Trio ‘dinding kebal’ ketika pusingan kelayakan Piala Asia B-23 pada Oktober tahun lalu telah mendapat panggilan daripada Brad Maloney untuk menyertai kem latihan skuad Harimau Muda untuk saingan Piala AFF B-23 2022.
Saat kita menjangka akan dapat melihat pilihan ‘segar’ untuk Piala AFF kali ini, pengendali, Brad Maloney pula merasakan beliau masih memerlukan khidmat Ahmad Zikri Mohd Khalili, Muhammad Azrin Afiq Rusmini dan Harith Haiqal Adam Afkar bagi mengukuhkan benteng skuad negara untuk berdepan cabaran pasukan serantau.
Edisi ketiga Piala AFF B-23 itu bakal berlangsung di Kemboja bermula 14 Februari ini. Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Laos dan Indonesia dengan hanya satu tiket pasti mara ke separuh akhir.
AFF U23 Championship 2022 – 14-26 February 2022 – Official Fixtures #AFF#AFFU23 pic.twitter.com/hbOET9wBDT
— ASEAN Football (@AFFPresse) February 9, 2022
Saingan peringkat kumpulan dipecahkan kepada tiga kumpulan dengan tiga juara kumpulan akan mara ke separuh akhir, sementara salah satu pasukan naib juara terbaik akan turut mara ke pusingan separuh akhir.
Selain tiga pemain itu, penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman turut mendapat panggilan terakhir tersebut.
Ahmad Zikri, Azrin Afiq dan Harith Haiqal merupakan gandingan utama ketika di pusingan kelayakan Piala Asia sebelum ini yang menyaksikan Malaysia mara secara merit buat kali kedua selepas melakukannya di edisi 2018.
Menggunakan formasi 3-4-3, trio bek bertiga itu menjadi ‘dinding kebal’ skuad kendalian Maloney apabila tidak dibolosi waima satu gol pun. Malaysia muncul juara Kumpulan J, mengumpul tujuh mata selepas menang dua kali dan seri sekali. Malaysia mara ke pusingan akhir Piala Asia selepas mengikat Thailand dalam aksi terakhir.
Menurut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, kemasukkan empat pemain baharu ini disebabkan Maloney hilang empat pemain iaitu Safwan Mazlan yang digugurkan akibat positif Covid-19, manakala Alif Mutalib, Umar Hakeem dan T. Shaheeswaran telah dikembalikan semula ke kelab mereka iaitu JDT.
SKuad Harimau Muda akan turun menentang Myanmar di Stadium Prince pada 15 Februari ini dan kemudian akan bertemu Laos pada 18 Februari di venue yang sama sebelum melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan dengan aksi berdepan Indonesia di Stadium Nasional Morodok Techo pada 21 Februari depan.
Peringkat separuh akhir dijadualkan pada 24 Februari manakala perlawanan akhir pula pada 26 Februari depan.