Penjaga gol Perak FC, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy nampaknya sudah habis bersabar menanti dan isu tunggakan gaji serta kontrak baharu tampak tidak akan selesai membuatnya memilih untuk ‘angkat kaki’.
“Saya ada keluarga nak kena jaga, saya ada anak dan isteri yang saya kena bagi makan,” ungkapnya yang kini berusia 28 tahun dan terpaksa membuat keputusan sukar meninggalkan pasukan yang mengangkat kariernya.
Sepanjang lima musim di Perak, Hafizul Hakim berjaya membina kariernya dengan baik sehingga dipanggil untuk bersama skuad kebangsaan pada tahun 2017 dan 2018. Masalah dalaman The Bos Gaurus pada musim lalu ditambah dengan isu tunggakan gaji nampaknya terus merosakkan pasukan menjelang musim depan.
Mereka sebelum itu telah kehilangan majoriti pemain-pemain senior termasuk tonggak import pada jendela perpindahan kedua yang menyaksikan pemain seperti kapten pasukan, Shahrul Saad, Kenny Pallraj, J. Partiban, Nazirul Naim dan empat pemain import, Shakir Hamzah, Guilherme de Paula, Leandro dos Santos dan Careca.
Hanya beberapa pemain senior kekal setia sepertinya, namun selepas Amirul Azhan sah menyertai Kedah, mungkin Hafizul Hakim terfikir, sampai bila kesabarannya akan dibalas dengan selesainya isu tunggakan gaji?
“Kalau ikutkan, saya nak kekal lagi [dengan pasukan Perak] sebenarnya, tapi bila nampak masalah ni tak akan selesai, saya terpaksa juga [tinggalkan Perak]. Jadi, keputusan saya ni, saya buat selepas berfikir panjang dan saya rasa ini adalah keputusan terbaik untuk karier saya dengan keluar dari pasukan Perak,” ujarnya lanjut.
Awal Disember lalu telah diadakan majlis pengambil alihan saham Perak FC oleh Impact Media Communication (IMC) dan menerusi kenyataan pengerusinya, Khairul Mahmood, mereka tidak boleh menghalang pemain untuk tinggalkan pasukan kerana keutamaan mereka ketika ini adalah untuk selesai isu tunggakan gaji dahulu.
Hafizul Jothy meninggalkan Perak FC selepas mendapat tawaran dari kelab lain untuk bermain di Liga Super pada musim 2022 pic.twitter.com/1c3aapIOQj
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) December 10, 2021
“Sebagai pemain profesional, pemain berhak untuk membuat pilihan masing-masing untuk angkat kaki atau tunggu dan lihat perkembangan selanjutnya,” tegasnya yang sehingga kini menurut Hafizul Hakim masih tiada apa-apa perkembangan terkini mengenai pasukan dan beliau tidak tahu perlu merujuk kepada siapa perkara ini.
“Keutamaan adalah untuk menyelesaikan apa tunggakan yang ada pada pemain, selagi benda itu belum selesai kami tidak boleh membuat tawaran atau memberi jaminan kepada pemain yang ada ini,” ujar Khairul lanjut memberikan petanda yang tiada jaminan mampu mereka berikan kepada pemain musim lalu untuk kekal.
Hafizul Hakim yang bercakap kepada Astro Arena tentang isu tersebut turut memaklumkan pasukan di sebelah utara adalah destinasi seterusnya, namun belum dapat memberikan sebarang maklumat. Namun, desas desus menyatakan, penjaga gol dengan sembilan kaps antarabangsa itu semakin hampir menyertai Penang FC.