Pemain Barcelona, Sergio Aguero kini mengalami satu tempoh yang sukar dalam kariernya apabila dirinya disahkan mengalami masalah jantung yang serius.
Situasi tersebut membuatkan penyerang berbisa itu kini berada dalam potensi untuk bersara lebih awal dari yang dirancang walaupun Aguero kini sudah pun memasuki fasa akhir hari bermainnya.
Malah, disebabkan perkara itu ianya telah menimbulkan desas-desus yang mengatakan pemain tersebut akan bersara dalam masa terdekat.
Akan tetapi, ianya telah dinafikan oleh Aguero sendiri dengan pemain itu sendiri belum mempunyai bayangan jelas bilakah beliau akan menamatkan kariernya.
“Merujuk kepada khabar angin, saya boleh katakan yang saya kini mengikuti indikasi dari pasukan perubatan kelab.”
“Saya kini menjalani pelbagai ujian dan rawatan dan dari situ kita akan lihat bagaimana semasa proses 90 hari,” kata Aguero menerusi Twitternya.
Ante los rumores les cuento que estoy siguiendo las indicaciones de los médicos del club, haciendo pruebas y tratamiento y ver mi evolución en el plazo de los 90 días. Siempre en positivo 🤟🏽
— Sergio Kun Aguero (@aguerosergiokun) November 12, 2021
Buat masa sekarang, Aguero kini menjalani rawatan yang mengambil masa 90 hari untuk menentukan sama ada jantungnya masih membenarkan pemain tersebut bermain atau tidak.
Sebelum ini, Aguero mencetuskan kebimbangan dunia selepas mengalami sakit dada ketika aksi La Liga menentang Alaves pada Oktober lalu.
Kesakitan itu berpunca dari heart arrhythmia yang menyebabkan degupan jantung seseorang itu tidak normal.
Situasi yang dihadapi oleh Aguero ini boleh dirawat dan sembuh seperti sediakala tetapi boleh menjadi lebih serius jika dibiarkan melarat.
Aguero mengalami permulaan sukar dalam kariernya bersama Barcelona kerana selepas musimnya tertangguh disebabkan kecederaan, isu jantung pula datang menguji pemain itu.