Selepas dibandingkan dengan Messi oleh Xavi pada minggu lalu, kali ini Cristiano Ronaldo dibandingkan pula dengan lagenda Portugal Eusebio.
Kali ini perbandingan ini dibuat oleh bekas kapten beliau sendiri, Luis Figo.
Bekas maestro dan kapten Portugal, Luis Figo mengaku beliau adalah peminat Cristiano Ronaldo. Figo juga pernah beraksi bersama-sama Ronaldo di dalam pasukan Portugal.
Namun ketika ditanya tentang siapakah pemain terbaik Portugal sepanjang zaman pilihan beliau, Figo tidak ragu-ragu menjawab – Eusebio.
Menurut Figo, Eusebio adalah antara watak yang paling penting dalam sejarah bola sepak Portugal berbanding dengan Cristiano Ronaldo.
Ronaldo telah memenangi 3 gelaran Ballon d’Or (berbanding Eusebio yang mempunyai satu Ballon d’Or) dan dianggap ramai pemerhati bola sepak sebagai pemain bola sepak terbaik di era moden.
Ronaldo juga telah memenangi 12 trofi domestik di peringkat kelab.
Beliau juga merupakan pemain yang paling banyak caps dengan Portugal, iaitu 133 kemunculan (berbanding 127 kemunculan yang dibuat Figo sendiri).
Ronaldo juga merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk Portugal setakat ini dengan 61 gol (berbanding 47 gol oleh Pauleta dan 41 gol oleh Eusebio).
Lebih manis beliau melengkapkan karier beliau dengan kejuaraan antarabangsa pertama bersama Portugal apabila menjulang Piala Eropah 2016.
Eusebio yang meninggal dunia pada usia 71 semasa Januari 2014 adalah pemain ikonik untuk Benfica dan Portugal. Beliau adalah pemain bola sepak yang paling popular di Portugal pada satu ketika dahulu.
Ronaldo Terbaik Tetapi Eusebio No.1
Menurut Figo, sukar untuk menafikan bakat Cristiano Ronaldo. Namun secara peribadinya beliau masih memilih Eusebio sebagai pemain yang paling penting dalam sejarah bola sepak Portugal.
Tambah Figo lagi:
“Saya mengagumi Cristiano dan saya menikmati serta melihat pencapaian beliau. Dia sentiasa menjadi lebih baik, tahun demi tahun. Dia juga mencipta sejarah dalam bola sepak.”
“Walaupun saya tidak pernah melihat Eusebio bermain, saya tetap akan meletakkan beliau sebagai nombor satu kerana pendirian beliau. Kerana ‘sayang’ beliau yang ditunjukkan kepada saya, persahabatan dan juga nasihat-nasihat beliau.”
“Semua orang akan berbicara kenapa saya mengatakan sebab begini atau alasan begitu. Tetapi yang paling penting adalah saling hormati-meghormati.”
“Setiap orang mencipta sejarah mereka sendiri.”
Sebelum ini Ronaldo memberikan respon panas kepada Xavi yang dianggap beliau sebagai mencari publisiti murahan menggunakan nama beliau.
Apa pula respon Cristiano Ronaldo kali ini?
Baca juga : Gara-Gara Komen Xavi, Ronaldo Kutuk Xavi ‘Gila Publisiti’ Dan ‘Tak Pernah Menang Ballon d’Or’