‘The Managers’ Assasin’ – 5 Pengurus EPL Yang Dipecat Selepas Ditewaskan Oleh Klopp

Tidak dapat dinafikan Jurgen Klopp adalah antara individu yang berjaya mengubah landskap bola sepak Inggeris pada hari ini.

Sejak dilantik selaku pengurus Liverpool pada 8 October 2015, beliau telah berjaya mengubah kelab Merseyside itu daripada sebuah pasukan yang sentiasa diulit kekecewaan kepada sebuah pasukan yang digeruni mana-mana lawan.

Hanya di dalam tempoh beberapa tahun dengan perancangan rapi dan taktikal ‘masterclass’ yang sentiasa dicemburui lawan, Klopp kini telah membawa empat trofi utama ke Anfield.

Bermula dengan kejuaraan UEFA Champions League pada musim 2018-19, rentetan kejayaan Liverpool diulangi pada musim berikutnya dengan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama kelab itu di dalam tempoh 30 tahun. Ia adalah antara detik paling emosi buat penyokong The Reds.

Tidak cukup dengan itu, Klopp turut membawa Liverpool menjuarai UEFA Super Cup dan FIFA Club World Club pada 2019. Maka tidak hairanlah mengapa beliau mendapat gelaran pengurus terbaik dunia pada ketika itu.

Walaupun tidak berada di tahap terbaik mereka pada musim lalu akibat kecederaan, Liverpool kekal kompetitif dan menjadi antara pasukan yang paling menarik untuk disaksikan sehingga ke hari ini.

Di sebalik kegemilangan Klopp sebagai pengurus Liverpool, ada juga di kalangan pengurus yang berduka. Berikut adalah lima pengurus dan jurulatih di EPL yang dipecat sejurus selepas mengalami kekalahan kepada Liverpool kendalian Klopp.

Francesco Guidolin

(Photo by Athena Pictures/Getty Images)

Tidak sampai setahun bersama Swansea City, Francesco Guidolin hanya sempat melati Swansea City tidak sampai 10 bulan. Lebih malang buat Guidolin, beliau dipecat pada harijadi ke-61.

Tiba di Swansea pada 18 Januari 2016 sebagai seorang jurulatih tidak dikenali – sehingga pemain sendiri terpaksa ‘google’ untuk mengenali pengurus baharu mereka itu – Guidolin berjaya menyelamatkan Swansea daripada jatuh ke Campionship.

Permulaan buruk sehingga gagal merekodkan sebarang kemenangan daripada Ogos sehingga Oktober pada musim berikutnya bagaimanapun memaksa Swansea melakukan perubahan drastik.

Guidolin akhirnya menjadi mangsa pertama Klopp apabila dipecat oleh Swansea dua hari selepas kekalahan 2-1 kepada Liverpool di tempat sendiri.

Slaven Bilic

(Photo by Rob Newell – CameraSport via Getty Images)

Bilic bermula dengan baik bersama West Ham apabila menamatkan musim pertamanya di kedudukan ketujuh, dan di kedudukan kesebelas pada musim berikutnya.

Bagaimanapun tewas semua tiga perlawanan pertama  pada musim 2017-18 pantas memberi tekanan kepada pengendali dari Croatia itu.

Keadaan menjadi sukar apabila West Ham berada di kedudukan ke-18 menjelang November, dan pada ketika itu pengurusan tertinggi The Hammers mulai berkira-kira sesuatu perlu dilakukan segera sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Tewas 1-4 kepada Liverpool di Stadium London, Bilic terus dipecat pada 6 November 2017 sehari selepas kekalahan kepada anak buah Klopp.

Slavisa Jokanovic

(Photo by George Wood/Getty Images)

Klopp terus menjadi duri dalam daging buat pengurus EPL selepas itu. Mangsa ketiga beliau adalah pengurus Fulham, Slavisa Jokanovic. Untuk rekod, Jokanovic dilantik selaku pengendali di Craven Cottage hanya beberapa bulan selepas Klopp dilantik pada 2015.

Bermula dari Championship, Jokanovic berjaya membawa Fulham ke saingan EPL selepas menjuarai perlawanan akhir play-off pada Mei 2018.

Namun kehidupan di divisyen teratas England itu tidak semudah disangka. Berada di kedudukan teratas dan rentetan enam kekalahan, perlawanan berikutnya menentang Liverpool ibarat destinasi terakhir buat Jokanovic.

Tewas 2-0 di Anfield selepas itu, Jokanovic menjadi mangsa ketiga Klopp apabila dipecat pada14 November 2018.

Jose Mourinho

Jose Mourinho Tottenham Hotspur
(Photo by Tottenham Hotspur FC/Tottenham Hotspur FC via Getty Images)

Klopp jelas tidak mengenal mangsa. Malah pengurus berprofil tinggi seperti Jose Mourinho turut tidak terlepas daripada menjadi mangsa dipecat oleh kelab selepas kekalahan menentang Liverpool.

Mourinho bermula dengan baik bersama Manchester United dan sempat memenangi dua trofi sepanjang tempoh bersama juara 20 kali EPL itu.

Memasuki musim ketiga keadaan tersebut bagaimanapun keadaan mulai berubah. Prestasi tidak menentu Manchester United sehingga ketinggalan 19 mata oleh Liverpool dan hubungan toksik dengan beberapa pemain utama menjadi parah dan langsung tidak membantu keadaan.

Klopp menghayunkan bilah terakhir riwayat Mourinho di Old Trafford selepas skuad kendaliannya menewaskan Manchester United 3-1 di Anfield pada 17 Disember 2018. Mourinho terus dipecat sehari selepas kekalahan tersebut.

Marco Silva

(Photo by Jordan Mansfield/Getty Images)

Marco Silva dibawa masuk ke Goodison Park pada musim panas 2018 bagi menggantikan Sam Allardyce dengan harapan pengendali dari Portugal itu mampu menerapkan corak permainan menarik untuk The Toffees.

Ia satu projek yang besar dan musim panas pertamanya turut disokong oleh perbelanjaan sebanyak £90 juta untuk membawa masuk pemain baharu.

Namun selepas 18 bulan mengendalikan jiran kepada Liverpool itu, ianya semakin jelas perkembangan positif yang diharapkan tidak kunjung tiba.

Sembilan kekalahan menjelang Disember 2019, dan berada di kedudukan ke-18 liga, kesabaran pengurusan Everton akhirnya berada di penghujung.

Kekalahan 5-2 kepada jiran mereka Liverpool di Anfield dianggap sebagai kekalahan yang tidak boleh diterima dan perlawanan itu menjadi noktah terakhir karier Silva bersama Everton.

Silva secara rasmi dipecat oleh Everton 6 Disember 2019 dan menjadi pengurus kelima yang dipecat selepas tewas kepada skuad kendalian Klopp.

Penutup

Siapakah bakal menjadi pengurus seterusnya yang akan menjadi kerakusan Jurgen Klopp mendominasi EPL bersama Liverpool?

Adakah Ole Gunnar Solskjaer, ‘The Baby-Faced Asassin’ akan menjadi mangsa seterusnya oleh Klopp selepas Manchester United tewas 5-0 kepada Liverpool pada hujung minggu lalu?

Klopp mungkin boleh dianggap sebagai ‘The Managers’ Assasin’ kerana rekod sebelum ini. Tetapi jelas sekali ‘The Baby-Faced Asassin’ sedikit liat sehingga sukar dipecat walaupun selepas kalah besar kepada Liverpool.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN