Penantian calon-calon pemain yang bakal diterbangkan ke saingan Piala AFF Suzuki 2020 akhirnya dinoktahkan apabila senarai 28 pemain telah dikeluarkan dengan jentera tengah tampak paling rapuh berbanding posisi lain.
Daripada senarai 28 pemain ini, ia akan dikecilkan sehinggalah ke 24 pemain sebelum ia dimuktamadkan untuk membawa cabaran Harimau Malaya di Piala AFF edisi ke-13, sejak diperkenalkan bermula pada tahun 1996.
Biarpun fokus diberikan kepada pemain-pemain seperti Dion Cools dan Luqman Hakim yang turut dibawa ke Singapura kali ini, namun kehilangan beberapa bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) turut menjadi bualan ramai.
Antara nama yang ‘hilang’ dan menimbulkan persoalan adalah pemain meningkat naik, Arif Aiman, Corbin Ong dan Matt Davies. Turut diketepikan adalah penjaga gol, Farizal Marlias yang beraksi baik di Piala Malaysia.
Penjelasan Tan Cheng Hoe mengenai Arif Aiman tidak berada dalam senarai 28 pemain ke Kem Latihan Pusat menjelang Piala Suzuki AFF 2020. @ASTROARENA pic.twitter.com/f2ly11fTNn
— Syakirah Zulkifly (@SykrhZlkfly) November 17, 2021
Selain pemain daripada juara Liga Super lapan musim berturut-turut itu, ketiadaan playmaker Sri Pahang, Nor Azam Azih turut menimbulkan persoalan, bagaimana jentera tengah yang akan dibentuk Tan Cheng Hoe nanti?
Ada juga yang bertanya tentang kelibat Afiq Fazail dan Nazmi Faiz yang ‘hilang’, malah Natxo Insa yang jelas seperti tidak berminat untuk menyarung jersi skuad kebangsaan turut menjadi tajuk utama perbualan ramai.
Jadi, siapa yang pengendali skuad kebangsaan itu telah senaraikan untuk posisi tengah dalam senarai tersebut? Melihatkan senarai, terdapat lima pemain yang mungkin boleh diletakkan di posisi tengah iaitu Junior Eldstal, Baddrol Bakhtiar, Akram Mahinan, Kenny Pallraj dan Mukhairi Ajmal. Junior Eldstal mungkin pilihan kedua.
Ini kerana, ketika berdepan UAE dalam pusingan kelayakan Piala Dunia pada awal Jun lalu, Junior Eldstal telah dimasukkan sebagai pemain gantian di posisi bek tengah bagi menggantikan Aidil Zafuan pada minit ke-70.
Senarai nama yg tiada untuk Kem Latihan Harimau Malaya untuk Piala AFF Suzuki 2020.
➡️ Arif Aiman
➡️ Afiq Fazail
➡️ Natxo Insa
➡️ Safiq Rahim
➡️ Corbin Ong
➡️ Matt Davies
➡️ Farizal Marlias
➡️ Shahrul Nazeem
➡️ Azam Azih
➡️ Shahrul Nizam
➡️ Daniel Ting
➡️ Zhafri Yahya https://t.co/25dbmTTq5Y— Pemain Ke-12 (@pemain_ke_12) November 17, 2021
Cheng Hoe menggemari formasi taktikal empat pertahanan, lima pemain di tengah dan penyerang tunggal sama ada formasi 4-1-4-1, 4-2-3-1 atau 4-3-2-1. Ini antara kemungkinan formasi taktikal yang akan digunakan.
Untuk posisi tengah, mungkin Cheng Hoe akan melibatkan dua pemain tengah sahaja. Satu lagi pemain tengah akan diletakkan sebagai penyerang kedua, di belakang penyerang tunggal membentuk formasi 4-2-3-1. Dua pemain sayap akan digerakkan di koridor kanan dan kiri sama ada sebagai pemain sayap atau inside forward.
Agak berisiko melihat senarai pemain tersebut, namun dengan adanya Akram Mahinan dan Kenny Pallraj, kita tahu siapa yang akan buat ‘kerja kotor’ di bahagian belakang. ‘Jurumudi’ Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar akan digunakan Cheng Hoe dan mungkin Mukhairi Ajmal juga adalah pilihan baik sebagai ‘jurutera’ pasukan.
Piala AFF 2018: Corak Permainan Malaysia Di Bawah Tan Cheng Hoe – https://t.co/IPTyQM1mbz pic.twitter.com/hCmGRVj1fb
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 11, 2018
Benarkah jentera tengah Harimau Malaya tak ‘rancak’? Jika diamati, ia dilihat agak seimbang sebenarnya.
Masih ingat pemain di jentera tengah skuad 2018? Kita ada Akram Mahinan, Kenny Pallraj dan Syamer Kutty Abba. Struktur tengah skuad negara ketika itu bergantung kepada pivot kembar dengan meletakkan Akram Mahinan dan Syamer Kutty sebagai taruhan, namun kedua-duanya tiada ‘percikan’ kreatif dalam permainan.
Begitupun, skuad ‘tiada harapan’ itu mara sehingga ke pentas akhir – mengejutkan Thailand di separuh akhir.
Jadi, untuk struktur di tengah, kekurangan pada edisi 2018 – kreativiti dari segi hantaran akhir dan playmaking, sedang cuba diperbaiki olehnya dengan kemasukkan dua pemain iaitu pemain yang lama dikenalinya, Baddrol Bakhtiar dan pemain muda meningkat naik, Mukhairi Ajmal yang cemerlang di kelayakan Piala Asia B-23.