jelas adalah kegagalan Francis Kone untuk membentuk kombinasi baik ketika tuan rumah dilihat cuba mengatur sesuatu.
Rafael Vitor dilihat memiliki ruang untuk meledak gol pada minit ke-26, namun rembatannya tersasar ke sebelah kiri gawang Sarawak United. Kawalan ketat gandingan Stuart Wark dan Gonzalo Soto di bek tengah Enggang Emas kepada penyerang utama, Casagrande telah menyebabkan Penang sedikit mati kutu mengatur sesuatu.
Minit ke-36, rembatan lemah Faizat Ghazli berjaya menewaskan Sharbinee Allawee, namun Norman Angkun berjaya mengeluarkan bola sebelum ia menerjah gawang. Seminit kemudian, Uche Agba juga hanya mampu membuat percubaan lemah ke gawang pelawat yang mudah buat Khatul Anuar menyelamatkan keadaan.
Penang datang sekali lagi ke gawang lawan di minit ke-38 menerusi Adib Raop, namun rembatannya meliar.
Di hujung aksi, Sarawak United mula meningkatkan intensiti mereka dengan menekan defensive third lawan dan di minit ke-43, Shamie Iszuan memiliki peluang terbaik hasil serangan balas pantas, namun Khatul Anuar telah berjaya menyelamatkan gawangnya. Ia kemudian diikuti dengan tandukan tersasar oleh Lee Chang-hoon.
Dua percubaan awal Casagrande ke gawang Sarawak United gagal menewaskan Sharbinee Allawee di awal babak kedua. Penang masih tercari-cari sentuhan penyudah yang lebih tajam selepas beberapa percubaan.
Jika tuan rumah bermasalah dengan Francis Kone, Penang pula bermasalah dengan gerakan Adib Raop yang tidak menjadi bersama rakan sepasukan. Walaupun lincah bergerak di koridor kiri berbanding Faizat Ghazli di sebelah kanan, Adib Raop adakalanya gagal membaca gerakan yang cuba diatur oleh rakan sepasukannya.
Minit ke-60, Sarawak United hampir meledak gol pembukaan, namun dua percubaan oleh Francis Kone dan Uche Agba dinafikan oleh Khatul Anuar. Kecemerlangan Khatul Anuar sekali lagi menyelamatkan pelawat.
Mungkin mengesan kegagalan Adib Raop membina kesefahaman jitu di jentera serangan, pengendali, Tomas Trucha akhirnya membuat pertukaran dengan memasukkan T. Saravanan selepas setengah jam perlawanan.
73' GOL | Casagrande menanduk masuk hantaran lintang Hilal El-Helwe untuk memecahkan kebuntuan di Stadium Negeri!@sufc_rasmi 0-1 @Penang_FC #LigaSuper2022 pic.twitter.com/S16FdiYsUp
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 5, 2022
Pengendali Enggang Emas, B. Satiananthan pula memasukkan dua jentera pantas, S. Veenod dan Gopi Rizqi.
Akhirnya, Harimau Kumbang berhasil meledak jaringan pembukaan menerusi Casagrande di minit ke-73. Bermula dengan gerakan Saravanan di sebelah kiri yang kemudian menemui Hilal El-Helwe di sebelah kanan sebelum melambung bola ke far post untuk ditanduk masuk oleh penjaring utama Penang musim lalu itu.
83' GOL | Boris Kok menampan masuk bola muntah selepas percubaan Lee Chang-hoon menggegar palang gol!@sufc_rasmi 1-1 @Penang_FC #LigaSuper2022 pic.twitter.com/N5OiM7ZRqe
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 5, 2022
Sepuluh minit kemudian, Sarawak United lega apabila Boris Kok yang senyap sepanjang 80 minit berhasil meledak gol hasil sentuhan mudah di depan gol selepas rembatan deras Lee Chang-hoon terkena palang.
Gol pertama Casagrande untuk penampilan pertamanya musim ini bersama Penang tidak cukup untuk membantu pasukannya meraih tiga mata pertama mereka yang akhirnya menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri. Ia juga mata pertama buat Sarawak United untuk saingan liga.