5 Fakta Menarik Tentang Aksi Manchester Derby Di Etihad

Aksi Manchester derby sememangnya antara perlawanan yang dinanti-nantikan oleh kebanyakan para peminat, kerana aura yang ada dalam perlawanan tersebut tersangatlah berbeza.

Kedua-dua kelab gergasi Manchester itu akan bertemu di Etihad awal pagi nanti untuk aksi dalam saingan Premier League.

Manchester United pada ketika ini sedang berada di kedudukan keempat dalam carta saingan Premier League dan jelas sekali mereka sedang bergelut dengan masalah prestasi pada musim ini.

The Red Devils pada minggu sebelum ini hanya mampu mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan bertemu pasukan dari zon penyingkiran, Watford.

Jelas sekali skuad kendalian Ralf Rangnick itu tidak mahu dan tidak sanggup untuk keciciran mata lagi dalam perlawanan yang mendatang.

Manchester City sementara itu sedang mendahului carta saingan Premier League pada ketika ini, namun harus diakui mereka tidak berada di tahap persembahan terbaik sejak kebelakangan ini.

Selepas berdepan kekalahan bertemu Tottenham Hotspur sebelum ini, Man City bergelut untuk mencatat kemenangan bertemu Everton pada minggu lalu.

Mereka hanya mampu mencatatkan kemenangan 1-0 sahaja dalam perlawanan tersebut, dan skuad kendalian Pep Guardiola itu juga sangat bernasib baik kerana sepakan penalti yang sepatutnya The Toffees miliki dinafikan oleh pengadil perlawanan.

Memandangkan Man City sendiri tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka, maka sukar sebenarnya untuk meramal siapa akan menang dalam aksi Manchester derby hari ini.

Manchester United memiliki rekod yang lebih baik bertemu Manchester City dengan mereka berjaya mencatatkan 77 kemenangan dari 186 perlawanan.

Manchester City sementara itu hanya pernah merekodkan 56 kemenangan sahaja bertemu musuh sebandar mereka itu, dan sudah tentu anak-anak buah Pep Guardiola mahu menambah baik rekod tersebut.

Apa fakta menarik menjelang pertemuan antara kedua-dua pasukan ini? Berikut merupakan lima fakta menarik tentang aksi Manchester derby yang akan dilangsungkan di Etihad awal pagi nanti.

1) Manchester City Mahu melengkapkan kemenangan berganda bertemu Man Utd

Ketika aksi pertemuan pertama kedua-dua pasukan ini pada November lalu, Manchester City berjaya mencatatkan kemenangan menewaskan Red Devils dengan keputusan 2-0.

Gol sendiri jaringan Eric Bailly dan satu gol jaringan Bernardo Silva sudah cukup untuk mengesahkan kemenangan 2-0 Man City menewaskan United di Old Trafford.

Sudah tentu anak-anak buah Pep Guardiola itu mahu mencatat kemenangan berganda dengan menewaskan seteru sebandar mereka itu dua kali berturut-turut.

Manchester City pernah melakukan hal yang sama ketika di bawah kendalian Pep Guardiola dan kerana itu mereka yakin mereka akan sekali lagi mampu melakukan hal yang sama.

2) Man Utd buru rekod yang dah bertahan selama 22 tahun

Manchester United selain mahu memastikan mereka membawa pulang tiga mata untuk mengukuhkan kedudukan di kelompok empat teratas, mereka juga turut memburu memecahkan rekod yang sudah bertahan selama 22 tahun.

Seandainya anak-anak buah Ralf Rangnick itu berjaya mencatatkan kemenangan bertemu City hari ini, mereka bakal memecah rekod dengan menewaskan City di Etihad sebanyak empat kali berturut-turut dalam saingan Premier League.

Walaupun Man Utd sedang dibelenggu dengan masalah prestasi, namun mereka jelas sekali akan turun dengan semangat berbeza ketika bertemu musuh sebandar mereka itu.

Oleh yang demikian, walau United kini sedang beraksi hambar, namun harus diakui mereka sebenarnya sangat berpotensi untuk menewaskan City dalam perlawanan ini di Etihad.

3) Manchester United mungkin terpaksa turun tanpa Cristiano Ronaldo

Memandangkan Man Utd selepas ini bakal berdepan dengan beberapa perlawanan yang sukar, maka mereka jelas sekali sangat berharap pada Cristiano Ronaldo.

Menurut sumber laporan dari Laurie Whitwell dari The Athletic, pemain penyerang Manchester United itu berkemungkinan tidak akan diturunkan dalam aksi Manchester derby nanti kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Cristiano Ronaldo dan Bruno Fernandes merupakan penjaring terbanyak Manchester United dalam aksi saingan Premier League pada ketika ini, dan jelas sekali pemenang lima kali anugerah Ballon D’or itu diharapkan untuk meledak gol bertemu musuh sebandar mereka.

Bukan hanya Cristiano Ronaldo, bahkan Edinson Cavani juga tidak berada di tahap kecergasan terbaik untuk diturunkan dalam perlawanan ini, seterusnya menjadikan Marcus Rashford sebagai pemain harapan.

Melihat kepada persembahan semasa Rashford, sukar sebenarnya untuk para penyokong beri sepenuh kepercayaan kepadanya dalam perlawanan penting ini.

4) Mampukah Bruno Fernandes bersinar tanpa Ronaldo

Terdapat terlalu banyak dakwaan yang menyatakan bahawa punca utama mengapa Bruno Fernandes gagal dapatkan persembahan terbaiknya musim ini, adalah kerana kehadiran Cristiano Ronaldo.

Ramai yang menganggap Cristiano Ronaldo punca sebenar Bruno Fernandes gagal untuk menyerlah kerana persembahan beliau mula merosot selepas ketibaan rakan senegaranya itu.

Bruno berjaya mencatatkan hat-trick ketika aksi perlawanan pembukaan bertemu Leeds United dan selepas dari itu persembahan beliau merosot mendadak.

Beliau walau bagaimanapun sejak dua ke tiga perlawanan terakhir ini sepertinya sudah berjaya menemui rentak persembahan terbaiknya.

Seandainya Cristiano Ronaldo benar-benar tidak akan diturunkan dalam perlawanan ini, maka ini lah waktu terbaik untuk Bruno Fernandes menyerlah.

Seandainya beliau benar-benar menyerlah tanpa ada Cristiano Ronaldo di atas padang, maka benarlah dakwaan ramai yang mengatakan bahawa persembahan Fernandes terjejas kerana kehadiran rakan senegaranya itu.

5) Siapa penyokong terbesar Man Utd dalam aksi Manchester derby

Jangan terkejut kalau ramai penyokong Liverpool akan berada di belakang Manchester United hari ini kerana mereka sangat berharap agar Man City keciciran mata.

Walau hal itu sedikit sukar untuk berlaku, namun kemenangan United bakal membantu Liverpool untuk memintas skuad kendalian Pep Guardiola itu.

The Reds pada ketika ini hanya tiga mata sahaja do belakang Man City, dan seandainya The Citizens tewas bertemu United dan Liverpool menang perlawanan selepas ini, maka mereka bakal memintas skuad kendalian Pep Guardiola itu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN