‘Hilang’ Carli de Murga, 3 ‘Midfielder’ Dikunci Punca Terengganu Tumbang

Carli de Murga Terengganu Melaka United

Kehilangan Carli de Murga adalah titik permulaan yang membawa kepada kekalahan ketiga Terengganu FC dalam saingan Liga Super 2021 pada aksi Rabu lalu.

Berbeza sungguh nasib Terengganu FC apabila selepas membelasah Perak FC -5-0 hujung minggu lalu dan kali ini mereka ditundukkan pula 0-2 oleh Melaka United.

Saat semua penyokong Terengganu dipenuhi harapan untuk mereka terus mengekori rapat pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT), saat itu jugalah pasukan mereka kehilangan mata dalam aksi seterusnya. Apa berlaku dalam aksi menentang Melaka United?

Bak kata pengendali Nafuzi Zain dalam sidang media, “Normal dalam bola sepak. Jika dalam perlawanan sebelum ini anda menang, tidaklah 100 peratus dalam perlawanan selepas itu anda akan menang. Bagi saya pemain sudah cuba beri yang terbaik.”

Mungkinkah kesilapan dalam membuat pertukaran menjadi punca kepada kekalahan mengejutkan kepada pasukan yang bergelut di zon penyingkiran, Melaka United?

Harus diingat, ini merupakan tiga mata pertama mereka selepas empat perlawanan.

Kecederaan kapten yang juga bek tengah, Carli de Murga seawal minit ke-26 gagal ditampung sebaiknya oleh Nafuzi Zain. Ini kerana, 10 minit kemudian, Melaka United menerusi pemain lincah, Sony Norde berjaya memecah tembok kebal Suhaimi Husin.

Carli de Murga telah digantikan oleh Muhammad Mohd Fauzi dan tampak sedikit longgar kombinasinya bersama Shahrul Nizam. Terengganu bukan sahaja kehilangan kapten, malah kehilangan ‘suara’ di benteng selepas keluarnya Carli de Murga.

muhammad tinggal posisi mistackle terengganu melaka
Situasi gol pertama Melaka United oleh Sony Norde

Kesilapan Muhammad Mohd Fauzi menjadi punca kepada gol di minit ke-36 apabila keputusannya meninggalkan posisi dan membuat missed tackle kepada Sony Norde membolehkan benteng pelawat bocor dengan kelincahan pemain tersebut.

Sebelum itu, Carli de Murga beberapa kali berjaya meneutralkan asakan Melaka United tanpa perlu jauh meninggalkan posisinya dan kombinasinya dengan Shahrul Nizam lebih baik berbanding kombinasi Muhammad dan Shahrul Nizam selepas itu.

Selain kehilangan ‘suara’ Carli de Murga, tidak dinafikan Melaka United dilihat berjaya menghalang jentera tengah pasukan pelawat merajai perlawanan sebagaimana dalam aksi mereka ketika membelasah Perak tanpa belas ehsan di Ipoh tempohari.

3 midfielder makan konate habib haroon dachi marcel terengganu
Ketiga-tiganya gagal memberi impak berkesan

Ketiga-tiga pemain tengah diketuai Makan Konate, Dechi Marcel dan Habib Haroon tampak ‘mati kutu’ dalam usaha mereka untuk memecah benteng tuan rumah.

Sebagaimana komen pengendali Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto sebelum ini, Makan Konate adalah ‘otak’ kepada serangan Terengganu dan beliau perlu dikunci.

Kunci kepada ini adalah kemasukkan pemain pinjaman daripada JDT, Gary Steven Robbat yang nampaknya membantu mengukuhkan posisi tengah bertahan.

Kurniawan Dwi Yulianto: ‘Otak’ Serangan Terengganu Ada Pada Konate

Gary Steven beberapa kali menjadi batu penghalang untuk Terengganu memecah masuk ke kawasan penalti mereka serta turut dibantu dengan aksi cemerlang gandingan baharu di bek tengah tuan rumah, Jang Suk-won dan Akmal Zahir.

Makan Konate, Dechi Marcel dan Habib Haroon terus tenggelam apabila skuad Hang Tuah dilihat sangat kompak ketika bertahan. Dengan hilang cengkaman di jentera tengah, jentera sayap yang dikemudi Faiz Nasir dan Faisal Halim juga ‘hanyut’.

Jordan Mintah Bagi Signal Kepada Nafuzi Zain, Pandanglah Prestasiku ‘Coach’

Apa lagi yang boleh diharapkan oleh Nafuzi Zain dengan penyerang ‘tunggulnya’, David da Silva? Menukarkan peranannya daripada false nine kepada target man kerana kesukaran memasuki defensive third lawan juga gagal membuahkan hasil.

Jika sebelum ini, peranan false nine yang dimainkannya berkesan, berdepan Jang Suk-won pada aksi tersebut menyulitkan buat dirinya apabila pertahanan tengah dari Korea Selatan itu mudah untuk merantainya dan langsung tidak beri lebih ruang buatnya.

gary steven robbat terengganu melaka united
Posisi bertahan Melaka United dengan Gary Steven Robbat sebagai defensive midfielder

Ini yang menyebabkan Faisal Halim mahupun Faiz Nasir gagal mengeksploitasi ruang yang ditinggalkannya untuk masuk ke kawasan penalti apabila bola tidak sempat sampai dan dipintas baik atau dihadang sama ada Gary Steven atau Jang Suk-won.

Menyedari jentera tengahnya kurang efektif, Nafuzi Zain membawa masuk ‘anak emasnya’ musim lalu, Sharin Sapien untuk menggantikan Makan Konate.

Adakah ini juga kesilapan percaturan olehnya? Kerana semua tahu, pemain tersebut bukanlah pemain yang kreatif untuk membantu memburu gol penyamaan.

Jaringan kedua Melaka United hadir pada minit ke-77, dua minit selepas Sharin Sapien dimasukkan dan sekali lagi Muhammad Mohd Fauzi gagal menunjukkan prestasi yang baik. Beliau membiarkan penyerang baharu lawan, Andriano tanpa pintasan.

gol andriano melaka terengganu
Gerakan yang menghasilkan gol kedua Melaka United

Dan Andriano berjaya melepaskan rembatan deras untuk menewaskan Suhaimi Husin. Muhammad Mohd Fauzi tidak membuat keputusan yang baik apabila berada bersama dua lagi rakannya mengawal Giovane Gomes dan ‘selamba’ meninggalkan posisinya.

Ini membolehkan ruang yang ditinggalkan digunakan dengan baik oleh Andriano untuk memecah masuk seterusnya melepaskan rembatan deras ke gawang lawan.

Adakah Muhammad Mohd Fauzi gagal membentuk kesefahaman yang jitu bersama rakan sepasukan? Adakah Terengganu berpotensi untuk terus dibolosi lawan jika mereka beraksi tanpa Carli de Murga selepas ini? Jawapannya ada pada Nafuzi Zain.

Menurut Nafuzi Zain, “Berdepan lawan yang berbeza, corak permainan juga berbeza. Setiap pasukan ada kelebihan dan kekurangannya, begitu juga Terengganu. Dan malam ini Melaka United menunjukkan mereka lebih baik, jadi tahniah untuk mereka.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN