Bagaimana Konflik Rusia-Ukraine Memberi Kesan Kepada Bola Sepak Eropah

UEFA Stadium Rusia Ukraine

Ketika ini seluruh dunia sedang memberi tumpuan kepada konflik Rusia-Ukraine di Eropah Timur yang menimbulkan krisis antarabangsa.

Ia bermula dengan krisis di Krimea pada 2014 yang tercetus akibat pergolakan politik di Ukraine. Tentera Rusia telah menawan semenanjung itu dan berlanjutan sehingga hari ini.

Rusia bertegas semenangjung Krimea kini merupakan sebahagian daripada negaranya dan ia dibantah oleh negara kuasa besar di Barat dan Kesatuan Eropah.

Majoriti penduduk di Krimea adalah dari etnik Rusia kerana wilayah itu asalnya adalah milik Rusia yang dihadiahkan kepada Ukraine pada tahun 1954 selepas Ukraine itu bersedia menjadi sebahagian dari empayar Kesatuan Soviet.

Namun pergolakan dan peperangan yang tercetus sejak 2014 yang menyaksikan 96% penduduk di wilayah itu mengundi dalam satu pungutan suara untuk mengisytiharkan kemerdekaan dari Ukraine dan memohon untuk menyertai Rusia.

Sungguh pun sehingga hari ini Krimea masih belum menyertai Rusia secara rasmi, namun Presiden Rusia, Vladimir Putin bertegas supaya tentera Rusia terus kekal di wilayah itu sehingga situasi politik kembali normal.

Tindakannya itu telah dikutuk secara meluas oleh Eropah dan NATO telah pun memulakan sekatan ke atas Rusia sejak beberapa tahun lalu.

Krisis perang psikologi ini disifatkan sebagai salah satu ketegangan geopolitik paling serius sejak Perang Dingin (1947 – 1991).

Perang ekonomi

Wartawan Global Sinar Harian, Lissa Kamal menjelaskan, ancaman pemimpin Barat yang kononnya mahu mengenakan siri sekatan ekonomi terhadap Rusia dan kawalan eksport ke Moscow nampaknya langsung tidak membantu dalam meredakan konflik tersebut.

Sekatan tersebut dijangka menyasarkan bank utama Rusia yang akan menjejaskan keupayaan negara berpopulasi 144.1 juta penduduk itu untuk menjalankan urus niaga antarabangsa dan menyebabkan kenaikan harga yang bakal memberi impak besar kepada rakyat negara berkenaan atau menyebabkan mata wang atau pasaran Moscow mengalami kejatuhan teruk.

Namun begitu, Rusia pastinya tidak akan berdiam diri malah dijangka akan bertindak dengan lebih dahsyat kerana mereka merupakan pengeksport utama minyak dan gas asli ke Eropah dan sekaligus meningkatkan risiko pasaran tenaga.

Malah sektor pertanian di Eropah juga dijangkan menerima kesan yang besar kerana kebanyakan baja dihasilkan oleh Kiev dan Moscow akan menyebabkan kenaikan harga makanan.

Ketika media Barat terlalu sibuk meramalkan perang yang bakal tercetus, penduduk Ukraine masih cuba bertenang walaupun sebahagiannya sudah membuat persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Mereka beranggapan ia adalah sebahagian taktik perang psikologi dilancarkan Rusia.

Buat pertama kali sejak tahun 2014, berita risiko pencerobohan Moscow berulang kali diuar-uarkan Barat dan bukan dari Kiev sendiri.

Penduduk Ukraine sudah jelak dengan momokan media terutamanya AS yang bersikap seperti ‘lebih sudu daripada kuah’, namun tidak menolak kemungkinan peperangan mungkin berlaku dek tekanan daripada Barat.

Sejak beberapa minggu lalu, Amerika Syarikat (AS) berulang kali memberi amaran tentang ancaman pencerobohan berskala besar yang bakal dilancarkan Rusia ke atas Ukraine.

Jangkaan mereka, kempen serangan secara besar-besaran itu akan bermula pada jam 3 pagi (waktu tempatan) Rabu lalu nyata meleset apabila tiada apa yang berlaku pada hari tersebut, malah Moscow bertindak memberi sindiran pedas kepada Barat kerana terlampau taasub dengan propaganda perang.

Kesan terhadap Malaysia

Bukan sahaja Eropah, krisis ini turut memberi kesan kepada seluruh dunia dan negara kita tidak terkecuali dari menerima tempiasnya,

Pada minggu ini, nilai ringgit telah dibuka rendah berbanding dolar AS di mana mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.1860/1895 berbanding dolar AS daripada penutupan minggu lalu pada 4.1845/1870.

Data ekonomi AS menunjukkan tekanan tambahan pada pasaran mata wang menyebabkan para pedagang mengambil pendekatan berhati-hati dan tidak mahu memasuki pasaran.

UEFA bersedia dengan segala kemungkinan

Turut terkesan dengan konflik ini adalah kalendar bola sepak Eropah di mana perlawanan akhir bagi kejohanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2021/22 telah dijadualkan berlangsung di Stadium Krestovsky yang bertempat di Saint Petersburg.

Menganjurkan perlawanan akhir UCL merupakan perkara yang amat dinanti-nantikan oleh bandar-bandar besar di Eropah kerana ia berpotensi untuk menjana keuntungan sehingga €70 juta (RM332 juta).

Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA) pada awalnya menegaskan pihaknya selaku organisasi bukan politik mengambil pendirian neutral dalam isu geopolitik.

“UEFA sentiasa memantau keadaan semasa dengan teliti. Buat masa ini, kami masih tiada rancangan untuk menukar venue [perlawanan akhir UCL].”

Bagaimanapun menurut laporan RMC Sport, badan induk itu dilaporkan bersedia untuk melucutkan peluang Rusia sebagai tuan rumah bagi acara berprestij tersebut dan mempertimbangkan Stadium Wembley di London sebagai alternatif.

Ini selepas Rusia dikatakan telah menghantar 100,000 orang tenteranya ke sempadan, sekaligus menambah lagi ketegangan yang pastinya memberi kesan kepada keputusan UEFA.

Penutup

Menukar venue perlawanan akhir bukanlah perkara asing memandangkan ia pernah dilakukan pada musim lalu apabila UEFA menukar dari Istanbul ke Porto disebabkan Turki termasuklah dalam senarai merah Covid-19 di Eropah.

Pada tahun lalu juga, hanya beberapa hari sebelum bermulanya kejohanan Euro 2020 telah timbul isu apabila Ukraine telah diarahkan untuk membuang slogan ‘berbaur politik’ yang terdapat pada jersi rasmi pasukan selepas mendapat bantahan dari Rusia.

Pada bahagian hadapan jersi itu, terdapat garisan yang membentuk peta Ukraine yang turut memasukkan Krimea serta wilayah timur seperti Donetsk dan Luhansk sebagai sebahagian daripada negara tersebut.

Juga tulisan slogan “Kemenangan milik Ukraine” dan “Kemenangan milik pahlawan” pada bahagian dalam kolarnya yang merupakan slogan rasmi tentera negara itu selepas ia dipopularkan oleh peserta protes besar-besaran yang menggulingkan Presiden pro-Rusia, Viktor Yanukovych pada 2014.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN