Arsenal masih yakin Mikel Arteta akan terus memberi komitmen untuk jangka masa panjang di kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu meskipun terdapat laporan yang mengatakan Paris Saint-Germain (PSG) kini sedang mengintai khidmat jurulatih warga Sepanyol berkenaan.
Arteta kini sudah memasuki fasa 13 bulan terakhir dalam kontrak semasanya di Stadium Emirates yang bakal tamat pada musim panas 2023.
Jurulatih berusia 39 tahun tersebut menjadi pilihan utama PSG untuk menggantikan Mauricio Pochettino sekiranya bekas jurulatih Tottenham tersebut disingkirkan.
Kelab gergasi Perancis itu ‘dihumban keluar’ dari saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada minggu lalu selepas tewas kepada Real Madrid di pusingan 16 yang menjurus kepada spekulasi pemecatan Pochettino.
Berdasarkan laporan dari media Perancis, L’Equipe, antara nama yang telah disenarai pendek setakat ini adalah Arteta dan Antonio Conte serta beberapa jurulatih berprofil tinggi yang lain.
PSG have drawn up a shortlist for potential new managers…
Arteta, Allegri, Favre, Galtier, Inzaghi, Motta, Ten Hag and Zidane are all included! 👀
(via @lequipe)#Pochettino #PSG #Paris pic.twitter.com/HU9mwzs92T
— DR Sports (@drsportsmedia) March 15, 2022
PSG juga bukanlah asing buat Arteta di mana beliau pernah beraksi di kelab berkenaan semasa kariernya sebagai pemain.
Bukan hanya PSG, kualiti kepimpinan dan ketegasan Arteta juga telah menarik minat Manchester City untuk menjadikannya sebagai pengganti Pep Guardiola kerana pernah bergelar pembantu jurulatih di Manchester City di bawah arahan Guardiola sebelum kembali ke Arsenal sebagai pengurus.
Namun Arsenal pula dikatakan telah bersedia untuk menawarkan kontrak baharu buat jurulatihnya itu dan Arteta sendiri telah beberapa kali menyatakan komitmennya untuk terus kekal bersama The Gunners untuk jangka masa panjang.
Dalam tempoh dua tahun di Stadium Emirates, Arteta telah pun membawa pulang kejuaraan Piala FA dan Perisai Komuniti, namun masih terumbang-ambing dalam misi menamatkan saingan liga di kedudukan empat teratas bagi memburu slot ke UCL.
Bagaimanapun prestasi baik Arsenal sejak akhir-akhir ini memberikan harapan buat penyokong untuk melihat kelab tersebut kembali menjadi salah satu pasukan yang mampu mencabar kejuaraan.