Adakah benar terdapat usaha pihak-pihak tertentu mahu melihat Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dikuburkan?
Jika benar perkara itu berlaku, maka ia tidak sepatutnya berlaku. Malah sukar untuk kita membayangkan natijah yang bakal berlaku dan kesannya kepada bola sepak negara, terutama masa depan pasukan kebangsaan dan kepada industri secara keseluruhan.
Kemungkinan perkara yang boleh dianggap sebagai “malapetaka” itu akan berlaku selepas satu ciapan dari @youthfootballmy yang mengkritik individu-individu tidak bertanggungjawab yang cuba berbuat demikian.
Namun demikian, tidak dapat dipastikan siapakah individu yang dimaksudkan. Laman Twitter Youth Football Malaysia adalah sebuah akaun bebas yang sentiasa memberikan sokongan kepada pembangunan akar umbi, termasuk di Malaysia.
Perkembangan NFDP adalah antara yang diikuti rapat oleh mereka. Usaha kami untuk menghubungi pihak berkenaan juga belum dibalas.
Visi dan misi NFDP
NFPD Malaysia merupakan sebuah program pembangunan bola sepak di Malaysia. Di bawah program ini, lebih daripada 50,000 pemain akan dilatih dan dihasilkan menjelang 2020.
Walaupun baru beberapa tahun, antara produk dari NFDP yang mulai mencipta nama adalah seperti Luqman Hakim Shamsuddin yang kini beraksi bersama KV Kortrijk di Liga Belgium.
Luqman Hakim (seated, second from right) is in KV Kortrijk's 2021/22 official team photo. pic.twitter.com/h6Ect9M5h9
— Harimau Abroad🐯🇲🇾✈️ (@harimau_abroad) September 30, 2021
Selain Luqman, kebanyakkan pemain generasi pertama Akademi Mokhtar Dahari yang menjadi akademi elit di bawah NFDP menjadi tunjang kepada skuad Bawah-23 negara seperti Sikh Izhan, Zikri Khalili, Umar Hakeem dan ramai lagi.
Sejak ditubuhkan pada 2014, NFDP tidak pernah lari dari kontroversi dengan pelbagai isu dan campur tangan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Ada juga yang bertanggapan NFDP adalah satu pembaziran, tanpa mengetahui visi dan misi sebenar program tersebut yang memerlukan masa dan sokongan penuh semua pihak untuk memastikan matlamat sebenar ia tercapai.