5 Perkara Dari Aksi Menakjubkan Man United Ratah Skuad Marcelo Bielsa

Manchester United memulakan kempen musim baharu Premier League dengan cemerlang apabila membelasah Leeds United 5-1.

Berikut adalah lima perkara yang boleh kita kenal pasti dan pelajari dari kemenangan bergaya tersebut:

1. Bruno Fernandes jadi ‘False 9’

Tanpa Edinson Cavani dan Marcus Rashford, Manchester United hanya mempunyai Mason Greenwood di dalam kesebelasan utama yang mampu bertindak sebagai No.9.

Sebaliknya Greenwood beraksi di posisi serangan sebelah kiri – peranan yang biasa pemain itu ambil pada musim lalu – dan Daniel James pula di sebelah kanan. Ramai melihat peranan kedua-duanya sebagai pemain sayap, tetapi  fungsi sebenar Greenwood dan James adalah sebagai wide attacker di dalam sistem ini.

Bruno Fernandes pula diberikan peranan sebagai false 9. Kedudukan Greenwood dan James membuka ruang untuk Fernandes mengeksploitasi ruang di bahagian tengah. Pegerakan pemain itu yang bebas ke mana saja membuatkan beliau sukar dikawal.

Hasilnya, hatrik pertama Bruno Fernandes untuk Manchester United.

2. High-pressing Man United

Jaringan 5-1 sebenarnya tidak menggambarkan kualiti yang dimiliki oleh skuad Marcelo Bielsa. Di bawah kendalian pengendali dari Argentina itu, Leeds United menjadi sebuah pasukan dengan taktikal moden yang gemar menyusun gerakan menyerang dari bahagian bawah.

Menentang Man United pada malam ini, Ole Gunnar Solskjaer tidak membenarkan perkara itu untuk berlaku. Setiap gerakan yang cuba dilakukan dari bawah terus ditekan oleh sekurang-kurangnya tiga pemain Man United.

Heat map empat pemain paling hadapan Man Utd.

Malah posisi pemain-pemain Man United setiap kali kehilangan bola di kawasan lawan terus berubah ke posisi untuk bersedia merampas kembali bola secepat mungkin dengan menghalang setiap passing-lane untuk Leeds.

Pada satu ketika, high-pressing kepada Man Utd hampir memberikan mereka peluang jaringan melalui Greenwood. Mujur penjaga gol berjaya menyelamatkan bola lambungan penyerang muda itu.

3. Magnifique Pogba!

Sejak musim lalu lagi kisah mengenai Pogba hanyalah mengenai perpindahan keluar beliau dari Old Trafford. Paris Saint-Germain antara kelab yang dikait rapat dengan Pogba pada musim panas ini.

Tidak boleh dinafikan perpindahan Lionel Messi ke PSG telah memberikan domino effect kepada pemain tengah dari Perancis ini. Nama beliau seolah-olah dilupakan dengan tumpuan dunia terarah hanya kepada Messi dan pasukan barunya.

Sekurang-kurangnya situasi tersebut telah mengembalikan fokus Pogba kepada prestasi yang sepatutnya beliau tampilkan di Old Trafford selama ini.

Pogba hanya menghasilkan tiga assist untuk Man United untuk keseluruhan musim lalu. Pogba yang memberikan fokus kepada perlawanan menentang Leeds seperti yang kita saksikan pada malam tadi telah menghasilka empat assist – hanya dari satu perlawanan.

Kini Pogba perlu membuktikan nilai sebenar dirinya dengan aksi yang lebih konsisten. Ia tidak mustahil jika pemain itu benar-benar fokus kepada tanggungjawab dan nilai yang beliau bayar.

4. Pengenalan Varane

Raphael Varane telah diperkenalkan secara rasmi di hadapan 75,000 penyokong Manchester United yang hadir di Old Trafford sebelum sepak mula perlawanan.

Secara tidak langsung, pengenalan Varane memberikan impak positif kepada pemain yang kerap dikaitkan akan digantikan oleh bekas pemain Real Madrid itu, Victor Lindelof.

Lindelof tidaklah naif dan sedar bahawa pembelian Varane bermakna kedudukan beliau di dalam kesebelasan utama Man United akan tergugat selepas ini. Pada masa yang sama, ia juga bermakna wujud persaingan sihat di posisi pertahanan di dalam kem United.

Dalam aksi menentang Leeds, kapten skuad kebangsaan Sweden itu menghasilkan aksi bertahan bertaraf dunia. Tidak membenarkan pihak lawan melepasi beliau dalam situasi satu lawan satu, Lindelof turut melakukan lima clearance dan memenangi semua perebutan bola tinggi (kelemahan utama musim sebelum ini).

Turut menghasilkan satu assist untuk Bruno Fernandes, keseluruhan prestasi ditampilkan Lindelof adalah respon yang pasti dibanggakan oleh Solskjaer.

Pengenalan Sancho

Solskjaer turut sempat memberikan debut kepada pemain baharu Jadon Sancho di dalam perlawanan ini.

Lebih menarik, debut Sancho bersama Manchester United adalah di Old Trafford, dan kemasukkan pemain itu sememangnya telah dinanti-nantikan oleh 75,000 penyokong.

Untuk komen yang adil, Manchester United sebenarnya sudah pun memperlahankan perlawanan pada ketika Sancho dimasukkan pada minit ke-73 perlawanan.

Berdasarkan perlawanan ini, bekas pemain Borussia Dortmund itu pasti sedar akan harapan, jangkaan dan standard yang diharapkan dari beliau pada musim ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN