Ini 3 Impak Yang Mungkin Diberi Dennis Buschening Buat Kedah

Pasukan Kedah pada awal pra musim ini dilihat giat menandatangani pemain baru bagi memperkuatkan pasukan menjelang aksi pembukaan Liga Malaysia (Liga M) tidak lama lagi serta bakal mengharungi saingan Piala AFC 2022.

Beberapa nama yang dibawa masuk dijangka bakal memberi impak positif bersama Kedah berdasarkan rekod pemain sebelum itu dan atas faktor kesesuaian dengan corak permainan yang ditampilkan.

Nama pemain yang menjadi kontroversi pada musim perpindahan ini adalah Dennis Buschening yang diikat bagi kategori pemain import untuk slot Asean.

Dennis merupakan pemain kacukan Jerman-Thailand dan mempunyai kerakyatan di negara Thailand untuk membolehkan beliau mengisi slot Asean di Malaysia selaku status pemain import.

Beberapa faktor yang positif kami lihat mampu dijelmakan oleh Dennis biarpun sebelum ini rekod beliau agak lemau dalam Liga Malaysia dan impak yang mampu diberi beliau buat Kedah adalah seperti berikut:

Pengalaman Dennis di Eropah

Dennis pernah beraksi di pentas Eropah pada awal karier beliau selaku pemain profesional sekitar tahun 2010 sehingga tahun 2013.

Pada awal karier beliau selaku pemain bola sepak profesional, Dennis berjaya meledak 15 gol daripada 33 penampilan bersama kelab Westfalia Rhynern yang berpangkalan di Jerman.

Karier beliau selaku pemain pembangunan juga dilihat amat memberansangkan apabila pernah beraksi bersama skuad Borussia Dortmund pada tahun 2007 hingga 2008.

Berdasarkan rekod beliau yang pernah beraksi di Eropah pastinya pengalaman beliau dapat digunakan dengan baik bagi membimbing rakan sepasukan yang jauh lebih muda mengenai pemahaman yang lebih jelas tentang bola sepak.

Pengalaman di AFC

Dennis mempunyai pengalaman yang baik sebelum ini di pentas AFC. Berdasarkan pengamatan semasa, aksi beliau amat ditagih untuk membimbing beberapa pemain lain yang tidak pernah bermain di saingan tersebut.

Sewaktu beraksi di Liga Thailand, Dennis pernah mewakili salah satu pasukan gergasi liga tersebut iaitu Buriram United pada musim 2013.

Beliau menjadi antara watak yang membantu skuad tersebut melangkah sehingga ke suku akhir bagi saingan AFC Champions League sebelum berkelana ke beberapa lagi pasukan di negara tersebut.

Ada Ciri Yang Diperlukan Aidil

Umum diketahui Aidil Sharin merupakan antara jurulatih terbaik di Liga Malaysia setakat ini dan konsisten bersama pasukan Kedah untuk membawa skuad ini dua musim berturut-turut layak ke saingan AFC.

Beliau juga dilihat gemar menggunakan sistem dua penyerang dalam pelan formasi dan pada musim lalu ada sedikit perubahan yang dilakukan apabila Tchetche Kipre tidak dijadikan sebagai penyerang yang berpasangan bersama Kpah Sherman sebaliknya lebih banyak mencipta ruang di belakang untuk membuka peluang buat penyerang mencipta gol.

Untuk itu, sebagai pengganti buat Kipre yang sudah sah bersama Terengganu, Aidil berjaya mendapatkan Dennis yang dilihat mempunyai gaya permainan seperti Kipre.

Dennis dilihat mampu beroperasi dengan baik selaku pemain nombor 10 dan beliau juga mampu beraksi dengan baik selaku penyerang utama.

Dua musim di Liga Malaysia, Dennis dilihat beraksi dengan dua posisi berbeza. Sewaktu bersama Sabah, Dennis dilihat lebih aktif di belakang penyerang untuk membuka ruang dan mencipta hantaran ke dalam petak gol.

Berbanding di UiTM FC, pemain kacukan ini beraksi selaku penyerang utama dan bijak menggunakan fizikal tegapnya untuk menewaskan pertahanan lawan.

Dengan variasi permainan yang ditampilkan Dennis, cukup membuatkan Aidil senang untuk menggunakan dimana-mana posisi yang bersesuaian buat pemain ini dalam rangkaian taktikal.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN