Park Hang-seo dan anak buahnya menerima tonik yang amat diperlukan untuk terus beraksi cemerlang di dalam baki saingan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022, walaupun cabaran Vietnam sebenarnya sudah berakhir.
Ini selepas skuad kebangsaan Vietnam menerima bayaran bonus sebanyak RM667,000 daripada pihak kerajaan berikutan kejayaan menewaskan China 3-1 pada 1 Februari lalu.
Satu majlis telah diadakan di pejabat presiden sebagai tanda penyerahan bonus tersebut, yang diserahkan oleh Le Van Kiem, pengerusi Komiti Olimpik Vietnam kepada wakil skuad kebangsaan negara itu beberapa hari yang lalu.
#Stats | ✨HISTORY ✨
🇻🇳 Vietnam's victory over China is the first victory of an ASEAN representative in the AFC's final round of the World Cup Qualifiers.#AFC #WCQ2022 pic.twitter.com/UdGj3wU6gF
— ASEAN FOOTBALL (@theaseanball) February 1, 2022
Kejayaan menewaskan China sebelum ini mencipta sejarah tersendiri di dalam bola sepak Vietnam dan Asia Tenggara. Sebelum Vietnam, belum ada mana-mana pasukan berjaya mencipta kemenangan di pusingan akhir kelayakan Piala Dunia Zon Asia sebelum ini.
Kejayaan Vietnam tersebut juga memadam rekod yang dipegang Thailand. Pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2018, skuad kendalian Kiatisuk Senamuang berjaya mengumpul dua mata hasil dua keputusan seri.
Pada ketika itu, skuad Gajah Perang berjaya mengejutkan Australia apabila berjaya mengikat pasukan itu 2-2, dan UAE 1-1. Thailand berjaya menjaringkan 6 gol, tetapi dibolosi 24 kali pada pusingan kelayakan tersebut.
Sebagai perbandingan, Vietnam kini sudah berjaya mengumpul 3 mata, menjaringkan 7 gol dan dibolosi 17 kali. Park Hang-seo dan barisan anak buahnya berpeluang menambah baik rekod tersebut dalam baki dua perlawanan menentang Oman di tempat sendiri pada 24 Mac, dan Jepun di tempat lawan lima hari kemudian.