Menurut pengendali skuad B-23, Brad Maloney, sebilangan besar pemain Laos adalah yang bermain bersama skuad senior di saingan Piala AFF Suzuki 2020 menjadikan mereka ada kelebihan berbanding skuad negara.
Itu menjadi punca mengapa skuad lawan itu mungkin lebih bersedia dari segi mentaliti walaupun terlebih dahulu ketinggalan di babak pertama. Walaupun Laos tewas dalam semua aksi, namun pengalaman diraih pemain-pemain muda itu cukup berharga dalam membantu mereka mengharungi saingan di Piala AFF B-23.
Dalam kesebelasan utama berdepan Malaysia sebentar tadi, hanya empat pemain yang tidak beraksi di Piala AFF tempohari menjadikan majoriti skuad ini adalah pemain yang diberikan ‘pengajaran’ di peringkat senior.
AFF U23 Championship 2022 – GROUP B – Laos vs Malaysia – START LIST#AFF#AFFU23 pic.twitter.com/ChjjwUK9zS
— ASEAN Football (@AFFPresse) February 18, 2022
“Sejak awal saya telah katakan Laos adalah pasukan yang bagus. Kami sudah jangkakan pertembungan yang sengit. Mereka ada lapan hingga sembilan pemain yang bermain di Piala AFF Suzuki di peringkat senior dan juga bermain di pusingan kelayakan Piala Asia B-23 pada Oktober.
“Kami tahu mereka pasukan yang berkualiti dan mereka telah tunjukkan hari ini. Jadi, kami perlu bersedia sebaiknya untuk aksi kedua nanti,” jelas Brad Maloney sejurus menyaksikan skuad kendaliannya tewas.
Malaysia dikejutkan Laos apabila tumbang 1-2 dalam aksi pertama Kumpulan B di Stadium Prince, Phnom Penh. Awal permainan menyaksikan Laos memberi tekanan buat Malaysia dengan beberapa siri serangan, namun barisan benteng negara bijak menyerap asakan selain aksi tangkas penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel.
Sepanjang 15 minit perlawanan, skuad negara dilihat agak sukar untuk menyusun gerakan yang lebih terancang selain Laos yang lebih selesa mengawal bola dan lebih pantas untuk menyusup masuk ke benteng negara.
Laos U23 (Laos U23) with a Goal vs. Malaysia U23, 02/18/2022 pic.twitter.com/622rEvrutB
— GOAL Asia (@GOALasia) February 18, 2022
Malaysia hadir dengan beberapa gerakan yang baik selepas 15 minit untuk mula menembusi pertahanan lawan, namun kreativiti serangan tampak masih terbatas selain persefahaman sesama sendiri yang agak lemah.
Pemain tengah negara, A. Selvan berjaya meledak gol pertama perlawanan di penghujung separuh masa pertama hasil sepakan sudut di sebelah kanan yang mudah disudahkan pemain itu setelah tidak kawalan rapi oleh pertahanan Laos. Ia memberi kelebihan selesa buat skuad negara apabila mendahului perlawanan.
Namun, ‘pengalaman’ tekanan memberi kekuatan buat skuad muda Laos dan ia dipamerkan di babak kedua.
Dan di awal babak kedua, Laos berjaya menyamakan kedudukan menerusi kapten, Bounphachan Bounkong pada minit ke-56 sebelum jaringan kemenangan hadir di minit ke-79 menerusi sentuhan Phetdavanh Somsanid.
Adakah benar kenyataan Maloney yang skuad Laos berkelebihan dari segi pengalaman bersama skuad senior?