Debaran aksi Derbi Nusantara di antara Malaysia dan Indonesia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2020 nampaknya semakin terasa.
Ketua jurulatih skuad Sang Garuda, Shin Tae-yong turut menerima tempias kehangatan pertembungan dua musuh tradisi ini pabila diajukan soalan mengenai taktikalnya untuk perlawanan ini.
Ia berikutan aksi berbeza yang ditampilkan oleh Indonesia di mana mereka memperagakan aksi menyerang ketika berdepan Kemboja dan Laos, tetapi memilih pendekatan bertahan tatkala menentang Vietnam.
Justeru itu, sudah pasti timbul persoalan apakah kaedah atau taktikal yang akan diterapkannya apabila bertemu Malaysia pada Ahad ini.
“Sebagai ketua jurulatih, saya bertanggungjawab memimpin pasukan ini dan mempunyai tugas bagaimana menghadapi pasukan lawan dengan menganalisis kelemahan dan kelebihan mereka,” ujar Shin Tae-yong dalam kenyataan media pada Sabtu.
“Vietnam memang pasukan terbaik dan terkuat di Piala AFF. Oleh itu, kami tidak tumpu kepada penguasaan bola kerana kami tahu dengan keputusan seri pun kami boleh naik dan berpeluang lolos [ke peringkat separuh akhir],” tambahnya lagi.
“Malaysia juga mempunyai kelebihan dan kekurangan, kami akan menganalisis strategi dan taktik mereka. Kami akan persiapkan dan membawa sistem permainan yang sesuai dengan pasukan lawan.”
Di atas kertas, kelebihan berpihak kepada Indonesia untuk mara ke pusingan seterusnya kerana hanya memerlukan keputusan seri sementara Malaysia pula tiada pilihan lain melainkan meraih kemenangan jika tidak mahu pulang awal.
Mengikut kedudukan, Indonesia menerajui kumpulan B dengna tujuh mata, menyamai mata yang dikumpul Vietnam dengan kelebihan jaringan. Malaysia pula kini di tangga ketiga dengan enam mata.
Vietnam dijangka tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga mata penuh berdepan Kemboja berdasarkan status dan reputasi mereka selaku gergasi bola sepak Asia Tenggara.