Panggilan skuad kebangsaan buat Kpah Sherman dan Rabih Ataya menandakan Kedah Darul Aman FC bakal kehilangan kudrat mereka, mungkin sehingga ke penghujung saingan Liga Super musim ini.
Semalam, Kedah telah mengumumkan tentang panggilan skuad kebangsaan buat kedua-dua pemain untuk saingan kelayakan Piala Dunia 2022, di mana negara mereka masih terlibat dalam saingan.
Liga Malaysia juga sepatutnya berehat untuk FIFA Day di mana skuad kebangsaan boleh memanfaatkan tempoh antara 30 Ogos hingga 7 September 2021 tersebut untuk aksi persahabatan antarabangsa.
Namun, disebabkan Malaysian Football League (MFL) mahu menamatkan saingan liga pada September, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah memulangkan semula tempoh tersebut kepada mereka.
Selain itu, mungkin disebabkan kesukaran dan ‘kelewatan’ untuk memperolehi kebenaran untuk bermain, kebanyakkan negara lawan memilih untuk mencari penyelesaian lain seperti menentang negara lain.
Tan Cheng Hoe kecewa #HarimauMalaya tiada perlawanan persahabatan menjelang aksi kelayakan @afcasiancup pic.twitter.com/hQJ3mij8Iy
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) August 10, 2021
Liga Super akan berakhir pada 12 September, adakah Kpah Sherman dan Rabih Ataya sempat pulang?
Jika tidak sempat sampai, apakah perancangan pengendali, Aidil Sharin untuk menghadapi situasi ini?
Melihatkan situasi di bangku simpanan skuad Hijau Kuning ketika ini, pilihan terbaik mereka agak terhad. Mungkin pilihan yang ada adalah memberikan ruang kepada pemain-pemain muda untuk membarisi skuad utama dalam baki empat aksi terakhir – Sri Pahang, KL City FC, UiTM FC dan Melaka United.
Bagaimana Kedah tanpa Kpah Sherman? Musim ini, penyerang utama skuad Hijau Kuning itu hanya terlepas satu aksi akibat penggantungan iaitu ketika berdepan KL City FC pada 23 April lalu.
Aidil Sharin mempertaruhkan Kipre Tchetche selaku penggempur utama sambil dibantu oleh Faizat Ghazli dan Syazwan Zainon di bahagian sayap. Rabih Ataya ketika itu bermain di jentera tengah.
Beraksi di halaman sendiri, mereka berjaya untuk bangkit daripada ketinggalan di penghujung perlawanan menerusi dua jaringan Kipre Tchetche di minit ke-93 dan ke-96, untuk menang 3-2.
📹 HIGHLIGHTS: @kda_fc 3-2 @klcityfootball
KL City mendahului dua kali namun Kedah Darul Aman bangkit daripada ketinggalan 2-1 dengan dua jaringan Tchetche Kipre dalam masa tambahan untuk kemenangan 3-2.#LigaSuper2021 pic.twitter.com/28ctZ4qcMX
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 24, 2021
Selepas liga berehat tempohari, Rabih Ataya telah berubah posisinya ke sayap kanan, di mana aksinya semakin mula meyakinkan berbanding dengan aksinya di jentera tengah, sebelum liga berehat.
Kini, Kedah akan turun tanpa kedua-dua pemain. Siapa yang bakal mengambil alih peranan yang telah ditinggalkan oleh penyerang utama dan pemain sayap kanan skuad Hijau Kuning selepas ini?
Posisi sayap kanan, hampir pasti akan digerakkan oleh Faizat Ghazli yang telah tampil 12 kali musim ini. Selain itu, Aidil Sharin juga boleh mempertaruhkan kapten, Baddrol Bakhtiar di posisi terbaiknya itu.
Kedah memiliki ramai pemain tengah dan dengan formasi yang diketengahkan kini oleh pengendali kelahiran Singapura itu, mereka memerlukan dua pemain di tengah untuk menggerakkan pasukan.
RASMI: Pemain ‘Box-To-Box’, Anumanthan Mohan Kukuhkan Jentera Tengah Kedah
Pilihan di tangan yang miliki Kedah adalah Anumanthan Mohan, Amirul Hisyam, Asnan Ahmad termasuk Fadzrul Danel dan Tam Sheang Tsung. Jadi, tiada masalah untuk Baddrol Bakhtiar bertukar posisi.
Sementara itu, posisi penyerang sudah pasti menjadi milik Kipre Tchetche. Namun, siapa pula akan mengambil alih peranannya, di belakang Kpah Sherman dalam beberapa perlawanan terkini?
Jika beliau dikekalkan sebagai penyerang kedua di belakang penyerang utama, siapa pula yang akan menggantikan peranan yang telah dimainkan dengan baik oleh Kpah Sherman selepas 18 aksi ketika ini?
⚽️ PENJARING TERBANYAK LIGA SUPER 2021
Bergson da Silva kini mendahului senarai penjaring terbanyak dengan 23 gol dalam 18 penampilan sahaja! 🤩#LigaSuper2021 pic.twitter.com/65IHLkLKob
— Malaysian Football League (@MFL_MY) August 30, 2021
Beliau telah meledak 13 gol dalam 17 penampilannya musim ini. Kedah baru sahaja mengumumkan mereka ‘terpaksa’ melepaskan bekas penyerang sensasi skuad muda negara, Rozaimi Abdul Rahman.
Jika tidak, tentunya Rozaimi yang akan mendapat peluang ini. Apa yang Kedah miliki ketika ini adalah pemain muda skuad negara, Aiman Afif. Berusia 20 tahun, beliau telah tampil dalam dua perlawanan.
Selain itu, penyokong Kedah tentunya turut ternantikan kelibat Afeeq Iqmal, penyerang berusia 22 tahun yang pernah mendapat sentuhan ’emas’ jurulatih ‘Double Treble’ Kedah, Azraai Khor Abdullah.
Beliau memang sudah berada dalam sesi-sesi latihan skuad utama dan tentunya boleh menjadi pilihan alternatif jika Aidil Sharin memberikannya ruang. Tiga rakan sepermainannya, Loqman Hakim, Fayyadh Zulkifli dan Fadzrul Danel sudah pun menempa nama dalam skuad utama dan mungkin ini peluangnya?