Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah baharu dalam pembangunan bola sepak Malaysia dengan menjalinkan kerjasama bersama jenama Milo.
Kerjasama yang mengambil masa lima tahun ini dilihat menyasarkan untuk melatih seramai 5000 jurulatih tempatan serta 10,000 pemain muda dari akar umbi menjelang tahun 2026.
Selaku Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan bahawa ketika ini pembangunan akar umbi bola sepak negara agak kritikal untuk masa depan bola sepak negara.
Walaupun terdapat 122 akademi dengan 10,000 pemain muda berdaftar di bawah Piagam Suparimau di seluruh negara, kualiti dan kuantiti yang diperoleh agak perlahan.
Harapan beliau supaya kerjasama antara FAM dan Milo ini dapat memperkasakan lagi pembangunan bola sepak serta menjadi platform terbaik buat pemain muda mengasah bakat lalu menjadi aset terbaik negara suatu hari.
Tambah Datuk Hamidin, hubungan antara kedua pihak ini tidak boleh dipisahkan demi kemajuan dan masa depan bola sepak negara. Ini kerana Milo sudah lama menjadi rakan kerjasama bola Malaysia.
Pada majlis berkenaan FAM diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Mohd Saifuddin Abu Bakar menandatangani perjanjian kerjasama berkenaan dengan Pegawai Eksekutif Perniagaan-Unit Perniagaan Milo, Nestle (Malaysia) Berhad, Ng Su Yen.
Su Yen juga memberi pendapat akan kerjasama ini yang dilihat telah membawa kembali memori hubungan kedua-dua pihak yang sudah lama terjalin sejak lewat 1980-an dan pada 1990-an.
Beliau turut menambah dengan wujudnya kerjasama ini dapat memartabatkan lagi mutu bola sepak Malaysia pada masa akan datang.