Ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong tidak berhasrat untuk berundur dari posisinya meskipun peluang untuk menjuarai Piala AFF Suzuki 2020 amat tipis berdasarkan defisit empat gol berdepan Thailand.
Menurut laporan media Indonesia, bola.com, Jurulatih warga Korea Selatan itu tidak merasa kedudukannya tergugat selepas apa yang telah ditampilkan oleh pasukannya dalam kejohanan ini.
Selepas tewas 4-0 dalam perlawanan akhir pertama, Indonesia akan kembali berhadapan dengan Thailand untuk pertemuan kedua di Stadium Nasional Singapura, Kallang pada malam ini bagi memuktamadkan penentuan juara bagi edisi 2020.
Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) telah didesak oleh penyokong untuk tidak memecat Shin Tae-yong, malah disaran agar memperbaharui kontraknya walaupun ia masih berbaki dua tahun lagi.
Bagaimanapun dalam sidang media pra-perlawanan, jurulatih berusia 51 tahun itu menjelaskan bahawa bukan mudah untuk beliau berundur mahupun disingkirkan di ‘pertengahan jalan’ berdasarkan klausa yang terkandung di dalam kontraknya.
“Mungkin para penyokong tidak tahu [tentang kontrak]. Tidak perlu khuatir kerana tidak ada yang boleh memecat saya. Jika saya yang meletakkan jawatan pun pasti ada denda,” ujar Shin Tae-yong.
“Mudah sahaja penjelasan dari saya. Saya masih ada kontrak dengan PSSI hingga 31 Disember 2023. Jadi tanpa ada kesepakatan antara saya dengan PSSI, tidak akan terjadi.
Foto ‘Isyarat’ 5 Jari Shin Tae-yong Kepada Alexandre Polking Petanda ‘Baik’ Buat Indonesia?
“Wajah baharu skuad Indonesia ini baru dimulai, baru boleh maju ke depan. Jadi saya mohon buat semua penyokong Indonesia tidak perlu khuatir. Mohon dokongan sepenuhnya dan terima kasih.”
Berdasarkan perkembangan ini, selepas berakhirnya Piala AFF 2020, Shin Tae-yong bakal memikul tugas untuk beberapa kejohanan mendatang bermula dengan Piala AFF B-23 2022, Sukan SEA 2021, Kelayakan Piala Asia 2023 dan Piala AFF 2022.