Waima diangkat sebagai antara jurulatih paling menonjol pada saingan Liga Super musim ini, Tomas Trucha sentiasa mengucapkan terima kasih kepada apa yang dilakukan oleh Manzoor Azwira sebelum ketibaannya.
Seorang yang sangat merendah diri dan tidak langsung mengambil kredit atas dirinya sahaja. Penang FC mengejutkan ramai pihak dengan apa yang mereka gapai setakat ini, bersaing untuk slot ke Piala AFC!
Sasaran awal pihak pengurusan Penang FC dalam musim pertama mereka kembali ke Liga Super adalah untuk berada di kalangan enam pasukan terbaik, berdasarkan perbelanjaan ‘besar’ yang telah dilakukan.
Jika gagal meraih tiket ke Piala AFC 2022 sekalipun malam ini, ia satu musim yang amat baik buat mereka.
Penang FC 'Borong Sakan' Pemain Untuk Saingan Liga Super https://t.co/dfNBpxzHO4 pic.twitter.com/QSWbR9AK6T
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 19, 2020
Manzoor Azwira membuat rombakan besar kepada skuad yang menjuarai saingan Liga Premier 2020. Sejumlah 16 pemain baharu telah dibawa masuk Manzoor Azwira sebelum ketibaan Tomas Trucha untuk mengambil alih antaranya Danial Ashraf, Azwan Aripin, David Rowley dan penjaga gol, Bryan See Tian Keat.
Perubahan dilakukan kerana skuad yang menjuarai Liga Premier itu mungkin tidak sesuai untuk bersaing di Liga Super. Beliau juga dilihat menambah pilihan pemain untuk menjadi ‘backup’ kepada pilihan utama.
Inilah yang dipuji oleh Tomas Trucha ketika ditanya media rahsia kekuatan Harimau Kumbang selepas mempamerkan aksi menakjubkan menewaskan Terengganu FC 4-1 dalam pusingan pertama pada Mei lalu.
“Mereka membawa masuk pemain-pemain yang cukup untuk setiap posisi. Ada sesetengahnya dua atau tiga pemain [untuk tiap posisi]. Semuanya [prestasi terkini] adalah tentang taktikal, karekter pemain dan urus niaga pemain yang baik,” ujarnya yang ketika itu kehilangan beberapa tonggak utama berdepan Terengganu.
Dalam sidang media terkini, selepas menang 2-1 ke atas Sri Pahang, sekali lagi Tomas Trucha berdepan persoalan media tentang keajaibannya yang membawa Penang FC sehingga ke kedudukan sekarang.
Dan, seperti biasa, beliau berkata, “Ia bukan tentang saya. Ia tentang pengurusan pasukan dan staf teknikal. Kami sentiasa berbincang tentang pertukaran pemain. Kami memasukkan pemain itu dan ia menjadi.”
Pengaruh Besar 5 Pengendali Yang Bentuk Pendekatan Manzoor Azwira Di Pulau Pinang
“Saya tidak rasa ia sentuhan ajaib saya. Coach Manzoor [Azwira] dan staf teknikalnya sudah membuat tugas yang bagus ketika di Liga Premier. Kemudian mereka membina pasukan ini dan kemudian saya datang.
“Kami membawa dua, tiga lagi pemain lain. Tetapi, skuad utama pasukan ini sudah dibentuk awal. Saya bukan datang untuk membuat revolusi saya sendiri, saya meneruskan apa yang mereka telah lakukan. Hanya beberapa perubahan kecil untuk menstabilkan pasukan. Dan ia menjadi,” tegas Tomas Trucha mengenainya.
Berkongsi 40 mata bersama Kedah Darul Aman FC dan hanya di kedudukan ketiga disebabkan perbezaan jaringan, Penang FC perlu menang ke atas Terengganu dalam aksi terakhir Liga Super, malam nanti.
Selain itu, mereka perlu mengharapkan Melaka United yang bertandang ke Stadium Darul Aman dapat meneruskan langkah sumbang Kedah yang sudah keciciran mata dalam tiga perlawanan berturut-turut.