“Harap Dapat Cipta Keserasian Segera Bersama Pan Gon” – E.Elavarasan

E.Elavarasan menganggap dirinya berdepan cabaran yang baharu sepanjang karier kejurulatihan beliau selama ini apabila pengendali berpengalaman itu sah dilantik selaku pembantu jurulatih tempatan bagi Harimau Malaya.

Elavarasan dilihat sebagai calon paling sesuai bagi posisi tersebut setelah mempunyai pengalaman selama 19 tahun sepanjang karier beliau dalam kejurulatihan untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) dan sudah pun mengendali sebanyak lapan pasukan sebelum itu untuk memahami benar selok belok para pemain dan corak permainan yang dibawa selama ini.

Beliau yang juga bekas pengendali Sarawak United sebelum ini tidak pernah terbabit dalam mana-mana pasukan bawah naungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk negara melihat pelantikan itu sebagai suatu penghormatan buat dirinya sepanjang bergelar jurulatih profesional.

“Saya melihat tugasan ini sebagai satu cabaran dan juga peluang untuk saya menyumbang di peringkat kebangsaan. Saya gembira diberi peluang terbabit dalam projek Pan Gon (ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon).

“Saya berharap semua anggota kejurulatihan di bawah seliaan Pan Gon dapat mencipta keserasian dengan segera untuk menghadapi tugasan utama tidak lama lagi,” katanya menerusi Harian Metro.

Kim Pan Gon yang baharu saja dilantik FAM selaku pengendali utama negara setelah bekas jurulatih, Tan Cheng Hoe membuat keputusan untuk meletak jawatan demi mengambil sikap tanggungjawab atas prestasi hambar skuad kendaliannya sebelum itu dalam saingan Piala AFF 2020 di Singapura.

Pan Gon juga telah membawa sendiri staf kejurulatihannya untuk membantu beliau kembali memperkasakan skuad kebangsaan iaitu Pau Marti dari Sepanyol (penolong jurulatih), Cho Jun Ho dari Korea Selatan (jurulatih penjaga gol), Dr Gokhan Kandemir dari Turki (jurulatih kecergasan) dan Lim Jae Hun dari Korea Selatan (jurulatih analisis prestasi).

Demi menambah mutu kejurulatihan terutama sekali untuk mengenal lebih lanjut para pemain tempatan yang dipilih menyertai kem Harimau Malaya agar lebih berkualiti, Pan Gon juga telah menambah anggota baharu yang terdiri daripada warga tempatan dengan melantik Elavarasan supaya susun atur pengurusan dapat dibuat dengan lebih cantik.

Dalam masa sama, Elavarasan turut tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada bekas majikan, Sarawak United yang dilihat mencapai kata sepakat yang baik untuk melepaskan pengendali tersebut demi kemajuan bola sepak negara.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada majikan saya Sarawak United yang sudi melepaskan saya lebih awal daripada kontrak saya.

“Tidak lupa kepada pemain dan penyokong yang memberi kerjasama kepada saya sepanjang khidmat saya di Sarawak United,” katanya yang pernah membawa PKNS FC muncul naib juara Piala FA pada 2016 selain memenangi Liga Perdana bersama Felda United pada 2010.

Untuk info perjalanan Harimau Malaya, mereka bakal memulakan kem latihan pusat pertama bawah kendalian Pan Gon bermula 14 Mac ini sebelum menghadapi perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Filipina pada 23 Mac dan negara jiran, Singapura pada 26 Mac ini. Kedua perlawanan tersebut bakal diadakan di Singapura.

Sumber:
Harian Metro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN