Khabar angin masalah tunggakan gaji Perak FC kembali bertiup dan kali ini sekali lagi para pemain dikatakan telah gagal dibayar gaji untuk tempoh hampir tiga bulan.
Sebelum ini, sekitar bulan Mei yang lalu, para pemain Perak terpaksa membuat mogok untuk tidak turun berlatih disebabkan masalah yang sama yang akhirnya membawa kepada penghijrahan tonggak utama termasuklah kapten pasukan, Shahrul Saad.
Shahrul Saad disertai Guilherme de Paula berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT), Kenny Pallraj dan J. Parthiban (KL City FC), Nazirul Naim (Sabah FC) serta Shakir Hamzah yang memilih untuk akhirnya kembali ke kampung halamannya di Singapura.
Retak Menanti Belah, Bagaimana Aksi Perak FC Sebelum Liga Berehat?
It looks like the Perak players are airing their displeasure over the unpaid wages. They have decided not to train today. #PafaOhPafa pic.twitter.com/KiBAyV324P
— T. Avineshwaran (@avineshW90) May 7, 2021
Mereka kemudiannya turut kehilangan dua pemain import, Careca dan Leandro dos Santos yang baru-baru ini akhirnya dikatakan meminta untuk ditamatkan kontrak.
Adakah memang pengurusan Perak yang ada ketika ini mahu Perak terjerumus ke saingan Liga Premier? Nampaknya seperti memang itulah yang mereka sedang buat.
Menurut perkongsian sebuah laman Facebook penyokong Perak, Silver Retro, masalah tunggakan gaji kembali menghantui pasukan dan berlanjutan selama tiga bulan.
Sudahlah gaji tak dibayar, apabila pemain meminta penjelasan dan bertanya, mereka akan menjawab tidak pasti bila pembayaran gaji akan dibuat pihak pengurusan.
Sebelum ini dalam pendedahan lain menerusi laman Facebook, The Supporters turut menceritakan ketika kemelut pembayaran gaji yang pertama pada Mei lalu, pemain-pemain utama yang masih bujang ‘tumpang’ makan di rumah Shakir Hamzah.
Dan menurut dakwaan mereka, lima pemain import baharu yang dibawa masuk secara mengejut tempohari adalah hasil ‘buah tangan’ Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rizal Ali Naizali yang selepas itu telah mengumumkan peletakkan jawatannya.
Kelima-lima pemain tersebut adalah Charlie Machell, Samir Ayass, Ghislain Guessan, Zoubairou Garba dan bekas pemain mereka musim lalu, Jad Noureddine.
Dan mengapa kelibat pertahanan tengah, Jad Noureddine masih tidak kelihatan sehingga sekarang? Menurut Silver Retro, pemain itu dikatakan enggan bermain.
Titip mereka, “[Tiada tindakan kepada] Jad Noureddine yang masih mengelak untuk turun bermain dengan alasan cedera walau sebenarnya jelas kelihatan seperti dipaksa ejen untuk tidak turun bermain kerana tunggakan gaji belum dilunaskan.”
Mereka turut membandingkan bagaimana Melaka United yang akhirnya telah diambil alih oleh seorang usahawan, Datuk Seri Justin Lim menerusi KenTEAM.
“Mengapa sehingga sekarang tidak ada individu diluar sana mahu membeli Perak FC ?” soal Silver Retro sambil bertanya adakah sebab hutang atau sebaliknya.
Berbaki empat aksi, adakah Perak mampu mengelak tersingkir ke Liga Premier? Atau bakal menempa sejarah tersingkir buat kali pertama dalam sejarah?