Pengendali Kuala Lumpur City (KL City), Bojan Hodak menegaskan syarat utama beliau adalah untuk bebas dari diganggu sesiapa jika khidmatnya mahu digunakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membimbing Harimau Malaya.
“Satu-satunya syarat saya ialah saya bebas untuk melakukannya dengan cara saya”,tegas Hodak ketika ditanya mengenai kerusi panas tersebut.
Jelas beliau, sehingga kini belum ada apa-apa tawaran rasmi yang dikeluarkan serta sebarang perbincangan formal dibuat dan Hodak bakal kembali ke Malaysia minggu depan selepas menghabiskan cutinya di Croatia.
“Setakat ini cara saya melatih menunjukkan hasil dalam setiap pasukan tempat yang saya bekerja setakat ini,” katanya yang berjaya menghadiahkan Piala Malaysia buat KL City, November lalu.
Melalui kata-kata tersebut, jelas Hodak enggan ada campur tangan pihak luar yang ingin menganggu sebarang kerja yang dibuat oleh beliau sendiri dalam membentuk pasukan yang mantap.
Ulas beliau, biarpun keutamaannya kini bersama KL City bagi menghadapi musim 2022 yang dilihat lebih mencabar, Hodak masih percaya masa depan bola sepak negara boleh diselamatkan jika kena pada cara yang betul.
“Di mana sahaja saya bekerja setakat ini, saya mencapai sasaran dan mencapainya, jadi saya fikir saya boleh melakukannya dengan pasukan kebangsaan juga,” katanya.
Untuk rekod Hodak sepanjang berada di Malaysia, beliau sudah mengecapi kesemua kejuaraan Liga Malaysia termasuk Liga Super (2012 & 2014), Piala FA (2012 & 2013), Piala Malaysia (2012 & 2021), dan juga menjuarai Piala AFF dengan skuad B-19 pada 2018.