Beliau tidak mampu membendung kedukaan itu lagi.
Pemain Barcelona, Sergi Roberto tidak mampu untuk menahan lagi kesedihan yang amat dalam selepas pasukannya tewas di tangan Bayern Munich.
Kekalahan di laman sendiri itu membuatkan bukan sahaja skuad Ronald Koeman tewas pada aksi pertama UEFA Champions League (UCL), tetapi Roberto menjadi sasaran kecaman teruk penyokong Barcelona.
Menurut MARCA, Roberto yang dibuli hebat oleh Leroy Sane dan juga Alphonso Davies semasa menjadi pemain pertahanan sayap (wing-back) jelas sekali gagal untuk memberikan persembahan yang diharapkan.
Beliau kerap kali kehilangan bola serta pergerakan Roberto mudah dibaca dua pemain tersebut menyebabkan pemain itu menjadi ‘lubuk’ pada aksi perlawanan.
Roberto jelas sekali dicemuh hebat penyokong sendiri, malah di bilik persalinan beliau didapati menangis kerana kecewa dengan reaksi pengikut tegar Barcelona.
Walaupun aksi menentang Bayern itu bukan aksi terbaik Roberto, beliau masih lagi mendapat sokongan penuh dari Koeman.
“Harus diingat, beliau bukanlah bermain di posisi asal dan Roberto menentang pasukan yang terbaik di dunia,” kata Koeman semasa sidang media.
Selain Koeman, Gerard Pique dan Sergio Busquets turut memberikan sokongan dan mempertahan pemain tersebut.
Aksi buruk yang dipamerkan oleh Roberto turut diterjemah oleh keseluruhan pasukan Barcelona yang dimana mereka tewas 3-0 ditangan Bayern.