Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon terpaksa melupakan khidmat pemain tengah, Nazmi Faiz Mansor selepas pemain tengah itu disahkan mengalami kecederaan.
Menurut penjelasan oleh Pan-gon – melalui satu kenyataan yang dikongsi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada hari ini – pemain tengah JDT itu mengalami kecederaan pangkal paha ketika menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan yang bermula sejak Isnin lalu.
Pengurusan pasukan kebangsaan bagaimana pun tidak akan memanggil pemain lain untuk menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Nazmi, dan akan kekal dengan 29 pemain buat masa ini.
Nazmi Faiz Mansor alami kecederaan
Dukacita dimaklumkan pemain tengah, Nazmi Faiz Mansor, dari Johor Darul Ta’zim (JDT) FC mengalami kecederaan pangkal paha ketika kem latihan pasukan kebangsaan.
Baca penuh di https://t.co/zmiONmraa9#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/ImECDhwZOs
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) March 16, 2022
Tanpa Nazmi, Kim Pan-gon masih memiliki beberapa pemain berpengalaman lain untuk mengisi jentera tengah pasukan seperti Safiq Rahim, Sho Hong Wan, Syamer Kutty, Nor Azam Azih, dan Liridon Krasniqi.
Kali terakhir Nazmi menyarung jersi pasukan kebangsaan adalah ketika membantu skuad negara menewaskan Thailand 1-0 di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun tahun lalu.
Nazmi beraksi dengan cemerlang dalam tiga perlawanan untuk JDT pada musim ini, dan berjaya menjaringkan satu gol ketika membantu juara Liga Super Malaysia (MSL) lapan kali itu menewaskan KL City FC 3-0 untuk muncul juara Piala Sumbangsih 2022.
Kecederaan tersebut bermakna Nazmi tidak akan dapat terus bersama skuad negara yang akan behadapan dua perlawanan persahabatan di Singapura, menentang Filipina pada 23 Mac, dan pasukan tuan rumah pada 26 Mac akan datang.
TAHNIAH JDT
JDT [3-0] KL CITY
(Nazmi Faiz 26' / Fernando Forestieri 31' / Afiq Fazail 84')#JDTvKLC#Sumbangsih2022#LuaskanKuasamuJohor#JDTforAll pic.twitter.com/wkyR66GQw3— Suara Merdeka (@MerdekaSuara) February 26, 2022
Skuad negara juga dijadualkan akan berhadapan dengan kelab Liga Singapura, Albirex Niigata pada 28 Mac dalam usaha Kim Pan-gon mengenali barisan pemain dan menerapkan taktikal baharu dengan segera.
Ujian sebenar untuk Kim Pan-gon dan barisan pemainnya hanya akan tiba pada Jun akan datang di pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 di mana pasukan negara perlu berhadapan cabaran dari Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh di dalam saingan Kumpulan E untuk melayakkan diri ke pusingan akhir di China.