Sememangnya pahit untuk menelan hakikat Malaysia dibenam dengan begitu mudah oleh Vietnam dalam aksi peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2020. Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe pastinya menjadi individu yang paling berat untuk memikul kekalahan memalukan ini.
Dalam temubual selepas perlawanan, jurulatih berusia 53 tahun ini menjelaskan ketiadaan ketua pasukan, Aidil Zafuan Abdul Razak di atas padang selepas dikeluarkan pada awal permainan akibat kecederaan menjadi punca utama kepada kelonggaran bahagian pertahanan.
Selain itu, kecederaan beberapa pemain lain pada babak kedua juga memburukkan lagi keadaan sehingga menyebabkan pasukan negara gagal untuk mengimbangi corak permainan pantas yang dipamerkan oleh skuad kendalian Park Hang Seo itu.
Keputusan Masa Penuh
Piala Suzuki AFF 2020 | 12 Disember 2021
VIETNAM 🇻🇳 3-0 🇲🇾 MALAYSIA
⚽️ Nguyen Quang Hai 32' Nguyen Cong Phuong 36' Nguyen Hoang Duc 89'#FAM #HarimauMalaya #AFFSuzukiCup2020 #VIEvMAS #RivalriesNeverDie #EmergingStrongerTogether pic.twitter.com/0QwETaoIc5
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) December 12, 2021
“Memang hari ini kita kehilangan konsentrasi apabila kita kehilangan pemain di bahagian pertahanan di mana kita dibolosi gol disebabkan pertukaran awal Aidil (Zafuan) kerana kecederaan,” ujar Cheng Hoe.
“Ia menyebabkan sedikit kelonggaran di bahagian pertahanan, tetapi pada separuh masa kedua kita dapat sekurang-kurangnya mengimbangi permainan Vietnam.
“Namun dalam situasi tersebut ramai pula pemain cedera termasuk kita terpaksa mengeluarkan Shahrul Saad yang menyebabkan pertahanan kita semakin longgar. Ia membuatkan kita tidak dapat mengekalkan momentum di bahagian serangan.”
Cheng Hoe turut ditanya mengenai perancangannya jika Aidil dan Shahrul terpaksa berehat panjang dan tidak dapat diturunkan untuk perlawanan terakhir kumpulan menentang Indonesia dalam tempoh seminggu lagi.
“Kalau kita lihat, kita masih ada seminggu lagi untuk persiapan, jadi kita memang mengharapkan kedua-dua pertahanan ini dapat pulih dalam masa terdekat. Jadi kita kena bekerja keras untuk pastikan kita betul-betul bersedia untuk menentang Indonesia nanti.
Walaupun tewas, pintu untuk Malaysia mara ke peringkat separuh akhir masih belum tertutup kerana masih mempunyai baki satu perlawanan peringkat kumpulan menentang Indonesia pada 19 Disember ini.
Ini bermakna skuad negara mempunyai tempoh seminggu untuk mempersiapkan pasukan terbaik menjelang pertemuan ‘hangat’ menentang pasukan jiran yang juga menjadi musuh tradisi.
Kini Cheng Hoe pastinya mengharapkan ketibaan pemain yang berkelana di Eropah, Dion Cools dan beberapa pemain lain yang akan selesai menjalani kuarantin wajib dapat menghadirkan suasana positif dalam pasukan.