Sejak Liga Super diperkenalkan pada 2004, ini merupakan kali pertama Perak FC akan turun beraksi ke Liga Premier apabila tewas tipis 1-2 kepada Melaka United di Stadium Hang Jebat, pada malam tadi.
Selain itu, ia turut menamatkan rentetan 32 tahun mereka dalam saingan tertinggi Liga Malaysia sejak musim 1990. Ini juga musim paling bermasalah apabila dua kali melalui masalah tunggakan gaji.
Sejak masalah tunggakan gaji didedahkan dan majoriti tonggak utama ‘angkat kaki’, ada yang sudah menjangkakan Perak akan jatuh ke Liga Premier pada sambutan ke-100 tahun Perak FA ditubuhkan.
Perak's relegation brings an end to the 2nd-longest stay in Malaysian football top-flight history – falling 1 season short of equalling the record#LigaSuper pic.twitter.com/aVpgdqmMxa
— Devinder Singh (@devinder00) September 3, 2021
Walaupun memilih untuk merehatkan penyerang import, Nana Poku yang dilihat kurang membantu pasukan menghasilkan jaringan gol, kekurangan dari segi pengalaman mempengaruhi nasib mereka.
Ia turut diakui jurulatih Perak, Shahrulnizam Mustafa apabila berkata yang pemain muda yang mereka miliki ini masih kekurangan pengalaman dan belum cukup matang berdepan cabaran Liga Super.
Ujarnya di sidang media, “Kami kehilangan 80 peratus pemain-pemain utama, di mana mereka berhijrah ke pasukan lain. Kami bermain dengan pemain-pemain yang agak muda, yang bagi saya kurang pengalaman. [Beraksi] Di Liga Super, kita memerlukan pemain-pemain yang berpengalaman.”
“Mereka masih belum cukup matang untuk aksi Liga Super, tetapi kualiti yang ada pada pemain-pemain muda ini, saya percaya Perak akan bangkit untuk kembali ke Liga Super akan datang.” tegasnya.
Kali terakhir mereka meraih kemenangan adalah pada Mei lalu, menewaskan PJ City dengan keputusan 1-0, kemenangan ketiga mereka musim ini. Ini merupakan kekalahan ke-6 berturut-turut buat mereka.
Perak sebenarnya berpeluang untuk mengatasi Melaka United sebelum skuad Hang Tuah mula bangkit di pertengahan babak kedua untuk menumbangkan mereka. Mereka melepaskan beberapa peluang boleh gol yang dicipta, sebelum Manuel Ott meledak jaringan penyamaan pada minit ke-66.
📹 HIGHLIGHTS: @MelakaUnitedFC 2-1 @peraktbgmy
Melaka United bangkit daripada ketinggalan satu gol menerusi jaringan Manuel Ott dan Sony Norde pada babak kedua.
Sepakan penalti Sergio Aguero membuka tirai jaringan buat Perak pada minit ke-30.#LigaSuper2021 pic.twitter.com/LGURYwhuPN
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 3, 2021
Pasukan pelawat mendahului aksi menerusi jaringan sepakan penalti yang disempurnakan oleh kapten, Sergio Aguero pada minit ke-29 selepas Syahir Bashah dikasari oleh Khairul Anwar Shahrudin.
Gol tersebut meningkatkan moral anak buah Shahril Nizam Khalil itu dengan dua percubaan baik yang dicipta menerusi Muhammad Adib Abdul Ra’op, namun dikecewakan dengan sentuhan kurang tajam.
Selepas jaringan Manuel Ott, Sony Norde menghadirkan kegembiraan buat Melaka United pada minit ke-79 menerusi satu rembatan padu yang gagal ditepis keluar Nasrullah Aziz untuk tiga mata buat mereka.
Perak akan turun dalam aksi terakhir Liga Super berdepan Sabah FC pada 12 September depan dengan misi meraih mata agar tidak terjatuh ke kedudukan tercorot yang ketika ini dihuni oleh UiTM FC.